Pages

Showing posts with label Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Kelantan. Show all posts

Saturday, April 5, 2014

Kelantan Laksana Hudud Secara Terbuka


KOTA BHARU - 4 April: Kerajaan Kelantan akan melaksanakan hukum hudud mengikut pendekatan secara terbuka, yang mana orang bukan Islam juga boleh mengikut pelaksanaan undang-undang tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, malah dari segi perlaksanaan juga Kelantan tidak meniru mana-mana negara luar yang turut mengamalkan undang-undang tersebut tetapi berlandaskan lunas Islam yang sebenar.

“Hukum hudud ini mempunyai dua pandangan berbeza iaitu mesti dilaksanakan secara menyeluruh kepada orang Islam serta bukan Islam ataupun hanya dilaksanakan kepada orang Islam sahaja.

"Maka oleh sebab itu, kita melaksanakannya secara terbuka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi jaminan Kelantan akan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukum hudud itu selewat-lewatnya pada 2015.

Mohd Amar berkata, Kelantan kini sedang menyiapkan draf undang-undang persendirian yang akan dibawa ke Parlimen bagi mendapat kebenaran untuk melaksanakan undang-undang tersebut seperti diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan pernah menolak hukum hudud yang diperjuangkan Pas kerana dilihat cenderung untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat Islam di negara ini.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud ketika diminta mengulas isu tersebut turut berkata, Dr Mahathir seharusnya turut sama memperjuangkan pelaksanaan hukum tersebut jika ia dilihat tidak betul.

“Sekiranya hukum hudud Pas bukan hukum sebenar dan tidak betul, beliau bawalah hukum Islam yang betul tetapi malangnya sehingga hari ini, beliau tidak pernah mengetengahkan hukum hudud,” katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

Wednesday, February 5, 2014

Khairul Fahmi tengah cari nama anak


KOTA BHARU - Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui, dia mencari nama yang sesuai untuk diberikan kepada anak sulungnya yang selamat dilahirkan kelmarin.

Menurut penjaga gawang The Red Warriors itu, kehadiran cahaya mata sulung tersebut melonjakkan lagi semangatnya untuk terus cemerlang dalam karier bola sepak pada masa hadapan.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berkata, dia akan terus bekerja lebih keras selepas ini bagi memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Masih banyak yang perlu saya pelajari, bagaimanapun saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab bapa.

"Saya belum memberikan nama anak dan masih sedang mencari," katanya ketika ditemui di rumahnya ibu mertuanya di Pasir Pekan, dekat sini semalam.

Kata pemain berusia 25 tahun itu lagi, kehadiran cahaya mata ini juga akan lebih mendisiplinkan dirinya, terutama dari segi pengurusan masa antara kerjaya dan keluarga.

Kelmarin, isteri Khairul Fahmi, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 23, atau lebih dikenali sebagai Leuniey selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.75 kilogram secara normal kira-kira pukul 3 petang.

Khairul Fahmi berkata, kehadiran cahaya mata itu memberi pengalaman baharu buatnya terutama dalam menjalankan tugas sebagai bapa dan suami.

Sumber: Utusan.com.my



Tuesday, February 4, 2014

Khairul Fahmi dapat anak perempuan


Kota Bharu: Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, menyambut kelahiran bayi sulung menerusi perkahwinannya dengan Leuniey Natasha Nazri, 22, semalam.

Bayi perempuan seberat 2.75 kilogram (kg) itu dilahirkan secara normal di Hospital Pakar Perdana, di sini, kira-kira jam 3 petang.

Apek berkata, beliau bersyukur apabila bayinya selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah.

Katanya, ia sekali gus memberi semangat bagi menghadapi perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

“Saya bersyukur kerana bayi perempuan kami selamat dilahirkan dan berada dalam keadaan sihat.

“Ia memberi semangat kepada saya menghadapi perlawanan malam esok (malam ini),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Disember 2012.


Sumber: hmetro.com.my


Monday, January 13, 2014

TRW laung amaran



Kota Bharu: Jurulatih Kelantan, Steve Darby mengakui sudah menemui kombinasi pemain terbaik selepas berjaya menewaskan pasukan kelab dari Thailand, Phattalung FC 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Darby tidak menafikan kehebatan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang berjaya meledak hatrik malah mempamerkan gandingan mantap dengan penyerang tempatan, Ahmad Fakri Saarani yang turut menyumbang satu jaringan.

Beliau berkata, kombinasi pemain terbaik yang dimaksudkan tidak diukur melalui keputusan perlawanan sebaliknya melihat keserasian yang dipamerkan pemain malah menyifatkan anak didiknya sudah bersedia untuk menghadapi saingan sebenar musim ini.

Katanya, gandingan mantap yang dipamerkan Ghaddar dan Ahmad Fakri meyakinkan jurulatih berusia 58 tahun dari England itu untuk menjadikan The Red Warriors (TRW) sebagai pencabar kuat musim ini.

“Pemain begitu cemerlang malam ini (kelmarin) malah Ghaddar dan Ahmad Fakri begitu serasi berada di barisan hadapan apabila masing-masing mampu menjaringkan gol.

