Pages

Sunday, May 12, 2013

Mohamad Hasan Angkat Sumpah Sebagai MB Penggal Ketiga



Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan membaca ikrar taat pada setia sebagai Menteri Besar selepas menerima watikah perlantikan tersebut daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena majlis Istiadat Penyerahan Watikah Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti dekat Kuala Pilah, Sabtu. Foto BERNAMA
KUALA PILAH: Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan untuk penggal ketiga, di Istana Besar Seri Menanti, di sini.
Mohamad yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas mengangkat sumpah menjawat jawatan itu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berangkat ke majlis itu.
Pada majlis berkenaan, Mohamad menerima watikah pelantikan daripada Tuanku Muhriz dan menandatangani sumpah jawatan yang turut disaksikan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Musa Wahab, Undang Luak Johol Datuk Mohd Jan Abdul Ghani dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Mohamad, 57, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dilantik semula ke jawatan menteri besar selepas BN berjaya mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan apabila menang 22 daripada 36 kerusi DUN pada PRU-13.
Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 25 Mac 2004, menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan dilantik untuk penggal kedua selepas PRU 2008.
Sementara itu ketika bertitah pada majlis berkenaan, Tuanku Muhriz mengingatkan bahawa semua wakil rakyat yang dipilih pada PRU-13, diamanahkan oleh rakyat untuk mewakili dan menyuarakan segala permasalahan serta melindungi kepentingan mereka.
"Jangan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan ini dengan menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri. Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada ini akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang telah dirangka untuk kebaikan rakyat," titahbaginda.
Mohamad dalam ucapan sembah ikrar taat setia kemudiannya berkata, tanggungjawab yang digalasnya bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau berjanji untuk melaksanakannya sebaik mungkin demi kemajuan agama, bangsa dan negara.
Katanya, kesepakatan dan perpaduan semua pihak adalah faktor penting dalam memacu kemajuan negeri selari dengan program untuk pembangunan negara seperti yang diperincikan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).
"Apatah lagi ia (RMK-10) berada di tahap pertengahan pelaksanaannya. Oleh itu adalah amat wajar sokongan semua pihak untuk memastikan graf kemajuan negeri berada di paras yang membanggakan," katanya. - BERNAMA
sumber: mstar.com.my

Adnan Angkat Sumpah MB Pahang Untuk Penggal Ke-4



Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sambil menyentuh Al-Quran melafaz ikrar taat setia di hadapan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah selepas dilantik Menteri Besar pada majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar dekat Pekan pada Khamis.- Foto BERNAMA
KUANTAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan pada 5 petang Khamis.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang buat kali keempat di hadapan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Adnan, 63, yang juga Pengerusi Badan perhubungan Umno negeri, dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas berjaya mengekalkan kemenangan BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.
BN memenangi 30 daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan di Pahang berbanding 37 pada 2008.
Adnan mula menyandang jawatan Menteri Besar Pahang pada 25 Mei 1999 menggantikan Tan Sri Mohd Khalil Yaakob (kini Tun), yang dilantik sebagai Menteri Penerangan ketika itu.
Adnan, yang mempertahan kerusi DUN Pelangai, mula bertanding di kawasan itu pada 1986 dan dilantik sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua pada 2004, dan penggal ketiga pada 2008.
Beliau dianugerah gelaran 'Datuk Seri Diraja' oleh Sultan Ahmad Shah pada 2010 dan merupakan penerima pertama dalam sejarah Pahang. -BERNAMA
Sumber: mstar.com.my

