Pages

Sunday, February 23, 2014

Siasatan 'terowong' di peringkat akhir


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum dapat membuat sebarang ketetapan bagi mengeluarkan sebarang surat pertuduhan berhubung kontroversi di terowong menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 1 Februari lalu.

Bagaimanapun FAM menjelaskan, siasatan kejadian tersebut sudah masuk ke peringkat akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM merangkap Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan, Sekretariat FAM akan membuat penelitian sebelum membuat sebarang ketetapan.

“Kita juga akan teliti perkembangan siasatan polis dan pihak Sekretariat juga sedang melakukan perkara yang sama sebelum membuat sebarang ketetapan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu perkara itu akan dimaklumkan dalam tempoh waktu terdekat.

Perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team ditangguhkan selepas The Titans enggan meneruskan perlawanan atas alasan keselamatan berikutan dakwaan tercetusnya pergaduhan antara kedua-dua pasukan di lorong menuju ke bilik persalinan, selepas tamat separuh masa pertama.

Dua hari kemudian, pemain T-Team, pihak pengurusan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden tersebut.

Ketua jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jimenez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru Selatan bagi mempertahankan pasukannya.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) pula memutuskan JDT diberikan kemenangan, 3-0 untuk mara ke pusingan seterusnya.

Keputusan itu diambil berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team yang tidak menghabiskan baki perlawanan pada separuh masa kedua.

Sumber: sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment