Pages

Saturday, February 8, 2014

Pahang cipta kejutan ke atas JDT

Penyerang Pahang Matias Ruben Conti (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika mendahului Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Darul Makmur, dekat Kuantan, malam tadi. - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Juara Piala Malaysia, Pahang melakar kejutan selepas mengalahkan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kemenangan tipis 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Mohd Hafiz Kamal menjadi wira skuad Tok Gajah selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 menerusi tandukan hasil sepakan percuma pemain tengah, Azidan Sarudin.

Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 2-2 dengan gol Pahang dijaringkan Matias Conti pada minit ke-13 dan Fauzi Roslan (47') manakala gol skuad 'Harimau Selatan' dijaringkan Pablo Aimar (45+2') dan Mohd Safee Sali (72').

Sarawak pula melonjak ke tangga teratas Liga Super hasil kemenangan selesa 2-0 ke atas Selangor PKNS FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua gol pasukan pelawat kendalian Robert Alberts dijaringkan Milorad Janjus seawal minit kesembilan dan Gabor Gyepes, tujuh minit kemudian.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Jaringan Sabre Abu pada minit ke-47 sudah memadai untuk skuad 'The Cops' kendalian Dollah Salleh mengekalkan kedudukan pendahulu dengan kutipan bersih sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Negeri Sembilan mengutip tiga mata selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Felda United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Dua gol skuad 'Hoben Jang Hoben' dijaringkan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-13 dan S. Sivanesan (27') manakala gol saguhati skuad 'The Settlers' disumbangkan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-67.

Tiga lagi pasukan; Pulau Pinang, SPA Putrajaya FC dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pula mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas lawan masing-masing.

Pulau Pinang yang merupakan juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia musim lepas, mengalahkan UiTM FC hasil jaringan tunggal pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon pada minit ke-11 pada aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

SPA Putrajaya FC mengalahkan DRB-Hicom FC menerusi gol pemain import dari Perancis, Mickael Nicoise Joseph pada minit ke-33 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, JDT II menang tipis ke atas pasukan tangga tercorot, Perlis hasil jaringan See Kok Luen pada minit ke-90.

Terdahulu, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rosli Muda dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad pada minit ke-76 selepas beliau mengasari Kok Luen.

Perlawanan antara Kedah dan wakil Pulau Pinang, PBAPP FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini, ditangguhkan memandangkan kerajaan negeri menggunakan venue berkenaan untuk program khas. - Bernama



Thursday, February 6, 2014

JDT menang percuma ke atas T-Team


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memberi kemenangan 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas T-Team dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA yang tertangguh berikutan insiden pergaduhan di terowong ke bilik persalinan di Stadium Larkin Sabtu lalu.

Keputusan ini diumumkan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam sidang media di Wisma FAM sebentar tadi.

Hamidin berkata, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) membuat keputusan itu berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team yang tidak menghabiskan baki perlawanan pada separuh masa kedua.

"Keputusan itu dicapai selepas mengambil pertimbangan semua aspek termasuk keterangan daripada wakil kedua-dua pasukan, pegawai perlawanan dan pengadil.

"Dan berdasarkan Peraturan 4.12.15b mengikut Peraturan Liga Malaysia 2013-2016 bahawa pasukan lawan dengan sengaja menarik diri dan gagal bermain tanpa alasan yang kukuh.

"Mengenai insiden di dalam terowong di Stadium Larkin, Sabtu lalu, pengadil perlawanan sudah mengarahkan supaya T-Team meneruskan perlawanan namun mereka enggan.

"Jadi, kami memutuskan kemenangan diberi kepada JDT," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada denda dikenakan terhadap pasukan T-Team tetapi amaran keras diberikan kepada JDT supaya perkara sama tidak berulang.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan berikutan tercetusnya pergaduhan antara kedua-dua pasukan di lorong menuju ke bilik persalinan, selepas tamat separuh masa pertama.

Pada Isnin lalu, pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Ketua jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jimenez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru Selatan di sini kelmarin berhubung kejadian itu.

Sumber: sinarharian.com.my


Foto Mesra Ashraf Muslim Bersama Kedua Isteri

Sedang orang lain sibuk mengkritik tindakan isteri kedua Ashraf Muslim selepas dia memuatnaik gambar 'baby bump'nya, terbaru Sakinah memuatnaik dua keping foto mesra antara dia bersama madunya, Dayana.


Salah satu gambar turut memaparkan Ashraf berada di tengah-tengah antara kedua isterinya. 

