Pages

Wednesday, February 12, 2014

Selangor juara 32 kali tak gaduh!

Saya berada di stadium semasa Selangor tersingkir ke Divisyen 2 dan kereta Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di terbalikkan.

Saya berada di stadium semasa Selangor kalah pada Perak 4-2 pada Final Piala FA walaupun mendahului 2-0. Saya berada di Stadium semasa Selangor tewas pada zaman kegemilangan Kuala Lumpur dan Kedah.

Saya berada di stadium semasa Selangor kalah pada Kelantan di awal kebangkitan bola sepak Kelantan di Bukit Jalil. Dan sudah tentu saya dan penyokong Selangor yang lain berada di Stadium untuk perlawanan-perlawanan biasa.

Dari Stadium Merdeka ke Stadium Shah Alam tidak pernah seingat saya penyokong Selangor bergaduh besar sehingga membabitkan penglibatan polis.

Yang ada pun bergaduh sesama mereka kerana hal-hal luar antara Budak Gombak dengan Budak Subang di Pintu 30.

Gaduh pun bukan pasal bola atau apa yang terjadi di padang mahupun sebab Selangor kalah tapi gaduh sebab perkara biasa yang orang kita suka gaduh seperti berebut teman wanita, masalah parking dan kadang-kadang pasal ekzos motor yang bising.

Dalam perihal bola sepak adalah wajar semua pasukan mencontohi Selangor samada pemain, pengurusan mahupun penyokong. Apa yang terjadi dalam padang, ditinggalkan di padang dan tidak dibawa melintasi garisan putih ke dalam terowong.

Selangor adalah Juara Piala Malaysia 32 kali, Piala FA lima kali, Piala Sumbangsih lapan kali dan banyak lagi. Selangor memiliki berpuluh zaman kegemilangan yang disertai kejatuhan. Tapi pasukan dan penyokong Selangor tetap kekal rasional dan profesional.

Jika dikaji, ia mungkin disebabkan semangat kenegerian orang Selangor yang menduduki tempat tercorot berbanding negeri lain seperti Kelantan, Kedah, Perak, Terengganu, dan Sabah. Sebagai bukti lihat sahaja politik di Selangor, pemimpin dari luar dibenar memegang jawatan tertinggi di Selangor.

Untuk mengatasi masalah kenegerian yang tinggi ini, difikirkan ada kewajaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan peraturan baru yang melarang pasukan menggunakan bendera negeri. Penyokong juga dilarang membawa bendera negeri apatah lagi politik ke dalam stadium.

Semua pasukan harus mempunyai bendera pasukan yang tidak boleh sama dengan bendera negeri. Sebagai penyokong bola sepak Selangor, saya sarankan pada semua agar buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Pada pasukan dan pemain yang terlibat tidak perlulah 'propa' lebih sangat, buktikan melalui keputusan perlawanan. Buktikan dengan permainan berkualiti tinggi dan peningkatan mutu. Buktikan dengan pencapaian dan menjulang piala.

Bola Sepak bukan permainan lelaki sejati seperi ragbi atau hoki ais. Bola Sepak adalah permainan kepura-puraan, strategi, kemahiran, berpasukan dan sedikit nasib.

Itulah peraturannya dan jika berpegang kepada sifat jujur dalam agama, maka bola sepak Malaysia boleh menggunakan ulangan video seperti dalam permainan tenis. Provokasi adalah perkara biasa dalam bola sepak. Kalau tidak tahan provokasi dan maki, jangan ke stadium, tapi pergilah ke masjid atau perpustakaan ia jauh lebih baik.

Akhir sekali, kalau nak gaduh, jadilah anak jantan, jangan gaduh sesama bangsa dan agama. Boleh ke Syria atau ke Palestin. Barulah anak jantan ayah.

MUSTAQIM ABDUL RAHMAN

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Forum/20140211/fo_01/Selangor-juara-32-kali-tak-gaduh#ixzz2t4t18ObI © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment