Pages

Showing posts with label T-Team. Show all posts
Showing posts with label T-Team. Show all posts

Thursday, April 3, 2014

Insiden Terowong Larkin: JDT Didenda RM30,000


PETALING JAYA:  Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abd Razak mengumumkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) didenda RM30,000 kerana kelemahan keselamatan dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Selepas dua bulan menunggu perbicaraan kes insiden 'Terowong Larkin' ini, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya membuat keputusan berdasarkan isu keselamatan.

Taufek mengumumkan keputusan tersebut selepas hampir sepuluh jam bermesyuarat.
"Setelah panjang lebar hujah yang diberi oleh pihak JDT, pengadil, pegawai serta pegawai perlawanan, jawatankuasa berpuas hati bahawa perkara yang berlaku itu adalah berpunca daripada kelemahan keselamatan.

"Perkara ini memang diakui oleh Setiausaha Agung JDT, Mohd Fahmy Yahya  semasa memberi hujahnya.

"Akibat daripada masalah kelemahan keselamatan , kekurangan selia yang baik jawatankuasa telah mendapati JDT terbabit dengan keadaan itu dan didenda RM30,000 dan  diberi amaran agar peristiwa itu tidak berlaku lagi.

"Dan dengan hukuman itu mereka berhak membuat hukuman kerana maksimum hukuman adalah RM100,000," jelasnya pada sidang media.

Manakala mengenai isu yang dikatakan ada pegawai tertinggi  terlibat dalam kes ini, Taufek menjelaskan ia adalah kes polis kerana terdapat laporan dibuat.

"Dalam kes ini dua pihak terlibat, FAM  dan satu lagi pihak polis.

"Saya difahamkan bahawa ini hasil siasatan pihak polis  dan telah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil susulan.

"Dan sekiranya tiada tindakan, kami akan mengambil tindakan kerana FAM ada tempoh  dua tahun untuk berbuat demikian.

"Kita di pihak FAM telah berbincang bahawa setakat ini kes tersebut ditangguh," katanya.

Insiden 'Terowong Larkin' menjadi isu panas bola sepak negara selepas pasukan T-Team menarik diri daripada meneruskan permainan kerana alasan keselamatan  ketika aksi bertemu JDT pada pusingan kedua Piala FA  1 Februari lalu

Sumber: mstar.com.my

Wednesday, April 2, 2014

'Letak jawatan kalau tidak berani buat keputusan'


MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong', 1 Februari lepas.
   
Beliau berkata keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Justeru, beliau membidas Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka.
   
"Itulah kadang-kadang kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, maka lebih baik letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.
   
Ahmad berkata, penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya Stefano Impagliazo telah dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak.

"Ini yang kadang-kadang pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman, maka siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang telah dikenal pasti," katanya.
   
Ahmad turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 'insiden terowong' telah bertukar menjadi kes kedua.
   
Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak pada mesyuarat semalam bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM.
   
Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.
   
"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad.
   
'Insiden terowong' berlaku pada 1 Feb lepas ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.
   
Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.  - Bernama

Tuesday, March 11, 2014

PBNJ sudah balas surat pertuduhan


JOHOR BAHRU - Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) sudah membalas surat pertuduhan berhubung kekecohan yang berlaku di dalam terowong sewaktu perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang T-Team dalam kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini 1 Februari lalu dan kini terpulang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk

Setiausaha Kehormatnya, Mohd. Fahmy Yahya ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan pasukan JDT sudah menjawab surat pertuduhan dikeluarkan Pihak Sekretariat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada skuad tersebut melalui PBNJ.

"Kita sudah menjawab surat pertuduhan itu," katanya, namun enggan mengulas lanjut berhubung kandungan isi surat jawapan berkenaan termasuk bila ia diserahkan kepada FAM.

Utusan Malaysia 5 Mac lalu melaporkan, JDT telah diberikan surat pertuduhan berhubung kekecohan yang berlaku di dalam terowong sewaktu perlawanan skuad itu menentang T-Team dalam kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin pada 1

Februari lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pertuduhan yang dikenakan ialah berhubung kegagalan dari segi keselamatan dan JDT diberikan tempoh seminggu bermula 4 Mac untuk menjawab pertuduhan itu.

"Pihak Sekretariat FAM telah mengeluarkan surat pertuduhan kepada pasukan JDT di bawah Kod Tatatertib 28.1 iaitu kesalahan daripada segi mengawal keselamatan pegawai dan pemain semasa perlawanan.

"Pihak JDT diberi masa seminggu untuk membalas surat pertuduhan itu dan mereka kena serahkan selewat-lewatnya pada 11 Mac ini kepada FAM," katanya.

Beliau menambah, surat itu hanya ditujukan kepada pasukan itu melalui PBNJ.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140311/su_02/PBNJ-sudah-balas-surat-pertuduhan#ixzz2vdoMzlA4

Tuesday, March 4, 2014

JDT diberi tempoh 7 hari jawab FAM


KUALA LUMPUR - Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) diberi tempoh seminggu untuk menjawab surat pertuduhan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden kekecohan di dalam terowong Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor pada 1 Februari lepas.
  
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata JDT perlu menjawab pertuduhan itu melalui Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
  
"Selepas mendapat jawapan PBNJ, Jawatankuasa Tatatertib FAM akan memulakan siasatan dengan memanggil semua individu berkenaan.
  
"Semua akan dipanggil, tiada seorangpun akan terlepas termasuk barisan tertinggi persatuan," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Perlawanan antara JDT dan T-Team diberhentikan selepas T-Team tidak mahu meneruskan perlawanan susulan kekecohan membabitkan kedua-dua pasukan sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA, yang berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan, 1 Februari lepas.

Kedua-dua pasukan membuat laporan polis berhubung insiden itu.
  
Hamidin berkata beliau tidak menolak kemungkinan siasatan berlangsung dalam masa yang panjang bagi mengumpul bukti kukuh sebelum Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusan.
  
"Jawatankuasa Tatatertib juga berhak melakukan siasatan lain berkaitan insiden itu jika terdapat kes.
  
"Jika bersalah, pasukan tuan rumah boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atas kesalahan kelonggaran kawalan keselamatan ketika perlawanan," katanya.
  
Sementara itu, Setiausaha Kehormat JDT Mohd Fahmy Yahya ketika dihubungi mengesahkan menerima surat pertuduhan itu daripada FAM petang semalam.
  
Beliau bagaimanapun enggan menggulas lanjut. - Bernama


Tuesday, February 25, 2014

'Insiden terowong': Duta Brazil bertemu pemain T-Team

Rozi Mamat (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Maria Ausiliadora Figueirado sempena kunjungannya ke pejabat T-Team sambil diperhatikan oleh Azraai Khor Abdullah (kiri) dan Ab. Rasid Jusoh di Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU - Isu keselamatan pemain Brazil dalam skuad T-Team berhubung ‘insiden terowong’ bulan lalu turut menarik perhatian Duta Brazil ke Malaysia, Maria Auxiliadora Figueirado untuk bertemu pihak pengurusan pasukan serta ketiga-tiga warga negara itu yang berkhidmat bersama pasukan tersebut musim ini.

Menurut Figueirado, pihaknya telah menerima aduan daripada dua pemain T-Team, Evaldo Concalves dan Fabio Flor de Azivedo serta jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo berhubung insiden tersebut dan memutuskan untuk bertemu mereka serta pihak pengurusan pasukan.

“Kami berada di sini untuk bercakap dengan pihak pengurusan T-Team mengenai isu-isu keselamatan pemain.

“Adalah tugas pihak kedutaan untuk memastikan keselamatan rakyat kami dan jika mereka berada dalam keadaan bahaya, kami tidak ada pilihan melainkan mengambil mereka keluar dari negara ini," katanya.

Pertemuan yang berlangsung di pejabat T-Team di sini semalam turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh; pengurus, Rozi Mamat serta ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah.

Yang hadir sama penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar serta Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Deraman.

Jelas Figueirado, dia juga telah berbincang dengan Goncalves, Fabio Flor dan Impagliazzo berhubung perkara tersebut namun ketiga-tiganya memutuskan untuk terus berada di negara ini dan berkhidmat bersama T-Team selagi diperlukan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140224/su_07/Insiden-terowong-Duta-Brazil-bertemu-pemain-T-Team#ixzz2uIT3z9uT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, February 23, 2014

Siasatan 'terowong' di peringkat akhir


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum dapat membuat sebarang ketetapan bagi mengeluarkan sebarang surat pertuduhan berhubung kontroversi di terowong menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 1 Februari lalu.

Bagaimanapun FAM menjelaskan, siasatan kejadian tersebut sudah masuk ke peringkat akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM merangkap Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan, Sekretariat FAM akan membuat penelitian sebelum membuat sebarang ketetapan.

“Kita juga akan teliti perkembangan siasatan polis dan pihak Sekretariat juga sedang melakukan perkara yang sama sebelum membuat sebarang ketetapan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu perkara itu akan dimaklumkan dalam tempoh waktu terdekat.

Perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team ditangguhkan selepas The Titans enggan meneruskan perlawanan atas alasan keselamatan berikutan dakwaan tercetusnya pergaduhan antara kedua-dua pasukan di lorong menuju ke bilik persalinan, selepas tamat separuh masa pertama.

Dua hari kemudian, pemain T-Team, pihak pengurusan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden tersebut.

Ketua jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jimenez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru Selatan bagi mempertahankan pasukannya.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) pula memutuskan JDT diberikan kemenangan, 3-0 untuk mara ke pusingan seterusnya.

Keputusan itu diambil berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team yang tidak menghabiskan baki perlawanan pada separuh masa kedua.

Sumber: sinarharian.com.my

Monday, February 17, 2014

'Kami sudah serah laporan' - T-Team

KUALA TERENGGANU - Pengurusan T-Team telah menghantar laporan perubatan oleh doktor yang memeriksa pemain, Evaldo Goncalves (gambar) dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo buat kali kedua kepada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab. Rasid Jusoh bagaimanapun tidak mahu mengandaikan sama ada surat itu itu sepatutnya sudah diterima semula oleh FAM bagi membolehkan Jawatankuasa Tatatertib memulakan langkah awal.

''Rasanya kali ini jelas. Jika tidak sampai, kita akan hantar semula," ujarnya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai soal itu tidak mendedahkan bila laporan itu dihantar, sama ada secara pos atau dikemukakan sendiri oleh wakil T-Team.

"Apa yang saya boleh katakan, apa yang dilaporkan (Utusan Malaysia) betul. Memang kita ada hantar balik (laporan perubatan) kepada FAM.

"Tentang doktor saya tak nak ulaslah. Kita serah kepada FAM untuk membuat keputusan.

"Buat masa ini, kita akan tunggu dan lihat macam mana (keputusan FAM). Apa yang penting ialah, masalah ini tidak lagi berlarutan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, surat pertuduhan kepada pemimpin tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang didakwa terlibat dalam kekecohan di Larkin ketika perlawanan Piala FA awal bulan ini lewat dikeluarkan gara-gara tulisan doktor yang kurang difahami.

Menurut sumber, Jawatankuasa Tatatertib FAM terpaksa meminta pengurusan T-Team menghantar laporan perubatan doktor yang memeriksa Goncalves dan Impagliazzo sekali lagi, kali ini secara bertaip dan bukannya bertulis tangan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140217/su_03/Kami-sudah-serah-laporan#ixzz2tachxV4a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gara-gara tulisan doktor


KUALA LUMPUR - Gara-gara tulisan doktor yang kurang difahami telah menyebabkan surat pertuduhan kepada pemimpin tinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), yang didakwa terlibat dalam kekecohan di Larkin ketika perlawanan Piala FA awal bulan ini lewat daripada dikeluarkan.

Menurut sumber, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa meminta pengurusan T-Team menghantar laporan perubatan doktor yang memeriksa pemainnya, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo sekali lagi, kali ini secara bertaip dan bukannya tulis tangan.

Goncalves dan Impagliazzo telah membuat laporan polis, bahawa mereka dikasari oleh pemimpin tinggi PBNJ di dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan pemain sewaktu pertemuan T-Team dengan Johor Darul Ta'zim dalam pusingan kedua Piala FA berhenti rehat. Mereka turut mendapatkan pemeriksaan doktor.

Namun, selepas sepuluh hari semenjak FAM meminta laporan perubatan berkenaan, T-Team masih belum memberikan maklum balas yang menyebabkan masih tiada sebarang dakwaan dapat dilakukan ke atas pengawai tinggi PBNJ itu.

Sumber itu memberitahu, laporan doktor berkenaan cukup penting buat Jawatankuasa Tatatertib kerana laporan itu boleh menentukan Kod Tatatertib bersesuaian yang akan digunakan untuk mendakwa pemimpin tinggi PBNJ itu.

"Mengenai surat pertuduhan (ke atas pemimpin PBNJ terlibat), saya difahamkan sudah hampir siap dan telah mendapat maklum balas daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin (Mohd. Amin) serta Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib (Datuk Taufek Abdul Razak), cuma laporan doktor yang memeriksa Evaldo dan Stefano yang melambatkan.

"Tulisan tangan doktor berkenaan sukar difahami, jadi sukar untuk menentukan pertuduhan itu dikeluarkan di bawah akta yang mana.

"Saya difahamkan Jawatankuasa Tatatertib telah meminta T-Team agar mendapatkan laporan doktor secara menaip. Ini adalah satu amalan biasa jika di dalam mahkamah sekali pun, tetapi masalahnya pihak T-Team sehingga hari ini belum menghantar laporan yang diminta, itu sebab kes ini lambat dibicarakan," kata sumber itu ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Berdasarkan Kod Tatatertib yang termaktub, individu yang menyerang Evaldo atau Stefano boleh didakwa di bawah tiga pertuduhan berbeza iaitu Perkara 2.4, iaitu melakukan serangan secara fizikal tetapi tidak memberikan sebarang kecederaan.

Dua lagi pertuduhan ialah di bawah Perkara 2.5 iaitu melakukan serangan secara fizikal serta mendatangkan kecederaan atau Perkara 2.6 iaitu melakukan serangan secara fizikal dan membuatkan mangsa mendapat kecederaan parah.

Selain itu, sumber berkenaan memberitahu pihak PBNJ juga akan dikeluarkan surat pertuduhan atas kegagalannya mengawal keamanan semasa pemain T-Team menuju bilik persalinan.