Ia sekaligus menepis dakwaan dan tohmahan yang mengatakan dia tidak berlaku adil terhadap Dayana selaku isteri pertamanya.

Terbaru, menerusi laman Facebook milik Ashraf Muslim, dia memuatnaik gambar bersama kedua isterinya ketika bersama di KLIA sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah.

Berikut dua mesej yang dikongsikan;

"Assalamualaikum semua.. Saya akan bertolak ke tanah suci sebentar lagi.. Syukur bila mendapat sokongan dari kedua-dua isteriku yg kusayangi.. Tq Dayana and Tq Sakinah.. Saya sayang kamu berdua.. Doakan kita semua bahagia dan juga keluarga k...ita menjadi bertambah erat.. Allah akan sentiasa bersama kita. Lagi byk dugaan lagi dekat kita dgn Allah.. InsyaAllah Allah akan dgr doa kita utk menjadi lebih baik.. terima kasih Allah.. Terima kasih Allah.. Terimalah aku dan isteri2ku menjadi hambamu yg "Special" disisimu. InsyaAllah."






Sumber: mediahiburan.karangkraf.com


Irfan tidak tahu keadaan sebenar


KUALA LUMPUR - Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar (gambar) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhd. Irfan Abdul Ghani yang menyatakan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu.

Beliau menegaskan, Muhd. Irfan tidak nampak kejadian sebenar yang berlaku di dalam terowong kerana ketika kejadian pemain itu berada di padang dan dia hanya masuk ke bilik persalinan selepas pihak pengurusan pasukan membuat keputusan untuk tidak menyambung permainan.

Katanya, pemain itu tidak nampak sebarang kecederaan yang berlaku ke atas Elvaldo Rodriguez kerana selepas kejadian pasukan perubatan T-Team sudah menjalankan rawatan ke atas pemain import itu.

Beliau memberitahu, pihaknya mempunyai ramai saksi berhubung kejadian itu tetapi mengalu-alukan kehadiran saksi luar untuk membantu siasatan kes itu.

"Dia tidak nampak kecederaan yang berlaku terhadap Elvaldo dan segala keputusan yang dibuat oleh kesebelasan utama pasukan dia tidak tahu kerana dia merupakan pemain simpanan.

"Pemain rasa tidak selamat selepas apa yang berlaku ke atas Elvaldo dan ketika perjalanan masuk ke bilik persalinan mereka dihalang, dicaci dan dimaki. Sebagai ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), saya tahu apa yang patut dilakukan dan kami tiada niat jahat, kami tidak ambil gambar kejadian dan tidak merancang apa-apa pun ketika kejadian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Johor Bahru itu dihentikan pada separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Beberapa saksi mendakwa Rodriguez ditumbuk oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), manakala Stefano Impagliazzo pula disepak di bahagian kemaluan.

Azlan turut memberitahu, pihak pengurusan pasukan juga tidak mengetahui mengenai tindakan Muhd. Irfan kerana pemain itu memaklumkan kepada jurulatih, Azraai Khor Abdullah pada Isnin lalu bahawa ibunya kemalangan di Johor dan mengalami kecederaan serius di kepala.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada Isnin lalu menjelaskan status keputusan perlawanan antara JDT dan T-Team yang ditangguhkan akan ditentukan pada hari ini setelah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah.

Sumber: utusan.com.my

Muhd. Irfan Abdul Ghani - Rodriguez tak cedera



JOHOR BAHRU 5 Feb. - Perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu seharusnya diteruskan kerana tiada sebarang insiden pergaduhan dan kecederaan terjadi seperti dilaporkan sebelum ini.

Seorang pemain T-Team, Muhd. Irfan Abdul Ghani (gambar) berkata, walaupun tidak melihat sendiri insiden yang hangat diperkatakan itu, namun sewaktu berada di dalam bilik persalinan, dia tidak melihat sebarang kecederaan pada individu yang terbabit.

"Saya berada di tepi padang ketika mereka berjalan untuk masuk terowong dan apa yang saya lihat adalah jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez."

"Apa yang terjadi di dalam terowong saya tidak nampak, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, tiada sebarang kecederaan di bahagian muka Elvaldo Rodriguez yang dikatakan ditumbuk sehingga hidungnya berdarah.

"Malah individu yang dikatakan tercedera dalam insiden terbabit juga hadir dalam sesi latihan keesokan hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Muhd. Irfan yang dahulunya bekas pemain JDT berkata demikian selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Sumber: utusan.com.my