“Mereka juga menunjukkan kesungguhan dan mengawal posisi masing-masing dengan baik sekali gus memberi keyakinan kepada saya membina satu kombinasi pemain terbaik,” katanya.

Bagaimanapun pada perlawanan itu, seorang lagi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan dalam aksi persahabatan menentang Perlis 6 Januari lalu.

Darby berkata, selain berharap Forkey Doe cepat pulih, beliau juga memuji pemain pertahanan import, Obinna Nwaneri yang beraksi cemerlang di posisinya meskipun baru bersama pasukan selepas bercuti panjang kerana isterinya sakit.

“Forkey Doe mengalami sedikit kecederaan dan saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya. Nwaneri pula membuktikan prestasinya tidak terjejas meskipun bercuti panjang sebelum ini,” katanya.

Sumber: hmetro.com.my

Tuesday, May 7, 2013

Pemilihan Sebagai MB Kelantan Atas Permintaan Nik Aziz - Ahmad Yakob


KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakob berkata, pemilihan beliau untuk memegang jawatan itu adalah atas permintaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahmad berkata, permintaan Nik Aziz itu turut mendapat restu daripada pimpinan PAS Pusat.

"(Pemilihan) sebenarnya sebelum pilihan raya tetapi saya beri peluang kepada Tok Guru (gelaran Nik Aziz) supaya memilih mana-mana (pihak) sebab saya suka pada mana-mana sahabat (di kalangan pemimpin PAS) untuk menjadi Menteri Besar.

"Tetapi bagi Tok Guru, dia mahu satu perkataan sahaja... tidak mahu lebih daripada itu. Jadi, apabila tidak ada pilihan dan telah dipersetujui oleh PAS Pusat, saya secara sukarela menerima tanggungjawab yang tinggi dan besar ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kelantan di hadapan Sultan Muhammad V Tengku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail di Istana Negeri Kubang Kerian dekat sini, Isnin.

Perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar sekali gus mengakhiri pimpinan Nik Aziz di kerajaan negeri selama lebih 22 tahun sejak tahun 1990.

Ahmad berkata, pemilihan tersebut bukan sahaja memberi kejutan kepada seluruh rakyat Kelantan tetapi kepada beliau sendiri.

"Ini terutama antara saya dengan Tok Guru yang begitu jauh dari segi keilmuan, kewarakan dan sebagainya... tidak dapat ditandingi lagi. Bagaimanapun, perkara ini sebagai Menteri Besar adalah tanggungjawab dan amanah," katanya.

Beliau menambah, ia dapat dilaksanakan secara elektif sebagaimana yang diamalkan oleh Nik Aziz dan kerjasama teman-teman seperjuangan yang mampu untuk membuat sesuatu atas dasar membangun bersama Islam.

"Ia terutama mengikut apa yang telah kita tawarkan kepada rakyat pada pilihan raya iaitu negeri berasaskan keberkatan, kemakmuran dan kebajikan," katanya.

Ditanya mengenai perlantikan itu akan menjejaskan pimpinan PAS negeri, Ahmad berkata, ia merupakan suatu kejutan kepada semua pada peringkat pertama tetapi perlu menerima hakikatnya Nik Aziz sentiasa uzur atas faktor usia.

Bagaimanapun Ahmad berkata, beliau akan meneruskan visi dan misi yang diperjuangkan oleh Nik Aziz yang berpengalaman sebagai Menteri Besar selama 23 tahun.

"Dengan itulah, kita tak akan buat perubahan tetapi pembaharuan dengan keupayaan pada exco-exco baru yang kita akan lantik," katanya.

sumber: mstar.com.my 

Menteri Besar Kelantan: Ahmad Yakob ganti Nik Aziz

Ahmad Yakob mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
KOTA BARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru di Istana Negeri Kubang Kerian dekat sini, kira-kira pukul 6 petang sekali gus menamatkan pimpinan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di negeri itu selama 22 tahun.

Ahmad, 63, yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Besar mengangkat sumpah di hadapan Sultan Muhammad V Tengku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail.

Nik Aziz, 82, memutuskan untuk bersara daripada memegang jawatan itu di mana kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1990.

Bagaimanapun difahamkan, Nik Aziz terus kekal sebagai Mursyidul Am PAS.

Pemilihan Ahmad sebagai Menteri Besar Kelantan dibuat selepas PAS kekal memerintah Kelantan yang memperoleh majoriti mudah dengan 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Ahad.

Ahmad sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan pada Mac 2004.

Pada PRU-13, beliau yang mewakili PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN Pasir Pekan yang disandangnya dengan majoriti 5,644 undi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik juga mengambil giliran mengangkat sumpah setia perlantikan.

Ahli Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Fatah Mahmud, Nasaruddin Daud Mejar (B) Datuk Ainizam Abdul Rahman, Datuk Che Abdullah Md Nawi, Datuk Dr Mohd Fadli Hassan, Hanifah Ahmad, Dr Ramli Mamat dan Mumtaz Md Nawi.

sumber: mstar.com.my