Pages

Tuesday, January 28, 2014

MLM 2013 Geletek SYJ tidak menjadi

Penyingkiran kumpulan SYJ yang dianggotai Shuk, Yassin dan Jihan dari saingan minggu ke-11 Maharaja Lawak Mega 2013 sememangnya sudah diduga penonton.

Berbanding kumpulan lain, mereka saban minggu menduduki tiga kedudukan terbawah atau ‚bottom three‘.

Selepas berhempas pulas berusaha menampilkan idea-idea komedi, mereka terpaksa akur apabila akhirnya ditunjukkan jalan keluar dalam saingan yang berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah, Jumaat lalu.

Walaupun berjaya menggeletek juri dan penonton dalam segmen Karoot Komedia, mereka gagal membuktikan kehebatan berlawak menerusi tema ‚silent comedy‘ yang sukar difahami penonton.


AKSI terakhir SYJ dalam Maharaja Lawak Mega.

Jihan berkata, setiap minggu SYJ sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Namun, mereka berpuas hati kerana dapat menampilkan idea terbaik kepada peminat dan juri.


“Tak dinafikan perasaan terkejut tetap ada apabila diumumkan terkeluar. Cuma kami faham SYJ adalah kumpulan baru berbanding kumpulan lain yang sudah ada kelompok peminat tersendiri. Apabila masuk saja dalam kelompok Top 6, persaingan memang amat sengit.

“Kami cuba buat eksperimen dengan tampilkan sketsa kartun dalam ‘silent comedy’, malangnya kurang difahami ramai. Apapun berada dalam MLM sangat bermakna kerana memberikan pengalaman baru dalam karier kami,” katanya.

Menurutnya, walaupun SYJ bersifat projek khas dan mereka tidak pernah bersama dalam mana-mana persembahan sebelum ini, perjuangan sehingga ke peringkat suku akhir sudah cukup membuktikan keserasian mereka berlawak bersama.

“Saya tetap gembira kerana mampu bertahan sehingga tahap ini. Sepanjang terbabit dalam MLM, kami terpaksa tolak banyak tawaran lain kerana tumpukan perhatian untuk bertanding. Sekarang sudah sampai masanya untuk sambung semula kerja dalam bidang seni.

“Saya sekarang terbabit sebagai penyampai Carta Fulamak Sinar bersama Shahrol Shiro yang bersiaran setiap pagi Sabtu. Kami digandingkan untuk tempoh percubaan selama dua minggu kerana selepas ini akan ada slot sendiri. Sekiranya ada tawaran persembahan bersama SYJ, saya takkan menolak,” katanya.

Seperti Jihan, Shuk juga kini bergelar penyampai ERA setiap pagi Sabtu bergandingan dengan Sasha Al Khred.

“Syukur peluang untuk saya makin terbuka luas. Saya juga semakin fokus dengan bidang seni dan mungkin selepas ini saya akan terbabit dengan program Skool Of Lawak juga terbitan Astro. Saya juga akan terbabit dengan program Lawak Utagha The Musical di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 16 Februari nanti,”katanya.

Yassin pula berkata, dia akan terus berlawak dengan mana-mana pasangan, namun keutamaan tetap diberikan kepada SYJ.

“Walaupun sibuk dengan MLM, saya sempat lagi berlakon filem Kawanku Mati Dalam Rumah Sewa yang turut menampilkan Bocey. Menerusi MLM, peminat dapat lihat saya masih bernyawa dalam industri seni,” katanya.

Apapun, program yang pertama kali berlangsung di Kedah ini meninggalkan kenangan tersendiri kerana mendapat sambutan hebat dengan kehadiran kira-kira 3,500 penonton. Ruang dewan yang terhad juga menyaksikan ada sebahagian penonton terpaksa menonton menerusi skrin besar yang disediakan di luar.

Bahkan, program ini turut mendapat sokongan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang sudi meluangkan masa untuk menonton dan bermesra dengan peminat yang hadir.

Maharaja Lawak Mega minggu ke-12 akan berlangsung dari Johor Bahru, Jumaat ini.

Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, keputusan untuk mengekalkan sama ada lima peserta yang masih kekal untuk ke final atau menyingkirkan sebuah lagi kumpulan hanya akan diketahui pada persai­ngan malam itu di Johor Bahru.

“Kami memang sengaja hasilkan format ini supaya peminat tak boleh agak apa yang akan berlaku. Ini juga membawa maksud agar peserta tak rasa selesa dan bersikap sambil lewa ketika bertanding nanti.

“Saya boleh katakan persaingan semakin hebat dan perbezaan peratus setiap kumpulan sangat sengit. Sesiapa yang tak ‘perform’ pasti akan terkeluar nanti,” katanya yang memberitahu peserta dikehendaki membuat dua persembahan.


Shuib akhirnya puas

Saingan MLM sebelum ini mengiktiraf Jepp dan Rahim daripada Sepahtu sebagai sebagai peserta paling menyerlah atau ‚man of the match‘. Kali ini tuah menyebelahi Shuib apabila diumumkan memenangi gelaran itu.

Bagaimanapun segelintir pihak melihat anugerah yang dimenangi ini berdasarkan rasa kasihan ramai pihak memandangkan Sepahtu menggunakan subjek ini dalam persembahan mereka.

Menjawab perkara ini Shuib berkata, dalam berlawak apa saja bahan boleh digunakan asalkan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Dalam berlawak, kita tak perlu ajar untuk faham. Apa saja bahan yang berguna, saya akan gunakan. Tak salah untuk guna ‘point’ berkenaan isu kereta yang dimenangi dan ‘man of the match’. Saya tahu kemenangan saya akan dikaitkan dengan perkara ini.

“Sebelum ini pun ada yang tanya saya juga. Saya sendiri tak pasti sama ada kemenangan ini kerana dasar simpati atau apa. Cuma yang diharapkan dengan adanya anugerah ini, saya dan anggota Sepahtu akan buat yang terbaik untuk persembahan seterusnya,” katanya.

Sememangnya persembahan setiap peserta malam itu boleh dianggap menghiburkan. Paling mencuit hati ialah persembahan Jambu yang mengenakan barisan juri termasuk Datuk Yusof Haslam sebagai pemandu. Biarpun dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak, Yusof mengakui tidak ambil hati.

“Ini adalah program lawak dan kita tak boleh emosi. Jambu sangat bijak berlawak dan saya sudah dapat agak mereka akan kenakan saya. Sebagai juri saya tak ambil serius perkara ini. Ia bukan bawa maksud saya dihina. Ia konsep lawak yang bijak dan boleh digunakan dalam berlawak.

“Saya sebenarnya rasa seronok apabila terbabit dalam program ini kerana dapat lepaskan tekanan. Ramai yang sebelum­nya ingat saya serius tapi rupanya tidak. Tak dinafikan populariti saya juga meningkat sejak terbabit dalam MLM sehingga ke mana-mana pun orang menegur,” katanya.

Terus kekal bersaing pada minggu depan ialah Shiro, Sepahtu, Jambu, Bocey dan Nabil.

Sumber: Harian Metro 

No comments:

Post a Comment