Khaled Nordin Menghadap Sultan Johor, Majlis Angkat Sumpah MB Minggu Depan



Mohamed Khaled Nordin melambai tangan kepada pihak media selepas mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi pada Rabu.Foto:BERNAMA
JOHOR BAHARU: Bakal Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengangkat sumpah minggu depan bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang lain setelah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu.
Anggota Dewan Undangan Negeri Permas itu dititah menghadap di Istana Pasir Pelangi dan antara perkara yang dibincangkan dengan Sultan Ibrahim ialah penentuan tarikh angkat sumpah menteri besar dan senarai barisan Exco.
Untuk rekod, Khaled bakal mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang ke-14.
Menteri Besar sebelum ini adalah Datuk Abdul Ghani Othman.
Ghani tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang disandangnya sejak tahun 1995 kerana berubah ke kerusi parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum yang baru sahaja selesai Ahad lalu.
Bagaimanapun beliau tewas di tangan penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Mohamed Khaled berkata, beliau dititahkan Sultan Ibrahim supaya meneliti senarai barisan exco kerajaan negeri sebelum sekali lagi menghadap baginda bagi mempersembahkan calon-calon yang bakal dilantik.
"Di Johor, majlis angkat sumpah menteri besar dilakukan bersama-sama barisan exco. Jadi, ia akan mengambil masa sedikit," katanya yang akan menyelesaikan senarai barisan exco itu dalam minggu ini.
Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.
Mohamed Khaled berkata, exco kerajaan Johor akan dibarisi 10 orang anggota yang melibatkan tujuh wakil Umno, dua daripada MCA dan satu MIC.
Bagaimanapun beliau akan mendapatkan kepastian terlebih dahulu daripada pihak MCA sama ada mahu meletakkan wakilnya kerana komponen itu sudah memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat persekutuan atau negeri selepas kalah teruk dalam pilihan raya ini.
Menurut Mohamed Khaled, Sultan Ibrahim banyak memberikan nasihat dan pandangan kepada beliau semasa majlis menghadap itu terutama berhubung senarai exco yang bakal dilantik.
"Tuanku mahu orang yang boleh bekerja dan memikirkan hal kepentingan rakyat Johor, supaya rakyat menerima perkhidmatan sebaik mungkin," katanya.
Ditanya mengenai DUN Johor yang agak mencabar selepas ini dengan adanya 18 kerusi pembangkang, beliau berkata tiada apa yang perlu dikhuatirkan sekiranya wakil Barisan Nasional menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Mohamed Khaled memenangi kerusi DUN Permas selepas menewaskan calon PAS Syed Othman Syed Abdullah dengan majoriti 5,752 undi.
Barisan Nasional kekal memerintah Johor apabila mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 38 daripada 56 kerusi DUN.Daripada 18 DUN yang dimenangi pembangkang, 14 daripadanya DAP, tiga (PAS) manakala satu daripada PKR.
Latar Belakang MB Baru
Khaled yang dilahirkan pada 30 November 1958 pertama kali bertanding pada pilihan raya umum 1995 di kerusi Parlimen Johor Baharu.
Beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai setiausaha politik kepada Tan Sri Shahrir Samad yang ketika itu adalah menteri Wilayah Persekutuan.
Khaled juga pernah memenangi kerusi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1995 dan kemudiannya sebagai ahli majlis kerja tertinggi Umno. Selepas berjaya mempertahankan kerusi parlimen Johor Baharu sekali lagi pada tahun 1999, Khaled telah berpindah ke kawasan parlimen baru Pasir Gudang apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat.
Di peringkat kabinet persekutuan, Khaled pernah menyandang jawatan timbalan menteri kerja raya di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selepas memenangi pilihan raya 2004 mewakili kawasan parlimen baru Pasir Gudang, Khaled telah dilantik sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi di bawah kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pada pilihan raya 2008, beliau berjaya mempertahankan kerusi parlimen Pasir Gudang sekali lagi dan kemudian dilantik sebagai menteri pengajian tinggi yang baru.
Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah, Khaled terus dikekalkan di potfolio yang sama.
Pada pilihan raya yang baru sahaja selesai Ahad lalu, Khaled buat pertama kalinya diletakkan bertanding di kerusi dewan undangan negeri iaitu DUN Permas yang juga terletak di bawah parlimen Pasir Gudang.
Sumber: mstar.com.my

Tuesday, May 7, 2013

Menteri Besar Perlis: Azlan Man ganti Md Isa

ADUN Pauh, Azlan Man, 54, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-11 di Istana Arau, pagi Selasa
ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Pauh, Azlan Man mengangkat sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau, di sini pada Selasa.

Azlan, 55, mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pukul 10 pagi.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.

Azlan yang merupakan bekas timbalan ketua pengarah Biro Pengaduan Awam memenangi kerusi dewan undangan negeri Pauh pada pilihan raya umum ke-13 selepas menewaskan Ketua Dewan Ulama PAS Idris Yaacob dengan majoriti 1,382 undi.

Berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, Azlan memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada 1999.

Pada 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi setiausaha bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah BPA sehingga bersara untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

sumber: mstar.com.my

Ketua Menteri Melaka: Idris Haron ganti Ali Rustam

ADUN Sungai Udang Datuk Idris Haron mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Pejabat Yang Dipertua Negeri di Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.Turut kelihatan mantan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri) bersama isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman (dua, kiri).-Foto BERNAMA
MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Wira Idris Haron mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-10 di hadapan Yang di-Pertua Negeri di Seri Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob pada pukul 10.20 pagi Selasa.

Idris yang juga Ketua Umno Tangga Batu, menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang bertanding dan tewas di Parlimen Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pada PRU-13, Idris menewaskan calon PKR, Asri Buang di Sungai Udang dengan majoriti 9,131 undi.

Idris yang genap 47 tahun pada 13 Mei ini, adalah lulusan University of Texas, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang kejuruteraan elektrik dan pernah menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad hingga hari ini.

sumber: mstar.com.my