Pages

Tuesday, February 4, 2014

JDT lwn T-Team - FAM diminta tidak berat sebelah

Kuala Terengganu: Kebijaksanaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dituntut dalam menyelesaikan kemelut membabitkan pasukan kelab negeri Terengganu, T-Team dan Johor Darul Ta'zim (DT) supaya tiada pihak yang teraniaya.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH), Wan Mohd Azmi Wan Ngah menaruh harapan tinggi supaya isu membabitkan kedua-dua pihak itu ditangani secara tegas dan telus oleh FAM bagi memastikan maruah bola sepak negara tidak tercemar.

“Selain itu, kami juga merayu kepada FAM supaya menjalankan siasatan secara terperinci tanpa mengambil kira latar belakang pemain dan pegawai yang terbabit untuk dijadikan pengajaran agar perkara kurang profesional itu tidak berulang,” katanya.

Akhbar kelmarin melaporkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid kesal dengan insiden berlaku ke atas pemain T-Team, Evaldo Rodrigues yang didakwa ditumbuk pegawai tertinggi Johor DT manakala jurulatih kecergasannya Stefano Impagiazzo ditendang di kemaluannya oleh pegawai keselamatan Johor DT.

Berikutan insiden itu, Wan Ahmad Nizam meminta FAM melakukan siasatan terperinci dan menyeluruh untuk menghukum mereka yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Selain itu, Wan Mohd Azmi berharap keputusan yang bakal dibincangkan FAM Khamis ini tidak akan berat sebelah untuk mengelak berlakunya perkara tidak diingini sambil mengharapkan penyokong T-Team khususnya tidak melanggar sebarang peraturan dan menyerahkan kepada FAM membuat keputusan.

“Sebagai orang lama, saya menyeru peminat setia T-Team tidak melanggar disiplin dan menjaga adab ketimuran sama ada dalam Facebook dan juga di stadium agar tidak mengganggu siasatan FAM,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada FAM bagi menyelesaikan kemelut antara T-Team dan Johor DT.

“Kita sedia memberi kerjasama bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan insiden itu dan berharap ia dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun Rozi berkata, setakat ini beliau menyerahkan perkara itu kepada PBSNT untuk menyelesaikan kemelut itu.

“Saya sudah minta PBSNT duduk semeja membincangkan kaedah terbaik menyelesaikan isu itu di peringkat negeri sebelum dipanggil pihak FAM yang dijadualkan bermesyuarat Khamis ini,” katanya.

Mengenai empat laporan polis yang dibuat pihak pengurusan, dua pemain import dan Impagliazzo di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 11.23 malam kelmarin, Rozi berkata, laporan itu dibuat untuk memberi perlindungan kepada mereka selepas didakwa ditumbuk dan dikasari pegawai tertinggi Johor DT. “Laporan dibuat untuk keselamatan mereka dan saya berharap perkara ini dapat diselesaikan di peringkat negara dan tidak diperbesarkan ke pengetahuan FIFA (Persekutuan Bolasepak Dunia),” katanya.


Sumber: hmetro.com.my

Artikel Berkaitan:
PBNJ sedia beri kerjasama
PBNJ tidak puas hati
PBSNT kecewa insiden di Larkin
Piala FA 2014 Gelora di Larkin JDT lwn T-Team

No comments:

Post a Comment