Pages

Sunday, February 16, 2014

Kantoi di malam valentine

Antara pasangan yang ditahan

NILAI – “Emak dan ayah saya tidak kisah jika saya bersekedudukan kerana mereka tahu hubungan kami," kata seorang pemuda berusia 25 tahun, yang ditahan bersama teman wanitanya ketika sedang seronok memadu asmara di sebuah bilik di hotel di sini, malam kelmarin.

Pekerja sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu memberi alasan dia menginap di situ bersama kekasihnya dikenali sebagai ‘Ana’, 28, kerana mahu berehat sementara menunggu penerbangan ke Bangkok jam 6 pagi.

“Kami ‘check in’ jam 8 malam kerana pada jam 6 pagi saya mahu menghantar Ana ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Dia mahu ke Bangkok tonton perlumbaan motosikal di sana bersama rakan-rakannya, sementara itu kami berehat di sini,” katanya.

Menurutnya, mereka juga sudah merancang untuk berkahwin dan kini dalam proses mengumpul wang.

“Keluarga saya tahu hubungan kami dan jika kami ditahan pada malam ini pun, mereka tidak kisah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, mereka antara tiga pasangan kekasih yang ditahan oleh penguatkuasa JHEAINS dalam Ops Valentine di dua buah  hotel berasingan di sini.

Menurutnya, kesemua pasangan terbabit berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Sekyen 61(1) iaitu percubaan melakukan persetubuhan haram.

“Turut ditahan tiga wanita dan dua lelaki berusia 18 hingga 40 tahun kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah iaitu meminum minuman yang memabukkan," katanya.

Malah dalam operasi berkenaan turut ditahan seorang remaja yang sedang menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Remaja perempuan berusia 18 tahun itu ditahan bersama empat lagi rakannya di sebuah pusat karaoke di sini atas kesalahan meminum minuman memabukkan.

“Saya mula minum lepas SPM dan biasanya saya minum lima cawan sahaja sebab baru belajar. Bila tertekan, saya akan minum arak,” katanya.

Sementara itu, di PORT DICKSON, pasangan muda berusia lingkungan awal 20-an merupakan yang paling ramai ditemui berdua-duaan di tepi pantai semasa Kempen Sayangi Diri anjuran Jabatan Amal Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan diadakan malam kelmarin.

Kebanyakan pasangan tersebut sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) sekitar Negeri Sembilan.

Pengarah Kempen Sayangi Diri, Mahfuz Roslan berkata, kempen ini untuk menyantuni golongan yang belum bernikah tetapi bersama pasangan masing-masing dan berkelakuan salah di sisi Islam.

“Kita mahu mendidik masyarakat agar mereka tidak terikut-ikut dengan budaya Barat meraikan hari Valentine.

“Kempen seperti ini julung kali dilakukan Jabatan Amal negeri dan dari semasa ke semasa ia akan terus dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih pelbagai,” katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

Saturday, February 15, 2014

Maahad tahfiz kerugian hampir RM400,000 akibat kebakaran

HANGUS … Maahad Tahfiz Muhammadi Bukit Rangin hangus terbakar di sini, lewat malam tadi.- Foto Bernama

KUANTAN – Sebanyak 17 pelajar Maahad Tahfiz Muhammadiah, Bukit Rangin di sini tinggal sehelai sepinggang apabila bangunan madrasah dua tingkat yang turut menempatkan asrama mereka musnah dalam kebakaran malam tadi.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 10 malam dipercayai bermula dari stor di tingkat atas yang turut menempatkan pejabat, surau dan dua bilik asrama.

Menurut warden asrama Zamroni Husaini, ketika kejadian beliau sedang tidur di tingkat bawah sebelum terasa bahang panas dan terhidu bau asap.

Anggota Bomba dan Penyelamat dari unit Forensik melakukan siasatan punca berlakunya kebakaran di Maahad Tahfiz Muhammadi Bukit Rangin.

Anggota Bomba dan Penyelamat dari unit Forensik melakukan siasatan punca berlakunya kebakaran di Maahad Tahfiz Muhammadi Bukit Rangin.
“Tiba-tiba saya terasa bahang panas dan apabila tersedar, saya lihat api sudah marak di seluruh bangunan.

“Saya berlari keluar tanpa dapat menyelamatkan apa-apa sebelum bertindak menghubungi bomba untuk memaklumkan kejadian dan mujurlah ketika kejadian, semua pelajar menghadiri kuliah di tempat lain,” katanya di tempat kejadian.

Pengetuanya Tengku Muhamad Tengku Jaafar berkata semasa kejadian, beliau bersama 17 pelajar yang berusia lingkungan tujuh hingga 17 tahun sedang mengikuti kuliah agama di Balai Islam dekat Permatang Badak.

“Kebakaran menyebabkan bangunan dua tingkat yang didiami sejak empat tahun lepas rentung dan barangan pelajar seperti pakaian turut musnah yang menyebab kerugian dianggar lebih RM400,000.

“Saya reda dengan ujian ini dan kini semua pelajar akan ditempatkan di bangunan bersebelahan yang kebetulan baru siap dibina,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata anggota dari balai Indera Mahkota, Bukit Ubi dan Taman Tas berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh setengah jam.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada

Maahad Tahfizh Muhammadi
0601-0002791-712 (Bank Muamalat)
Tengku Muhamad B. Tengku Jaafar
06-019-02-018201-3 (Bank Islam)

Atau hubungi terus:-

Ustaz Tengku Mohamad
- 013-938 0762
- 09-536 6409
Ustaz Zamroni Al Hasaeni
- 019-374 9419


Hodak nafi khabar angin sertai Harimau Selatan

KEHADIRAN Bojan Hodak (baju putih) menonton perlawanan Liga Perdana di antara JDT II menentang PBAPP di Stadium Pasir Gudang, malam tadi menimbulkan tanda tanya.

KUALA LUMPUR - Desas-desus mengenai bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak akan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) atau JDT II sebagai jurulatih tidak benar sama sekali apabila dia menafikan perkara tersebut.

Menurut Hodak: "Ramai yang bercakap tentang saya akan melatih pasukan itu dan ini, tetapi semuanya tidak akan berlaku dan merupakan khabar angin yang sentiasa berputar-putar dalam arena bola sepak.

"Tidak ada sebarang tawaran dan keputusan mengenai perkara ini, saya hanya mahu pergi bercuti di Thailand, tetapi tidak jadi kerana ada perkara tertentu yang perlu diselesaikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ini bukan kali pertama Hodak dikaitkan dengan pasukan tertentu selepas meninggalkan Kelantan musim lalu selepas membimbing pasukan tersebut muncul juara Piala FA dan berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum kecundang kepada Pahang 0-1 di Stadium Shah Alam.

Sebaik meninggalkan Kelantan dia dikaitkan akan melatih pasukan T-Team dengan mendapat tawaran yang lumayan. Dia juga pernah dikaitkan menyertai pasukan yang baharu sahaja dinaikkan ke saingan Liga Perdana musim ini, Pulau Pinang.

"Buat masa sekarang saya tidak melatih mana-mana pasukan, saya hanya menaik taraf lesen jurulatih saya, sekarang seperti di zaman belajar dan perlu menghadapi peperiksaan akhir tahun," katanya.

Jurulatih berusia 42 tahun itu mula dikenali peminat bola sepak tempatan sejak melatih UPB-MyTeam dari 2006 hingga 2009, sebelum berhijrah ke Kemboja untuk melatih pasukan Phnom Penh Crown.

Dia juga pernah menjadi pembantu jurulatih dengan kelab China, Shandong Luneng Taishan sebelum kembali ke Malaysia untuk melatih The Red Warriors dari 2012 hingga tahun lepas dengan cemerlang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140215/su_06/Hodak-nafi-khabar-angin-sertai-Harimau-Selatan#ixzz2tNEDvXC3
© Utusan Melayu (M) Bhd

ASB, ASN Harus - Tegas Majlis Fatwa


KUALA LUMPUR 14-Feb-2104 - Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin menyatakan rasa kesal majlis itu dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan dakwaan bahawa fatwa yang dikeluarkan berhubung pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) tidak mengikut syarak ekoran surat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau berkata, orang ramai perlu faham terdapat perbezaan peranan antara kedua-dua badan itu yang mana Majlis Fatwa Kebangsaan badan pengeluar dan penyelaras hukum-hakam dalam hal ehwal berkaitan agama Islam.

Suruhanjaya Sekuriti pula, katanya, adalah badan yang memutuskan sesuatu sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tidak.

Beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan pada 2008 bahawa hukum pelaburan ASB dan ASN adalah harus dan keputusan itu dibuat melihat ruang lingkup luas bagi menjaga kepentingan dan maslahah (faedah) umat Islam serta mengelak kemudaratan yang lebih besar terhadap sosioekonomi umat Islam.

"Hukum atau fatwa yang dikeluarkan juga mengambil kira aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan dan maqasid syariah dan siasah syariah.

"Berbeza dengan metodologi Suruhanjaya Sekuriti dalam penyenaraian penuh sekuriti patuh syariah yang antara lain mengadaptasi pendekatan kuantitatif yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaa dan tanda aras nisbah kewangan," katanya.

Katanya, ada pihak yang berceramah di merata tempat mendakwa hukum yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikut syarak kerana berhujah menggunakan maslahah.

"Adalah sangat tidak tepat jika ada pihak tertentu yang mendakwa bahawa hujah bersandarkan maslahah ummah mengetepikan prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak-pihak khususnya penceramah yang membuat dakwaan itu dinasihatkan menghentikan tindakan memprovokasi isu yang melibatkan hukum-hakam termasuk mengenai pelaburan ASB dan ASN.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140215/dn_03/Gesa-tindakan-terhadap-Comango#ixzz2tN9c1XqG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Maksiat malam Hari Kekasih

Seorang lelaki berasal dari Pulau Langkawi (kiri) bersama pasangannya (duduk, kanan) ditahan di oleh penguatkuasa Jaik dalam Ops Kekasih, semalam.

ALOR SETAR - Dua lelaki dari Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor, Perak, ditahan bersama pasangan masing-masing kerana disyaki berkhalwat di dua hotel bajet berasingan, di sini malam kelmarin.

Serbuan sempena Operasi Kekasih (Ops Kekasih) yang dilakukan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) itu memberi tumpuan di hotel-hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar menjelang Hari Kekasih.

Dalam serbuan pertama di sebuah hotel bajet Jalan Lengcong Barat, Tandop, dekat sini, lelaki berusia 31 tahun dari Langkawi yang juga suami orang itu ditahan dengan mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum membuka pintu bilik.

Hasil pemeriksaan penguatkuasa mendapati pasangannya wanita berusia 30 tahun menyembunyikan diri di dalam bilik air.

Penolong Pengarah Undang-undang Syariah Jaik, Sheikh Mohd Roshidi Mohammad berkata, lelaki yang mempunyai dua anak itu memberi alasan tidak melakukan apa-apa perbuatan salah.

“Mereka memberi alasan bertemu untuk berkongsi masalah peribadi selepas saling mengenali empat tahun lalu.

“Ketika diserbu pasang itu berpakaian lengkap dan turut memberi alasan sedang tidur ketika pintu bilik diketuk. Hasil siasatan mendapati mereka  tidak mempunyai sebarang hubungan yang sah,” katanya

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di sebuah hotel di Jalan Putra, di sini, Jaik menahan seorang wanita berasal dari Sungai Tiang, Pendang, bersama kekasihnya yang berasal dari Pulau Pangkor.

Ketika diserbu pasangan berkenaan enggan bekerjasama kepada pihak berkuasa dengan memberi pelbagai alasan supaya mereka dilepaskan.

Pasang terbabit turut memberi alasan akan berkahwin dalam masa terdekat bagi mengelak daripada ditahan.

Wanita yang bekerja di sebuah hospital swasta dan pasangannya itu, bagaimanapun akur dan menurut perintah penguat kuasa.

Mereka dipercayai mendaftar masuk hotel berkenaan beberapa jam sebelum serbuan dilakukan.

Kekasih pasar raya dicekup

Dalam serbuan berlainan, seorang lelaki memberi alasan untuk menumpang tandas di rumah kekasihnya ketika diserbu penguatkuasa Jaik di sebuah rumah flat, Jalan Kuala Sungai, dekat sini.

Pasangan itu yang juga pekerja sebuah pasar raya besar ditahan dalam keadaan mencurigakan apabila pihak berkuasa mendapati pintu gril dan pintu utama rumah berkenaan dalam keadaan berkunci.

Selepas pintu rumah diketuk kira-kira lima minit, seorang wanita berusia awal 20-an membuka pintu. Manakala pasangannya keluar daripada bilik air dalam berseluar jeans tanpa memakai baju.

Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai sebarang ikatan yang sah.

Operasi kurangkan gejala maksiat

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi itu, Jaik berjaya menahan empat pasangan yang masing-masing tidak mempunyai hubungan yang sah.

Operasi yang dianggotai 38 penguatkuasa termasuk anggota Rela Rakan Persatuan Komunikasi dan Keselamatan Melayu Kedah (KMK) memperlihatkan usaha membanteras gejala maksiat pada malam perayaan tertentu berhasil.

Sheikh Mohd Roshidi berkata, selain serbuan di hotel-hotel bajet yang menjadi sarang maksiat, pihaknya turut menerima aduan dan maklumat orang awam mengenai aktiviti tidak bermoral di rumah kediaman.

“Hasil operasi malam ini kita mendapati gejala maksiat di sekitar bandar raya ini semakin berkurangan berbanding tahun-tahun lalu.

“Ini adalah kesan daripada pemantauan dan serbuan yang dilakukan pihak kami dari semasa ke semasa. Bagaimanapun kita akan terus membuat pemantauan supaya kegiatan tidak bermoral diperangi habis-habisan,” katanya.

Menurut beliau, pada operasi yang sama tahun lalu pihaknya berjaya menahan 10 pasangan yang turut membabitkan operasi di hotel-hotel bajet.

Beliau berkata, kesemua empat pasangan yang ditahan dalam Ops Kekasih itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Setar untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Jaik untuk siasatan lanjut.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988. Hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah,” katanya.

Sumber: sinarharian.com.my