"Mengenai kawalan keselamatan secara keseluruhan, dijangka satu lagi surat pertuduhan akan dikeluarkan kepada PBNJ kerana tidak mampu menghalang kekecohan daripada berlaku," katanya.

Sebelum ini, Hamidin memberitahu wartawan pada Selasa lalu yang surat pertuduhan mengenai insiden Evaldo ditumbuk dan Stefano ditendang di bahagian kemaluan ketika menuju bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos hampir pasti akan dikeluarkan.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA pada 1 Februari itu tidak dapat disambung untuk babak kedua apabila pemain T-Team enggan meneruskan permainan ekoran insiden berkenaan, sebelum Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) memutuskan untuk memberikan kemenangan 3-0 buat skuad Harimau Selatan.

Selain itu, isu pergaduhan penyokong yang membabitkan Pahang dan JDT di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Februari dan kereta pengurus pasukan Perak dipecahkan di Larkin, juga akan disiasat oleh Jawatankuasa Tatatertib.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140216/su_02/Gara-gara-tulisan-doktor#ixzz2taaIZXAs 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, February 11, 2014

PBSNT terima surat peletakan jawatan Irfan

KUALA TERENGGANU - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah menerima surat peletakan jawatan pemain pertahanan pasukan T-Team, Mohd Irfan Abdul Ghani.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pihaknya akan meneliti surat itu dan mempertimbang tindakan susulan berasaskan kontrak pemain berkenaan dan juga peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti bila surat itu dihantar," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Wan Ahmad Nizam juga mengakui beliau sudah dimaklumkan oleh T-Team mengenai hasrat Mohd Irfan mahu meninggalkan pasukan kelab yang berpangkalan di sini itu.

Pemain yang berasal dari Johor itu dilapor "hilang" selama beberapa hari selain gagal dihubungi selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain import T-Team dan pegawai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pertemuan di Stadium Larkin, Johor Baharu minggu lepas.

Sementara itu, Wan Ahmad Nizam menyifatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan sebagai "pengecut" kerana menghilangkan diri begitu sahaja.

"Selepas dia membuat kenyataan di Johor tu, kita dah cek (periksa)... pakaian dia pun tak ada (rumah sewanya di sini telah dikosongkan).

"Maknanya dia sudah bersedia untuk melarikan diri dan saya rasa ini adalah satu perkara yang tidak bagus," katanya.

Dalam pada itu Wan Ahmad Nizam menyerahkan kepada Evaldo Rodrigues, pemain import T-Team yang terbabit dalam insiden berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Pemain import ni ada undang-undang sendiri. Dia ada ejen dan sebagainya.

Sebab itulah saya kata terserah kepada mereka. Dari segi PBSNT membawa perkara ini kepada FIFA mungkin sedikit terbatas kerana undang-undang FAM terlalu ketat.

"Bagaimanapun kita akan bawa kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat T-Team selepas ini," katanya. - Bernama

Sumber: sinarharian.com.my


Irfan angkat sumpah

JOHOR BAHRU - Pemain T-Team, Irfan Abdul Ghani, 25, hari ini mengangkat sumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan segala kenyataan yang dibuatnya adalah benar.

Perakuan sumpah itu dibuat Irfan sambil memegang al-Quran dengan disaksikan sekumpulan wartawan serta jurugambar di sebuah restoran di sini.

Minggu lalu, dalam sidang media yang dibuat selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Irfan berkata, perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu tidak sepatutnya dihentikan.

Dalam pada itu, dalam majlis sama, Irfan juga mengakui ada menghantar surat bertarikh 4 Februari lalu, untuk memaklumkan mengenai hasratnya untuk meninggalkan pasukan T-Team dan keputusan terbabit dibuat atas faktor kesihatan ibunya yang tidak menentu.

"Mak saya (berusia 54 tahun) kurang sihat dan saya risau dengan dirinya..atas sebab itu saya meletakkan jawatan secara rela. Di sini juga, saya ingin menegaskan perakuan berkanun dan sumpah al-Quran ini dibuat secara rela hati," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my


PBNJ tidak akan bersumpah


JOHOR BAHRU 11 Jan. - Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) tidak akan mengikut langkah dengan bersumpah al-Quran yang diambil pasukan serta pengurusan T-Team seperti disaran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ini kerana, menurut PBNJ, tindakan bersumpah menggunakan al-Quran itu bukan cara yang betul dalam usaha mencari kebenaran berhubung insiden yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini 1 Februari lalu.

Sebaliknya, PBNJ menegaskan, mereka akan mengikut prosedur diperuntukkan undang-undang sekali gus memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sedang giat menjalankan siasatan.

"Selepas mendapat nasihat yang sewajarnya berhubung tindakan bersumpah al-Quran itu, PBNJ memutuskan untuk tidak mengambil langkah serupa memandangkan langkah itu bukan cara yang tepat dalam menyelesaikan isu berkenaan.

"Laporan juga sudah dibuat dan siasatan berhubung perkara itu sedang giat dijalankan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, PBNJ akan memberi komitmen sepenuhnya," kata PBNJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140211/su_11/PBNJ-tidak-akan-bersumpah-al-Quran#ixzz2t1MlesQL © Utusan Melayu (M) Bhd


Pemain, pengurusan T-Team tunai janji bersumpah

Pemain T-Team, Khairan Izuan Razali melafazkan sumpah berkata benar di hadapan al-Quran dalam majlis perjumpaan pemain Liga Super Terengganu dan T-Team di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU - Penolong jurulatih dan seorang pemain pasukan T-Team bersumpah dengan al-Quran semalam bagi membuktikan kebenaran berhubung insiden dalam terowong yang berlaku di Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Upacara angkat sumpah itu berlangsung di Hotel Tabung Haji di sini sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri yang juga Pengurus T-Team, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menjadi saksi pertama yang mengangkat sumpah sebelum diikuti oleh seorang pemain tengah T-Team, Khairan Izuan Razali yang turut berada dalam terowong berkenaan ketika kejadian itu berlaku.

Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk di bahagian muka.

Majlis yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Takzim, Mohd. Irfan Abdul Ghani tidak kelihatan dalam majlis berkenaan kerana dipercayai masih berada di Johor.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menganggap perbuatan mengangkat sumpah itu sebagai menghina kesucian agama Islam.

"Upacara bersumpah ini sebenarnya bertujuan membuktikan dakwaan yang dibuat itu benar, sekali gus menafikan tohmahan bahawa T-Team sengaja mengada-adakan cerita tentang kejadian tersebut.

"Jika Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting melakukan perkara yang sepatutnya kita buat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad mencabar Mohd. Irfan supaya tampil untuk mengangkat sumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya sanggup beli tiket 'flight' untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140211/su_01/Pemain-pengurusan-T-Team-tunai-janji#ixzz2t1L2sc38 © Utusan Melayu (M) Bhd 

Sumber video: Youtube


Thursday, February 6, 2014

JDT menang percuma ke atas T-Team


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memberi kemenangan 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas T-Team dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA yang tertangguh berikutan insiden pergaduhan di terowong ke bilik persalinan di Stadium Larkin Sabtu lalu.

Keputusan ini diumumkan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam sidang media di Wisma FAM sebentar tadi.

Hamidin berkata, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) membuat keputusan itu berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team yang tidak menghabiskan baki perlawanan pada separuh masa kedua.

"Keputusan itu dicapai selepas mengambil pertimbangan semua aspek termasuk keterangan daripada wakil kedua-dua pasukan, pegawai perlawanan dan pengadil.

"Dan berdasarkan Peraturan 4.12.15b mengikut Peraturan Liga Malaysia 2013-2016 bahawa pasukan lawan dengan sengaja menarik diri dan gagal bermain tanpa alasan yang kukuh.

"Mengenai insiden di dalam terowong di Stadium Larkin, Sabtu lalu, pengadil perlawanan sudah mengarahkan supaya T-Team meneruskan perlawanan namun mereka enggan.

"Jadi, kami memutuskan kemenangan diberi kepada JDT," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada denda dikenakan terhadap pasukan T-Team tetapi amaran keras diberikan kepada JDT supaya perkara sama tidak berulang.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan berikutan tercetusnya pergaduhan antara kedua-dua pasukan di lorong menuju ke bilik persalinan, selepas tamat separuh masa pertama.

Pada Isnin lalu, pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Ketua jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jimenez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru Selatan di sini kelmarin berhubung kejadian itu.

Sumber: sinarharian.com.my


Irfan tidak tahu keadaan sebenar


KUALA LUMPUR - Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar (gambar) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhd. Irfan Abdul Ghani yang menyatakan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu.

Beliau menegaskan, Muhd. Irfan tidak nampak kejadian sebenar yang berlaku di dalam terowong kerana ketika kejadian pemain itu berada di padang dan dia hanya masuk ke bilik persalinan selepas pihak pengurusan pasukan membuat keputusan untuk tidak menyambung permainan.

Katanya, pemain itu tidak nampak sebarang kecederaan yang berlaku ke atas Elvaldo Rodriguez kerana selepas kejadian pasukan perubatan T-Team sudah menjalankan rawatan ke atas pemain import itu.

Beliau memberitahu, pihaknya mempunyai ramai saksi berhubung kejadian itu tetapi mengalu-alukan kehadiran saksi luar untuk membantu siasatan kes itu.

"Dia tidak nampak kecederaan yang berlaku terhadap Elvaldo dan segala keputusan yang dibuat oleh kesebelasan utama pasukan dia tidak tahu kerana dia merupakan pemain simpanan.

"Pemain rasa tidak selamat selepas apa yang berlaku ke atas Elvaldo dan ketika perjalanan masuk ke bilik persalinan mereka dihalang, dicaci dan dimaki. Sebagai ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), saya tahu apa yang patut dilakukan dan kami tiada niat jahat, kami tidak ambil gambar kejadian dan tidak merancang apa-apa pun ketika kejadian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Johor Bahru itu dihentikan pada separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Beberapa saksi mendakwa Rodriguez ditumbuk oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), manakala Stefano Impagliazzo pula disepak di bahagian kemaluan.

Azlan turut memberitahu, pihak pengurusan pasukan juga tidak mengetahui mengenai tindakan Muhd. Irfan kerana pemain itu memaklumkan kepada jurulatih, Azraai Khor Abdullah pada Isnin lalu bahawa ibunya kemalangan di Johor dan mengalami kecederaan serius di kepala.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada Isnin lalu menjelaskan status keputusan perlawanan antara JDT dan T-Team yang ditangguhkan akan ditentukan pada hari ini setelah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah.

Sumber: utusan.com.my

Muhd. Irfan Abdul Ghani - Rodriguez tak cedera



JOHOR BAHRU 5 Feb. - Perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu seharusnya diteruskan kerana tiada sebarang insiden pergaduhan dan kecederaan terjadi seperti dilaporkan sebelum ini.

Seorang pemain T-Team, Muhd. Irfan Abdul Ghani (gambar) berkata, walaupun tidak melihat sendiri insiden yang hangat diperkatakan itu, namun sewaktu berada di dalam bilik persalinan, dia tidak melihat sebarang kecederaan pada individu yang terbabit.

"Saya berada di tepi padang ketika mereka berjalan untuk masuk terowong dan apa yang saya lihat adalah jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez."

"Apa yang terjadi di dalam terowong saya tidak nampak, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, tiada sebarang kecederaan di bahagian muka Elvaldo Rodriguez yang dikatakan ditumbuk sehingga hidungnya berdarah.

"Malah individu yang dikatakan tercedera dalam insiden terbabit juga hadir dalam sesi latihan keesokan hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Muhd. Irfan yang dahulunya bekas pemain JDT berkata demikian selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Sumber: utusan.com.my

Tuesday, February 4, 2014

Jurulatih JDT buat laporan Polis


JOHOR BAHRU – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), César Ferrando Jiménez hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kejadian di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lepas.

Menurut peguamnya Datuk Baljit Singh Siddhu, dalam laporan itu Ferrando menyatakan bahawa beliau merupakan mangsa dalam kejadian itu.

“Jiménez berkata beliau adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi T-Team telah memutar belit fakta,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini hari ini.

Menurut Baljit, Ferrando menyatakan bahawa instruktur kecergasan T-Team telah bertindak menarik kolar bajunya manakala pemain T-Team berjersi nombor 16 menolaknya.

“Kita akan lihat perkara ini secara terperinci dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana fitnah atau tohmahan mengenai perkara tersebut,” katanya.

Setiausaha Kehormat JDT Mohd Fahmy Yahya turur hadir di balai polis tetapi pihak media yang turut berada di situ tidak diberikan salinan laporan polis tersebut.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Semalam pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Pemain dan jurulatih kecergasan T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih Stefano Impagliazzo. – BERNAMA


PBNJ sedia beri kerjasama

Johor Bahru: Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mengesahkan sudah dimaklumkan berkaitan laporan polis dibuat mengenai penangguhan perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dengan T-Team.

PBNJ dalam satu kenyataan media yang difaks ke pejabat Harian Metro di sini, semalam, menyatakan pihaknya sudah dimaklumkan laporan polis dibuat pihak tertentu terhadap isu penangguhan perlawanan bola sepak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

“PBNJ sedia memberi kerjasama dengan polis dalam hal ini,” katanya.

Sebelum ini, penyerang import Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, Terengganu.

Kedua-duanya mendakwa dikasari pegawai tertinggi Johor DT pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan berkenaan ditangguhkan selepas tamat babak pertama yang menyaksikan Johor DT mendahului dengan 2-1.

Pengurusan T-Team mengambil keputusan tidak meneruskan perlawanan sebelum terus pulang ke Terengganu.


Sumber: hmetro.com.my

Artikel Berkaitan
JDT lwn T-Team - FAM diminta tidak berat sebelah
PBNJ tidak puas hati  
PBSNT kecewa insiden di Larkin
Piala FA 2014 Gelora di Larkin JDT lwn T-Team

JDT lwn T-Team - FAM diminta tidak berat sebelah

Kuala Terengganu: Kebijaksanaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dituntut dalam menyelesaikan kemelut membabitkan pasukan kelab negeri Terengganu, T-Team dan Johor Darul Ta'zim (DT) supaya tiada pihak yang teraniaya.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH), Wan Mohd Azmi Wan Ngah menaruh harapan tinggi supaya isu membabitkan kedua-dua pihak itu ditangani secara tegas dan telus oleh FAM bagi memastikan maruah bola sepak negara tidak tercemar.

“Selain itu, kami juga merayu kepada FAM supaya menjalankan siasatan secara terperinci tanpa mengambil kira latar belakang pemain dan pegawai yang terbabit untuk dijadikan pengajaran agar perkara kurang profesional itu tidak berulang,” katanya.

Akhbar kelmarin melaporkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid kesal dengan insiden berlaku ke atas pemain T-Team, Evaldo Rodrigues yang didakwa ditumbuk pegawai tertinggi Johor DT manakala jurulatih kecergasannya Stefano Impagiazzo ditendang di kemaluannya oleh pegawai keselamatan Johor DT.

Berikutan insiden itu, Wan Ahmad Nizam meminta FAM melakukan siasatan terperinci dan menyeluruh untuk menghukum mereka yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Selain itu, Wan Mohd Azmi berharap keputusan yang bakal dibincangkan FAM Khamis ini tidak akan berat sebelah untuk mengelak berlakunya perkara tidak diingini sambil mengharapkan penyokong T-Team khususnya tidak melanggar sebarang peraturan dan menyerahkan kepada FAM membuat keputusan.

“Sebagai orang lama, saya menyeru peminat setia T-Team tidak melanggar disiplin dan menjaga adab ketimuran sama ada dalam Facebook dan juga di stadium agar tidak mengganggu siasatan FAM,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada FAM bagi menyelesaikan kemelut antara T-Team dan Johor DT.

“Kita sedia memberi kerjasama bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan insiden itu dan berharap ia dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun Rozi berkata, setakat ini beliau menyerahkan perkara itu kepada PBSNT untuk menyelesaikan kemelut itu.

“Saya sudah minta PBSNT duduk semeja membincangkan kaedah terbaik menyelesaikan isu itu di peringkat negeri sebelum dipanggil pihak FAM yang dijadualkan bermesyuarat Khamis ini,” katanya.

Mengenai empat laporan polis yang dibuat pihak pengurusan, dua pemain import dan Impagliazzo di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 11.23 malam kelmarin, Rozi berkata, laporan itu dibuat untuk memberi perlindungan kepada mereka selepas didakwa ditumbuk dan dikasari pegawai tertinggi Johor DT. “Laporan dibuat untuk keselamatan mereka dan saya berharap perkara ini dapat diselesaikan di peringkat negara dan tidak diperbesarkan ke pengetahuan FIFA (Persekutuan Bolasepak Dunia),” katanya.


Sumber: hmetro.com.my

Artikel Berkaitan:
PBNJ sedia beri kerjasama
PBNJ tidak puas hati
PBSNT kecewa insiden di Larkin
Piala FA 2014 Gelora di Larkin JDT lwn T-Team

Monday, February 3, 2014

PBSNT kecewa insiden di Larkin

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melahirkan kekecewaan berhubung insiden membabitkan penyerang import T-Team, Evaldo Rodrigues ditumbuk pihak pengurusan pasukan Johor Darul Takzim (JDT), malam kelmarin.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pihaknya sememangnya tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dan menyifatkan kejadian itu sama seperti perlawanan bola sepak 'ala kampung’.

Menurutnya, selain penyerang kelahiran Brazil itu, beliau dimaklumkan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo turut dikasari pegawai keselamatan dalam kejadian terbabit.

“Bagi saya, pergaduhan dalam bola sepak sudah berlalu dan tidak seharusnya terjadi di zaman serba moden ini, ia amat memalukan dan mendukacitakan kami. Apa pun saya akan arahkan Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh supaya membuat laporan polis berhubung insiden yang menimpa pemain dan pegawai T-Team ini.

“Saya juga meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat dan membuat keputusan adil berhubung hal ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata, sepatutnya insiden itu tidak berlaku sekiranya ada semangat kesukanan yang tinggi bukan sahaja dalam kalangan pemain, tetapi juga pengurusan kerana menang atau kalah adalah adat dalam permainan.

Serah kepada FAM

Pengurusan T-Team enggan mengulas lanjut insiden yang menimpa penyerang import, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasannya, Stefano Impagliazzo, sebaliknya menunggu keputusan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketua pegawai eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada FAM yang diserahkan komisioner perlawanan, Zainal Mukri.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut insiden yang menimpa Rodrigues dan Impagliazzo. Kami serahkan kepada FAM,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih T-Team, Azraai Khor Abdullah juga mengambil pendekatan sama enggan mengulas lebih lanjut berhubung insiden berkenaan dan menyerahkan kepada pengurusan tertinggi The Titans untuk membuat keputusan.

“Saya tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai kejadian yang menimpa anak buah saya, sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi T-Team yang akan menunggu laporan rasmi daripada FAM berhubung masalah itu.

“Namun, saya cukup terkilan dengan apa yang berlaku dan berharap FAM menilai dengan teliti demi kebaikan pasukan, selain tidak memberi imej buruk terhadap mutu dan maruah bola sepak negara,” katanya.

Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, ketika insiden berkenaan, dia sudah berada di dalam bilik persalinan bagi merancang taktikal yang bakal digunakan pada babak kedua perlawanan.  

Bagaimanapun, Azraai berkata, insiden yang menimpa Rodrigues dan Impagliazzo berlaku di hadapan penolong jurulatihnya, Azlan Johar.

“Saya memang tak nampak insiden itu berlaku, tetapi dimaklumkan Rodrigues berdarah hidung akibat ditumbuk pengurusan skuad Johor Darul Takzim (JDT) dan Impagliazzo turut dikasari pegawai keselamatan.

“Selepas berbincang dengan pengurusan T-Team, kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan pada babak kedua permainan kerana bimbang keselamatan pemain, pegawai serta penyokong kami,” katanya.


Kehadiran Evaldo, Stefano ke balai timbul tanda tanya

Bagaimanapun, pemain import, Evaldo Rodrigues dan Fabio Flor serta jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo kelihatan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 1.14 petang semalam.

Kehadiran mereka menimbulkan tanda tanya, namun pemain mahupun pegawai pengiring yang ditemui enggan menjelaskan kedatangan mereka ke balai berkenaan.

Mereka yang berada di balai berkenaan selama kira-kira 16 minit atas urusan tidak diketahui, mengambil keputusan membisu apabila diminta penjelasan mengenai tujuan ke balai polis.

Ketua pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain yang mengiringi mereka turut mengambil langkah sama apabila enggan memberi sebarang kenyataan.

“No komen, no komen,” katanya ringkas.

Dalam laporan akhbar hari ini, perlawanan T-Team menentang JDT di Stadium Larkin, Johor, malam kelmarin tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri.

Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo dikasari ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.

Sumber: sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan:
PBNJ sedia beri kerjasama
JDT lwn T-Team - FAM diminta tidak berat sebelah
PBNJ tidak puas hati
 
Piala FA 2014 Gelora di Larkin JDT lwn T-Team

PBNJ tidak puas hati


SUSULAN daripada insiden T-Team mengambil keputusan menarik diri daripada meneruskan aksi babak kedua Piala FA ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), kelmarin, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tampil dengan fakta sebenar insiden yang berlaku.

Dipetik menerusi akaun laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers, pihak persatuan menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan pengadil menangguhkan perlawanan dengan tiada keputusan saksama selain menggariskan fakta berhubung insiden berkenaan.

Menurut PBNJ, sebaik sahaja wisel penamat untuk separuh masa pertama dibunyikan, jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagiazzo didakwa membuat provokasi ke atas Ketua Jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiménez.

“Tiba-tiba pemain impot T-Team, Evaldo Rodrigues memakai jersi nombor 16 telah meluru masuk menuju terus ke hadapan muka Jiminez dengan memarahi Jiminez dan ini terus berlarutan hingga ke terowong menuju ke bilik persalinan.

“Pihak keselamatan stadium yang diketuai oleh PDRM Johor telah berjaya meleraikan masalah tersebut. Tiada apa-apa insiden yang buruk berlaku kepada pemain pasukan lawan dan juga penyokong pasukan lawan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

PBNJ turut memberitahu tiada apa-apa insiden yang buruk berlaku kepada pemain pasukan lawan dan juga penyokong pasukan lawan malah, menegaskan segala perjalanan dalam perlawanan di tengah padang juga amat cemerlang.


Bagaimanapun, pihak persatuan mengesahkan bahawa perlawanan terpaksa ditangguhkan kerana T-Team membuat keputusan mengejut dengan menarik diri serta pulang awal sebelum perlawanan pada masa kedua dimulakan.

“PBNJ tidak bersetuju dengan keputusan perlawanan ditangguhkan pada malam ini (kelmarin) kerana apa yang berlaku tidak melibatkan pemain-pemain di tengah padang mahupun penyokong-penyokong ketika perlawanan sedang berlangsung,” katanya.

Kommissioner Perlawanan, Zainal Mukri berkata akan menghantar laporan perlawanan kepada FAM, dan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan akan membuat keputusan berhubung status perlawanan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga belum mendapat surat rasmi daripada T-Team mengenai alasan tidak mahu meneruskan perlawanan yang masih berbaki 45 minit separuh masa kedua.

“Saya belum dapat surat rasmi daripada T-Team mengapa mereka tidak mahu meneruskan perlawanan malam ini.

"Keputusan malam ini belum diketahui  terpulang kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan untuk membuat keputusan,” katanya.

Katanya, selepas tamat perlawanan berlaku pertelingkahan antara jurulatih JDT dengan jurulatih kecergasan T-Team di laluan ke bilik persalinan dan terdapat campur tangan pemain T-Team.

Sumber: sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan:
PBNJ sedia beri kerjasama
JDT lwn T-Team - FAM diminta tidak berat sebelah
PBNJ tidak puas hati
PBSNT kecewa insiden di Larkin
Piala FA 2014 Gelora di Larkin JDT lwn T-Team