Pages

Showing posts with label Empangan. Show all posts
Showing posts with label Empangan. Show all posts

Friday, May 2, 2014

Bekalan air terawat di Lembah Klang belum cukup


KUALA LUMPUR - Kapasiti bekalan air terawat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masih tidak mencukupi bagi menampung sepenuhnya permintaan pengguna terutama pada waktu puncak.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Priscilla Alfred berkata rezab bekalan air terawat setakat ini di paras kurang daripada satu peratus.

"Oleh yang demikian, para pengguna disaran agar terus mengamalkan sikap berjimat cermat menggunakan air dan mengelakkan sebarang pembaziran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SYABAS memaklumkan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama, Ketiga serta Keempat telahpun ditamatkan seperti diarah kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), semalam. - Bernama

Tuesday, April 22, 2014

Catuan air di Lembah Klang dihentikan minggu depan

KUANTAN 22 April - Kebimbangan penduduk di Selangor dan Wilayah Persekutuan bakal berakhir apabila catuan air yang berlangsung selama dua bulan lalu akan ditamatkan pada minggu depan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan mengisytiharkan perkara itu hasil daripada mesyuarat yang diadakan di Shah Alam petang semalam.

Menurut beliau, mesyuarat yang dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan syarikat pengurusan air lain membincangkan beberapa langkah susulan bagi menamatkan catuan air.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Tautan Kasih Bersama Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri di sini, malam tadi berkata, bekalan tersebut dijangka pulih sepenuhnya sebelum bulan Ramadan ini dan masyarakat terutama umat Islam tidak perlu bimbang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140422/dn_31/Catuan-air-di-Lembah-Klang-dihentikan-minggu-depan#ixzz2zaXkcTXZ
© Utusan Melayu (M) Bhd


Status Catuan Air Di Selangor Akan Diumum Minggu Depan - Khalid

KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor dijangka mengumumkan status catuan bekalan air di negeri itu dan kawasan sekitar pada minggu depan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beberapa persetujuan telah dicapai hasil perbincangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada petang semalam.

"Minggu hadapan kita akan isytiharkan bagaimana keadaan catuan, tindakan yang akan diambil dan kita juga merasakan kita boleh membuat keputusan tentang keadaan air untuk rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Pada pandangan kita rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak perlu takut mereka tidak ada air sehingga enam bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih Bersama Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang di sini, Isnin malam.

Beliau turut memberi jaminan tiada catuan air akan dilakukan pada bulan puasa dan Aidilfitri nanti kerana kerajaan negeri mempunyai simpanan dan punca air yang mencukupi.

Menyentuh tentang pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, beliau berkata perbincangan dengan kerajaan pusat akan diteruskan.

"Dalam masa yang tercepat boleh jadi dalam minggu depan semuanya akan kita selesaikan supaya rakyat tidak tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya tentang keadaan situasi air dan juga penyusunan semula industri air di Selangor," katanya.

-- BERNAMA


Thursday, April 17, 2014

Arahan catuan air tidak boleh ditarik balik


SHAH ALAM - 17 April: Kerajaan Selangor tidak boleh menarik balik arahan catuan bekalan air buat masa ini kerana paras air mentah di empangan-empangannya masih rendah, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita (kerajaan negeri) tidak boleh tarik balik catuan sekarang. Ini kerana langkah itu akan menyebabkan akibat lebih buruk, air empangan akan turun lagi dengan lebih cepat," katanya pada persidangan dewan undangan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul yang dibawa Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) menggesa kerajaan negeri menghentikan catuan air yang dihadapi rakyat Selangor dan kawasan sekitarnya.

Jelas Abdul Khalid, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau (KeTTHA) Isnin ini untuk mencari pendekatan dan langkah yang sesuai untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi rakyat.

Sementara itu, Mohd Shamsudin yang ditemui pemberita di lobi dewan meminta Abdul Khalid menerima tawaran daripada Kerajaan Negeri Sembilan yang bersedia menjual air terawat dari negeri itu.

"Untuk jangka masa pendek kita perlu penyelesaian segera dan pembelian air merupakan langkah yang tepat...kita tidak boleh tunggu sehingga paras air betul-betul di tahap kritikal," katanya.

Semalam, Kerajaan Negeri Sembilan dilaporkan bersedia menjual air terawat kepada Selangor dan Kuala Lumpur yang kini menghadapi masalah bekalan air.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri tiada masalah menjual air maksimum 20 juta gelen sehari menerusi Loji Rawatan air Ngoi-Ngoi di Pantai, Seremban ke negeri berkenaan. - Bernama

Saturday, April 5, 2014

Hujan Lebat, Pengeluaran Air Terawat Meningkat, Catuan Tetap Seperti Biasa - Syabas


KUALA LUMPUR - 4 April: Pengeluaran air terawat dari Sungai Selangor berjaya ditingkatkan ekoran hujan sejak dua hari lepas, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada Jumaat.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, walapun pengeluaran air terawat bertambah, catuan tetap diteruskan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke sebahagian kawasan-kawasan terlibat.

"Penyaluran bekalan air itu merupakan langkah sementara dan boleh dihentikan bila-bila masa jika aliran air di sungai kembali berkurangan. Oleh yang demikian, para pengguna di kawasan yang terlibat diminta untuk terus berjimat cermat dalam menggunakan air," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata, pelan catuan air yang dilaksanakan oleh Syabas kini membabitkan hampir 7.03 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila pelan catuan peringkat keempat bermula Jumaat.

"Catuan Peringkat Keempat menyaksikan tambahan 633 kawasan kepada catuan Peringkat Ketiga di Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dengan sejumlah 626,233 pintu rumah terjejas," katanya.

Selain itu, beliau berkata, catuan Peringkat Pertama yang bermula pada 27 Februari juga masih aktif walaupun Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi telah mula beroperasi sejak 30 Mac lepas.

Catuan masih diaktifkan kerana sumber air mentah dari Sungai Langat masih terdedah kepada risiko pencemaran ammonia ekoran ketiadaan penurunan hujan di sekitar kawasan sungai, katanya.

Alfred berkata, pihaknya telah membuat perancangan rapi untuk melaksanakan pelan itu dengan menambahbaik pelaksanaan catuan dari masa ke semasa mengikut pengalaman dan keadaan sebenar selepas setiap pusingan pelan catuan.

Katanya, untuk memastikan kelancaran pelan tersebut, Syabas menggunakan 649 tenaga kerja bagi mengoperasikan 850 injap pelbagai saiz yang perlu ditutup dan dibuka pada waktu tertentu.

Sumber: mstar.com.my

Friday, March 21, 2014

Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama Dan Ketiga Masih Diteruskan


KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama)-- Pelaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air di Selangor peringkat pertama dan ketiga masih diteruskan mengikut jadual sehingga Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menerima arahan atau sebarang keputusan daripada kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata walaupun Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi beroperasi semula sejak 17 dan 19 Mac lepas, namun syarikat itu belum dapat memastikan kestabilan paras ammonianya.

"Ia (paras ammonia) masih di bawah pemantauan operator loji rawatan air dan Syabas juga dimaklumkan bahawa pada masa ini, loji-loji rawatan air itu akan beroperasi mengikut keadaan kualiti sumber air mentah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hujan di beberapa kawasan termasuk di Sungai Selangor sejak beberapa hari lepas telah meningkatkan aliran air sungai di kawasan bekenaan namun pelepasan air daripada Empangan Sungai Selangor tetap pada tahap pengurangan sebanyak 500 Juta Liter Sehari (JLH).

Alfred berkata hujan membolehkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Sungai Rasa dan LRA Rantau Panjang menambah pengeluaran air terawat.

Pelan catuan air peringkat pertama melibatkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang berikutan penutupan LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi ekoran pencemaran ammonia.

Pelan catuan air peringkat ketiga pula melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Shah Alam ekoran kekurangan bekalan air terawat.

Sehubungan itu, Syabas meminta pengguna berjimat dalam penggunaan air bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lama. -BERNAMA

Wednesday, March 19, 2014

7 Empangan Selangor Di Atas Paras Kritikal


KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata, tujuh empangan di negeri Selangor masih berada di atas paras kritikal.

Pengarahnya, Md Khairi Selamat berkata, tahap kritikal air di empangan ialah apabila jumlahnya mencecah 30 peratus bersamaan 69 juta meter padu.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan jumlah air di kesemua empangan negeri termasuk pembenihan awan untuk menghasilkan hujan yang dilakukan pada 15 dan 16 Mac lalu.

Bagaimanapun tinjaun Luas semalam mendapati kadar hujan yang kurang gagal menyumbang peningkatan kapasiti air di enam empangan – Empangan Langat, Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Batu, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang.

“Hanya kapasiti empangan Klang Gates yang menunjukkan sedikit peningkatan iaitu daripada 51.16 peratus kepada 51.30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain jumlah hujan yang kurang, kata Md Khairi, faktor kadar pengewapan air yang tinggi ketika cuaca panas ketika ini turut menjadi faktor kurangnya peningkatan air di empangan.

Luas juga akan meneruskan catuan air seperti yang sedang dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan mengurangkan pelepasan air di empangan untuk keperluan bagi memanjangkan hayat simpanan air di negeri itu, katanya.

Selain daripada usaha-usaha dilakukan pihaknya, Luas juga menasihatkan orang ramai supaya menjimatkan air menerusi penggunaan berhemah. – BERNAMA

Thursday, March 13, 2014

Bekalan Air Bersih di Lembah Klang Semakin Kritikal, Air Empangan Susut


PETALING JAYA : Paras air empangan terbesar di Selangor iaitu Empangan Sungai Selangor berada di kedudukan kritikal apabila kapasiti yang boleh disalurkan hanya tinggal 40.53 peratus mengikut paras air yang direkodkan pada pukul 8 pagi Khamis.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Empangan Sungai Selangor menyalurkan air bersih kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang dan 7.1 juta penduduk orang Selangor.

Kadar air di empangan itu yang semakin menurun dilihat konsisten dengan kenyataan kerajaan Selangor pada awal Februari yang mengatakan air di empangan berkenaan berkurangan sebanyak 0.4 peratus setiap hari disebabkan cuaca panas terik dan kekurangan hujan.

Empangan lain di Selangor yang turut merekodkan kedudukan paras air membimbangkan ialah Empangan Batu (90,72 peratus), Langat (61.53 peratus), Semenyih (77.49 peratus) , Sg Tinggi (71.22 peratus) dan Tasik Subang (91.63 peratus).

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star sebelum ini melaporkan paras air di empangan akan dianggap kritikal jika  berada dibawah 40 peratus.

Walau bagaimanapun, Pengarah LUAS Md Khairi Selamat, menolak dakwaan tersebut kerana kadar air di empangan dianggap kritikal apabila berada dibawah paras 30 peratus.

"Jika keadaan seperti ini berterusan iaitu tiada hujan, kita hanya mempunyai masa selama 30 hari sebelum air di Empangan Sungai Selangor mencapai paras kritikal.

Kekurangan sumber air bersih di  Selangor telah membawa angkah catuan air bagi bulan Mac.

Proses catuan air kini melalui fasa ketiga dan menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tindakan itu telah menjejaskan 722,032 isi rumah atau kira-kira 3.6 juta orang.

Misi pembenihan awam juga kini tertangguh gara-gara pasukan keselamatan dan pesawat digunakan untuk mencari penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang dari radar.

Sementara itu di Johor, beribu-ribu keluarga bakal bergantung kepada lori tangki bagi mendapatkan air bersih.

Menurut SPAN, loji rawatan air di Sembrong Timur hanya mampu menghasilkan kurang daripada 0.4 juta liter air terawat sehari, berbanding dengan 31 juta liter yang digunakan di seluruh negeri berkenaan.

Keadaan paras air yang kritikal turut direkodkan di Mersing iaitu di empangan Empangan Congok.

