Pages

Showing posts with label MyHome. Show all posts
Showing posts with label MyHome. Show all posts

Thursday, April 24, 2014

37,000 sudah mohon skim MyHome

Datuk Abdul Rahman Dahlan

PUTRAJAYA - Sebanyak 37,000 permohonan diterima untuk Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome), yang memberikan insentif bantuan kewangan RM30,000 kepada yang layak, sejak dilancarkan 1 April lepas.
   
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata walaupun kementerian menetapkan kuota 10,000 pemohon sahaja diterima tahun ini, kementerian akan memastikan baki 27,000 pemohon akan berjaya untuk Skim MyHome tahun depan.
   
Beliau berkata setakat ini, lima syarikat pemaju perumahan mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Perumahan Negara untuk pembinaan 2,580 unit rumah di seluruh negara, yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
   
Sebanyak 49 syarikat pemaju perumahan lain turut memohon kepada Jabatan Perumahan Negara untuk menyertai skim berkenaan.
   
"Kementerian masih meneliti permohonan mereka bagi memastikan mereka tidak disenarai hitam sebagai syarikat pemaju perumahan yang bermasalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Skim MyHome diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, yang merupakan projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Jan 2014 dengan peruntukan RM300 juta di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
   
Dalam pada itu, mengenai bantahan Persatuan Denai Kuala Lumpur dan Selangor (Traks) terhadap Jabatan Landskap Negara (JLN) ekoran beberapa tindakan ke atas Taman Bukit Kiara, beliau berkata ia harus dilakukan demi keselamatan orang ramai.
   
"Antara tindakan JLN seperti memasang pagar di sekelilingnya untuk menghalang pemburu haram, penceroboh memasuki kawasan berkenaan dan membaik pulih cerun-cerun yang berbahaya di dalam kawasan rekreasi itu," katanya.
   
Abdul Rahman mengulas bantahan Traks baru-baru ini terhadap kerja-kerja yang dijalankan JLN di taman itu yang mendakwa ia memberi kesan kepada habitat flora dan fauna di situ. - Bernama

Friday, February 14, 2014

Program MyHome Skim Perumahan Mampu Milik


Kuala Lumpur: Program MyHome yang akan dilancarkan pada April ini bagi membolehkan pembeli rumah yang layak diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 untuk mereka membeli rumah terpilih pada harga kos rendah dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Datuk Seri Michael Yam Kong Choy berkata, langkah itu akan membantu golongan berpendapatan rendah membeli rumah terutama di lokasi dengan nilai hartanah yang melambung tinggi.

Pada masa sama, katanya, subsidi akan membantu pemaju untuk menghasilkan rumah kos rendah yang lebih luas dan berkualiti, sekali gus membantu meningkatkan kualiti kehidupan golongan tidak berkemampuan di kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Ini adalah langkah baik kerajaan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah yang tidak pernah memiliki rumah.

Di pihak pemaju, ia membantu mengimbangi kos kenaikan bahan binaan, pembelian tanah dan harga rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan pemaju kini terpaksa menanggung kerugian apabila membina rumah kos rendah terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar memandangkan harga permulaan yang ditetapkan pada RM42,000.

“Bayangkan kos membina sebuah rumah kos rendah berkeluasan 650 kaki persegi di ibu kota kini antara RM80,000 dan RM100,000.

“Kerugian boleh dikatakan antara kira-kira RM40,000 untuk sebuah rumah.

“Syarikat terpaksa memindahkan kerugian ini dengan membuat untung pada projek kediaman mewah.

Sekurang-kurangnya, subsidi ini akan membantu mengurangkan kos yang ditanggung oleh pemaju perumahan.

“Secara tidak langsung, ia akan membantu merancakkan lagi industri pembinaan dan perumahan negara sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Yam berkata, pembeli tidak perlu bimbang kerana kerajaan akan memantau pemaju yang menyertai program itu supaya ia tidak disalahgunakan syarikat swasta yang mahu mengaut keuntungan.

“Apa yang penting, kita perlu memastikan bahawa ada bekalan yang cukup berbanding permintaan.

Ini bagi membolehkan pembeli walaupun berpendapatan rendah mempunyai pilihan untuk membeli rumah pertama mereka,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan melancarkan program MyHome bagi membolehkan pembeli rumah yang layak diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 untuk mereka membeli rumah terpilih pada harga kos rendah.

Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Majlis Perumahan Negara, yang dipengerusikannya semalam.

Perlaksanaan Program Perumahan MyHome

  • Subsidi akan diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli pada harga rumah kos rendah mengikut definisi yang ditetapkan kerajaan negeri
  • Syarat yang akan dipertimbangkan adalah kepada rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan merupakan rumah pertama
  • Rumah ini juga tidak boleh jual dalam tempoh 10 tahun
  • Skim ini dibawah sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
  • Sebanyak 10,000 unit rumah MyHome akan ditawarkan kepada rakyat tahun ini dengan dana RM300 juta di bawah Bajet 2014
  • Selain itu, kerajaan juga sedia mempertimbangkan untuk akan meningkatkan jumlah unit MyHome pada masa depan

Contoh Ringkasan Program MyHome

  • Sebagai contoh, kerajaan negeri menetapkan rumah kos rendah pada harga RM40,000, sedangkan pemaju terpaksa menjual rumah pada harga RM70,000,
  • Justeru itu kalau pemaju dan pembeli berkenaan berkelayakan untuk mengambil bahagian dalam skim ini, maka rumah RM70,000 akan dijual pada harga RM40,000, dan baki RM30,000 dibayar kerajaan

Sumber: hmetro.com.my, mysumber.com