Pages

Monday, January 13, 2014

TRW laung amaran



Kota Bharu: Jurulatih Kelantan, Steve Darby mengakui sudah menemui kombinasi pemain terbaik selepas berjaya menewaskan pasukan kelab dari Thailand, Phattalung FC 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Darby tidak menafikan kehebatan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang berjaya meledak hatrik malah mempamerkan gandingan mantap dengan penyerang tempatan, Ahmad Fakri Saarani yang turut menyumbang satu jaringan.

Beliau berkata, kombinasi pemain terbaik yang dimaksudkan tidak diukur melalui keputusan perlawanan sebaliknya melihat keserasian yang dipamerkan pemain malah menyifatkan anak didiknya sudah bersedia untuk menghadapi saingan sebenar musim ini.

Katanya, gandingan mantap yang dipamerkan Ghaddar dan Ahmad Fakri meyakinkan jurulatih berusia 58 tahun dari England itu untuk menjadikan The Red Warriors (TRW) sebagai pencabar kuat musim ini.

“Pemain begitu cemerlang malam ini (kelmarin) malah Ghaddar dan Ahmad Fakri begitu serasi berada di barisan hadapan apabila masing-masing mampu menjaringkan gol.

“Mereka juga menunjukkan kesungguhan dan mengawal posisi masing-masing dengan baik sekali gus memberi keyakinan kepada saya membina satu kombinasi pemain terbaik,” katanya.

Bagaimanapun pada perlawanan itu, seorang lagi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan dalam aksi persahabatan menentang Perlis 6 Januari lalu.

Darby berkata, selain berharap Forkey Doe cepat pulih, beliau juga memuji pemain pertahanan import, Obinna Nwaneri yang beraksi cemerlang di posisinya meskipun baru bersama pasukan selepas bercuti panjang kerana isterinya sakit.

“Forkey Doe mengalami sedikit kecederaan dan saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya. Nwaneri pula membuktikan prestasinya tidak terjejas meskipun bercuti panjang sebelum ini,” katanya.

Sumber: hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment