Pages

Monday, January 13, 2014

Kesebelasan utama JDT dikenal pasti

Johor Bahru: Selepas mengharungi lima perlawanan persahabatan kompetitif, jurulatih Johor Darul Takzim (DT), Cesar Ferrando Jiminez mengesahkan sudah mengenal pasti kesebelasan utama yang akan membawa cabaran saingan Liga Super musim ini.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, barisan kesebelasan utama mantap akan membawa cabaran pada aksi pertama berdepan Perak di Stadium Larkin, Sabtu ini dan pastinya taruhan terletak kepada sentuhan `magis’ bintang Argentina, Pablo Aimar untuk mengemudi jentera tengah skuad Harimau Selatan. 
Pada aksi terakhir persahabatan menentang juara Piala Singapura, Home United, kelmarin, yang berkesudahan seri 2-2, anak didik Jiminez memperagakan corak permainan bertenaga biarpun kesebelasan pemain yang diturunkan di anggap barisan kedua pasukan itu. 

“Saya tidak menurunkan pemain utama pada babak pertama kerana mahu menilai tahap sebenar pemain yang jarang diturunkan pada perlawanan persahabatan sebelum ini dan mereka begitu konsisten walaupun adakalanya masih belum mantap sepenuhnya.
“Saya sudah ada senarai pemain utama yang akan memulakan saingan Liga Super dan misi utama Johor DT mahukan kemenangan pertama apabila beraksi di tempat sendiri. Saya tahu semua pemain sudah beri komitmen tinggi dan ia cukup membanggakan.
“Walaupun ada kelemahan namun bagi saya ia tidak ketara kerana semuanya mampu diatasi pada sesi latihan yang menerapkan corak permainan berpasukan malah pemain sendiri tahu tugas yang harus mereka laksanakan,” katanya. 

Beliau menambah 29 pemain yang tersenarai mengharungi kempen Liga M adalah yang terbaik dan setiap pemain harus berada pada tahap memuaskan untuk bersedia diturunkan pada bila-bila masa. 

“Setiap pemain ada tanggungjawab yang dipikul, mereka perlu sentiasa bersedia kerana saya akan menurunkan siapa saja dalam pasukan itu mengikut kesesuaian corak permainan. Apa pun ada beberapa pemain masih lagi mengalami kecederaan dan saya sedang pantau tahap kecergasan mereka,” kata Jiminez.
sumber: hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment