Pages

Tuesday, May 7, 2013

Ketua Menteri Melaka: Idris Haron ganti Ali Rustam

ADUN Sungai Udang Datuk Idris Haron mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Pejabat Yang Dipertua Negeri di Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.Turut kelihatan mantan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri) bersama isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman (dua, kiri).-Foto BERNAMA
MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Wira Idris Haron mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-10 di hadapan Yang di-Pertua Negeri di Seri Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob pada pukul 10.20 pagi Selasa.

Idris yang juga Ketua Umno Tangga Batu, menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang bertanding dan tewas di Parlimen Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pada PRU-13, Idris menewaskan calon PKR, Asri Buang di Sungai Udang dengan majoriti 9,131 undi.

Idris yang genap 47 tahun pada 13 Mei ini, adalah lulusan University of Texas, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang kejuruteraan elektrik dan pernah menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad hingga hari ini.

sumber: mstar.com.my 

Anwar Kekal Ketua Pembangkang - Kit Siang

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sekalipun DAP menang lebih banyak kerusi berbanding PKR.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata perkara itu dipersetujui semua parti dalam pakatan pembangkang susulan kejayaan DAP memenangi 38 kerusi, PKR 30 dan PAS 21 pada pilihan raya umum ke-13 Ahad.
"Ini selaras dengan komitmen kami bahawa beliau akan memimpin kerajaan pakatan," kata Anggota Parlimen Gelang Patah itu pada sidang media di ibu pejabat DAP, di sini Isnin.

Sementara itu, Setiausaha Pengelola DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata DAP akan memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan tiga kerusi parlimen iaitu Bentong dan Cameron Highlands di Pahang, serta Labis di Johor.

DAP kalah di Bentong kepada penyandang Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang meraih majoriti 376 undi, manakala di Cameron Highlands mereka kalah dengan 462 undi kepada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Labis gagal direbut daripada anggota jawatankuasa pusat MCA Datuk Chua Tee Yong yang berkelebihan 353 undi. - BERNAMA

Pemilihan Sebagai MB Kelantan Atas Permintaan Nik Aziz - Ahmad Yakob


KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakob berkata, pemilihan beliau untuk memegang jawatan itu adalah atas permintaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahmad berkata, permintaan Nik Aziz itu turut mendapat restu daripada pimpinan PAS Pusat.

"(Pemilihan) sebenarnya sebelum pilihan raya tetapi saya beri peluang kepada Tok Guru (gelaran Nik Aziz) supaya memilih mana-mana (pihak) sebab saya suka pada mana-mana sahabat (di kalangan pemimpin PAS) untuk menjadi Menteri Besar.

"Tetapi bagi Tok Guru, dia mahu satu perkataan sahaja... tidak mahu lebih daripada itu. Jadi, apabila tidak ada pilihan dan telah dipersetujui oleh PAS Pusat, saya secara sukarela menerima tanggungjawab yang tinggi dan besar ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kelantan di hadapan Sultan Muhammad V Tengku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail di Istana Negeri Kubang Kerian dekat sini, Isnin.

Perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar sekali gus mengakhiri pimpinan Nik Aziz di kerajaan negeri selama lebih 22 tahun sejak tahun 1990.

Ahmad berkata, pemilihan tersebut bukan sahaja memberi kejutan kepada seluruh rakyat Kelantan tetapi kepada beliau sendiri.

"Ini terutama antara saya dengan Tok Guru yang begitu jauh dari segi keilmuan, kewarakan dan sebagainya... tidak dapat ditandingi lagi. Bagaimanapun, perkara ini sebagai Menteri Besar adalah tanggungjawab dan amanah," katanya.

Beliau menambah, ia dapat dilaksanakan secara elektif sebagaimana yang diamalkan oleh Nik Aziz dan kerjasama teman-teman seperjuangan yang mampu untuk membuat sesuatu atas dasar membangun bersama Islam.

"Ia terutama mengikut apa yang telah kita tawarkan kepada rakyat pada pilihan raya iaitu negeri berasaskan keberkatan, kemakmuran dan kebajikan," katanya.

Ditanya mengenai perlantikan itu akan menjejaskan pimpinan PAS negeri, Ahmad berkata, ia merupakan suatu kejutan kepada semua pada peringkat pertama tetapi perlu menerima hakikatnya Nik Aziz sentiasa uzur atas faktor usia.

Bagaimanapun Ahmad berkata, beliau akan meneruskan visi dan misi yang diperjuangkan oleh Nik Aziz yang berpengalaman sebagai Menteri Besar selama 23 tahun.

"Dengan itulah, kita tak akan buat perubahan tetapi pembaharuan dengan keupayaan pada exco-exco baru yang kita akan lantik," katanya.

sumber: mstar.com.my 

Menteri Besar Kelantan: Ahmad Yakob ganti Nik Aziz

Ahmad Yakob mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
KOTA BARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru di Istana Negeri Kubang Kerian dekat sini, kira-kira pukul 6 petang sekali gus menamatkan pimpinan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di negeri itu selama 22 tahun.

Ahmad, 63, yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Besar mengangkat sumpah di hadapan Sultan Muhammad V Tengku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail.

Nik Aziz, 82, memutuskan untuk bersara daripada memegang jawatan itu di mana kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1990.

Bagaimanapun difahamkan, Nik Aziz terus kekal sebagai Mursyidul Am PAS.

Pemilihan Ahmad sebagai Menteri Besar Kelantan dibuat selepas PAS kekal memerintah Kelantan yang memperoleh majoriti mudah dengan 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Ahad.

Ahmad sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan pada Mac 2004.

Pada PRU-13, beliau yang mewakili PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN Pasir Pekan yang disandangnya dengan majoriti 5,644 undi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik juga mengambil giliran mengangkat sumpah setia perlantikan.

Ahli Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Fatah Mahmud, Nasaruddin Daud Mejar (B) Datuk Ainizam Abdul Rahman, Datuk Che Abdullah Md Nawi, Datuk Dr Mohd Fadli Hassan, Hanifah Ahmad, Dr Ramli Mamat dan Mumtaz Md Nawi.

sumber: mstar.com.my 

Ketua Menteri Sabah: Musa Aman Angkat Sumpah

Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu, Sabah.
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini Isnin.

Angkat sumpah berkenaan juga menandakan ia penggal keempat Musa mengetuai kerajaan negeri sejak pelantikan pada 2003 mengikut sistem penggiliran.

Musa menjadi ketua menteri selepas mengetuai kemenangan BN pada pilihan raya umum 2004.

Selepas pilihan raya umum pada Ahad, BN mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, BN Sabah kali ini kehilangan 12 kerusi DUN berbanding tiga pada PRU 2008.

Sementara PKR berjaya menembusi tujuh kawasan DUN iaitu Api-api, Moyog, Kadamaian, Matunggong, Tamparuli, Klias dan Inanam.

DAP pula yang sebelum ini memiliki satu kerusi DUN, menambah empat kerusi iaitu Luyang, Kapayan, Sri Tanjong dan Likas.

Parti Reformasi Sabah (STAR) pula menang kerusi tunggal di Bingkor.
Musa mengekalkan kerusi DUN Sungai Sibuga dengan majoriti 11,569 undi. - BERNAMA