Berikutan itu, catuan air terpaksa dikenakan di Mersing, Kulaijaya dan Kota Tinggi bermula 17 hingga 31 Mac.

sumber: mstar.com.my

Thursday, February 27, 2014

Agihan Air Berjadual Empat Zon Di Kluang Dilanjutkan Kepada 48 Jam

JOHOR BAHARU, 27 Feb. - Pengagihan air berjadual di empat zon di Kluang dilanjutkan kepada 48 jam sekali berbanding 36 jam sebelum ini berikutan keupayaan Loji Rawatan Air Sembrong Timur membekalkan air terawat semakin berkurangan.

Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) Jamaluddin Jamal berkata bekalan air terawat daripada Loji Sembrong Timur kendalian Southern Water Corp (SWC) ketika ini berkurangan sebanyak 65.52 peratus.

"Pada hari ini, loji terbabit hanya mampu mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 10 juta liter sehari berbanding 12 juta liter sehari semalam. Lanjutan keadaan ini, SWC gagal membekalkan air terawat kepada SAJ pada pengeluaran sepatutnya bagi mengekalkan jadual sedia ada," katanya dalam kenyataan Khamis.

Penjadualan baru yang berkuatkuasa daripada 1 sehingga 31 Mac itu, hanya membabitkan kawasan tertentu di Kluang manakala kawasan lain di Johor masih stabil.

Jamaluddin berkata, sumber air mentah yang diterima daripada semua loji rawatan air yang lain adalah pada paras normal dan masih boleh beroperasi seperti biasa walaupun berlaku sedikit penyusutan.

"Lapan empangan yang dipantau iaitu Empangan Lebam, Congok, Juaseh, Bekok, Labong, Gunung Pulai, Pontian Kecil dan Layang (Upper) merekodkan paras yang stabil dan masih belum mencapai paras amaran," katanya.

Menurut Jamaluddin, orang ramai tidak perlu bimbang dengan menyimpan air berlebihan kerana ia akan menyebabkan penggunaan yang tinggi serta mengakibatkan permintaan air berlebihan.

SAJ menasihatkan orang ramai supaya mengambil pendekatan tidak membazirkan penggunaan air bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan, katanya.

Orang ramai boleh merujuk jadual pengagihan air di http://saj.com.my atau menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian Mesra 1 800 88 7474 atau khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 019-7727474 atau menerusi e-mel customer.care@saj.com.my yang beroperasi 24 jam. - BERNAMA

28 loji air Pahang catat bacaan rendah


KUANTAN - Sebanyak 28 daripada 80 loji rawatan air di Pahang mencatat paras bacaan rendah akibat kemarau dan beberapa faktor lain.

Pegawai Perhubungan Awam Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Datuk Jafar Abdullah berkata, loji berkenaan terletak di lapan daerah yang mendapatkan sumber air dari anak Sungai Pahang dan Sungai Pahang.

Katanya loji terbabit terletak di daerah Lipis (7), Jerantut (5), Temerloh (4), Maran (4), Pekan (3), Bentong (3) dan masing-masing satu di Rompin dan Bera.

"Sekiranya musim kemarau berlarutan lebih lama, ia akan menyebabkan loji-loji yang mencatatkan paras rendah ini terpaksa ditutup," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata selain kemarau, faktor yang dikenal pasti menjadi punca penyusutan bacaan air ialah aliran air sungai di muka sauk yang tersekat oleh longgokan pasir hingga menyebabkan air mengalir ke arah lain.

Sehubungan itu menurut Jafar, kerja membuang longgokan pasir di muka sauk loji sedang dilakukan, selain membina benteng pasir di tebing sungai berhampiran muka sauk, bagi melancarkan semula aliran air ke dalam loji.

"Air di 28 buah loji terbabit bagaimanapun masih mampu untuk menampung bekalan kepada pengguna di kawasan itu," katanya.

Mengikut rekod, Pahang membekalkan air kepada hampir dua juta pengguna dengan kadar penggunaan lebih 34 juta meter padu sebulan. - Bernama

Tuesday, February 25, 2014

Syabas: 71 kawasan terlibat catuan air

Keadaan paras air di Empangan Batu Ulu Yam yang berkurangan akibat cuaca panas

KUALA LUMPUR - Pelan catuan bekalan air di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan bermula dari 27 Februari hingga 31 Mac ini, kata Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), V. Subramaniam.

Beliau berkata pelan itu dilaksanakan kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi masih ditutup akibat pencemaran amonia di Sungai Langat sejak 28 Januari lepas.

"Untuk makluman, pelan itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam (24 Februari). Ia melibatkan lebih 60,000 pengguna di 71 kawasan terjejas," katanya pada sidang media khas di ibu pejabat Syabas di sini hari ini.

Menurutnya, air akan diambil dari loji Semenyih, Sungai Labu dan Langat bagi menampung keperluan pengguna berkenaan.

Sehubungan dengan pelaksanaan pelan itu, Syabas menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kononnya syarikat berkenaan tidak menyediakan pelan pengagihan air berjadual dan catuan bekalan air.

"Tuduhan itu tidak benar kerana cadangan penyediaan pelan berkenaan telah dibentang pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 18 Februari lepas.

"Susulan itu, kerajaan Selangor telah memanjangkan permohonan cadangan pelan kepada SPAN pada lewat petang 21 Februari sebelum diluluskan semalam," jelas Subramaniam.

Khalid sebelum ini dilapor menyalahkan Syabas sebagai punca kekurangan bekalan air yang dihadapi penduduk sejak minggu lepas dan mendakwa pelan pengagihan tersebut sepatutnya dilaksanakan awal bagi membolehkan pengguna membuat persiapan.

Berikut adalah kawasan yang terjejas:

WILAYAH HULU LANGAT

Zon 1

  • Taman Juara Jaya
  • Taman Bukit Belimbing
  • Taman Sungai Besi Indah 1,2 & 3
  • Taman Harmoni Indah
  • Taman Puncak Utama, Seri Kembangan
  • Taman Putra Budiman
  • Taman Balakong Jaya
  • Taman Seri Timah
  • Taman Tanming Jaya
  • Kawasan perindustrian Balakong
  • Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan
  • Taman Industri Balakong
  • Taman Tanming Permai
  • Taman Industri Lifong
  • Taman Tanming Ria
  • Taman Sungai Besi Indah Zon 1
  • Juta Mines Kondominium, Seri Kembangan


Zon 2

  • Kawasan Perindustrian Cheras Jaya
  • Taman Impian Ehsan Seri Kembangan
  • Taman Desa Karunmas Seri Kembangan
  • Kampung Baru Balakong
  • Taman Kasturi Cheras
  • Taman Sri Indah Cheras
  • Taman Bukit Emas
  • Taman Cheras Jaya
  • Taman Impian Indah
  • Taman Taming Indah
  • Taman Sejati
  • Taman Seri Sungai Long
  • Taman Bukit Sungai Long
  • Rumah Kenangan Cheras
  • Taman Dutamas
  • Taman Setia Kasturi Cheras
  • AEON Cheras Selatan
  • Taman Industri Balakong Jaya
  • Taman Setia Balakong
  • Taman Sinaran
  • Kawasan Perniagaan Desaria, Seri Kembangan
  • Dataran C180 Balakong


WILAYAH KUALA LANGAT & SEPANG

Zon 1

  • Kampung Olak Lempit
  • Kampung Bukit Changgang
  • Kampung Labohan Dagang
  • Selangor Dredging
  • Taman Changgang Jaya
  • Kompleks Perabut Olak Lempit
  • RTB Bukit Changgang
  • Bandar Sri Ehsan
  • Bandar Mahkota
  • Bandar Sungai Emas
  • Taman Arked
  • Taman Ambar
  • Taman Sri Dagang
  • Taman Langat Murni
  • Taman Langat Utama
  • Taman Murnimas
  • Taman Seri Telok Datok
  • Taman Sri Cheding
  • Sekolah Tamil Sungai Sedu


Zon 2

  • Kota Warisan
  • Warisan Bestari
  • Taman Bunga Raya
  • Taman KLIA Indah
  • Tiara Heights
  • Taman Ixora
  • Taman Dahlia
  • Taman Seroja
  • Taman Mawar ( Mawar 1, Mawar 2, Mawar Perdana, Emas Villa )
  • Taman Kenanga
  • Taman Desa Vista
  • Taman Desa Bestari
  • Salak Permai

- Bernama

Monday, February 24, 2014

Catuan Air Di Seluruh Selangor Mulai Selasa


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan program catuan air secara bergilir di seluruh negeri mulai Selasa bagi menyeimbangkan penyaluran air di kawasan yang mengalami gangguan bekalan sejak 7 Feb lepas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata melalui program itu kawasan yang terbabit akan mendapat bekalan air selama dua hari diikuti catuan bagi dua hari berikutnya.

"Menerusi program catuan ini, kita janji setiap pengguna akan dapat bekalan air cuma ia akan dicatu iaitu penyaluran bekalan air dilakukan selama dua hari dan dua hari (berikutnya) tiada air dan seterusnya.

"Sekurang-kurangnya dalam seminggu, empat hari pengguna akan dapat air sepenuhnya dan catuan akan berlarutan sehingga ke suatu masa yang kita rasa sesuai untuk hentikannya iaitu apabila musim hujan bermula, dijangka akhir Mac," katanya selepas menghadiri perjumpaan bulanan penjawat awam di sini Isnin.

Beliau berkata program catuan air dilakukan bagi mengekalkan jumlah air sedia ada di empangan di negeri ini supaya ia dapat bertahan untuk dua bulan akan datang seandainya musim panas terus berlarutan.

Abdul Khalid berkata jika musim hujan tiba lebih awal, catuan itu akan dihentikan dan pihaknya akan memaklumkan keadaan sebenar krisis air pada pertengahan Mac depan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata menerusi program catuan itu, kawasan di Selangor akan dibahagikan kepada dua zon dan notis terperinci berkenaan pencatuan bekalan air mengikut kawasan itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini untuk hebahan lanjut.

Tambahnya, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan di kawasan yang teruk terjejas bekalan iaitu di sekitar loji Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi untuk mencari jalan terbaik membantu meringankan beban masyarakat yang mengalami kekurangan bekalan air.

Justeru, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya menggunakan air sewajarnya dan menyimpan air mengikut keperluan bagi mengelak kekurangan bekalan selain mengurangkan aktiviti yang boleh membazirkan bekalan itu dalam keadaan cuaca yang panas dan kering sekarang. - BERNAMA

Friday, February 14, 2014

Air Empangan Susut

PARAS air di Empangan Sungai Selangor mencecah paras 57.63% akibat kekurangan hujan.

Kuala Kubu Bharu: Warga Lembah Klang serta Putrajaya dijangka menjadi kumpulan penduduk paling teruk menerima gangguan bekalan air terawat jika kemarau melanda negara ketika ini berlanjutan tiga minggu lagi.

Ini berikutan Empangan Sungai Selangor (ESS), di sini, yang menyalur bekalan air mentah ke lima loji rawatan air (LRA) semakin merosot hingga mengakibatkan simpanan air mencecah 57.63 peratus, kurang daripada kebiasaannya.

 Turut berdepan nasib serupa adalah Empangan Klang Gate di Ampang, Kuala Lumpur dan Empangan Kelinchi di Negeri Sembilan masing-masing mempunyai simpanan air semasa 58 peratus dan 58.60 peratus.

Bagaimanapun, negeri lain tidak berdepan masalah berkenaan dan baki simpanan air empangan mereka masih terkawal.

Foto
PARAS air di Empangan Sungai Selangor mencecah paras 57.63% akibat kekurangan hujan.


Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekiranya cuaca panas yang kering terus berlarutan dibimbangi bekalan air kepada penduduk dihadkan untuk memastikan simpanan kawalan terjamin.


“Permintaan terhadap air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak pernah berkurangan sedangkan simpanan di empangan ini semakin merosot, begitu juga di Klang Gate dan Kelinchi di Negeri Sembilan.

“Kita bimbang jika tiada hujan dalam tempoh 16 hari lagi akan mengakibatkan simpanan air menurun kepada 45 peratus dan sudah tentu boleh menjejaskan keperluan bekalan air untuk penduduk.

TAHAP air di Empangan Klang Gate merosot kepada 58%.

EMPANGAN Sungai Selangor Kuala Kubu Bharu.

Sumber: hmetro.com.my