Pages

Monday, February 4, 2013

Keluarga Claudia Belum Terima Pengesahan Rasmi Kematiannya

SEREMBAN: Keluarga Claudia Theophilus, wartawan Malaysia yang mati dipercayai akibat terkena tembakan dalam satu insiden di Baakleen, Lubnan, pada Sabtu belum menerima pengesahan rasmi mengenai kejadian itu.

Seorang saudaranya yang enggan dikenali memberitahu mereka hanya dimaklumkan kejadian itu oleh majikan mendiang, syarikat penyiaran Al-Jazeera di Kuala Lumpur.

"Kali terakhir Claudia pulang ke rumah ialah ketika sambutan Krismas lalu dan dia memang agak sering pulang iaitu kira-kira tiga bulan sekali.

"Apabila dia beritahu keluarganya hendak bercuti di Lebanon, bapanya bimbang kerana tempat itu bahaya. Bagaimanapun, Claudia kata dia hanya bercuti pendek, iaitu kira-kira tiga hari," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mendiang di Taman Bukit Kepayang, di sini, pada Ahad.

Claudia, 42, anak sulung daripada tiga beradik, merupakan lulusan undang-undang universiti tempatan dan memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar The Sun pada 1995 sebelum menyertai portal berita Malaysiakini pada 2005 dan beralih ke Al-Jazeera sejak dua tahun lalu.

Katanya berita kematian Claudia menambah kesedihan keluarga mendiang memandangkan adik bongsu Claudia kini berada dalam keadaan koma selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari. -BERNAMA

sumber: mstar.com.my

Kementerian Luar Tunggu Laporan Lengkap Kematian Claudia

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa Lubnan berhubung kes kematian wartawan Malaysia, Claudia Theophilus.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata laporan awal pihak polis Lubnan memaklumkan kematian mendiang disebabkan kemalangan ketika menggunakan senjata api.

"Kes ini masih dalam siasatan pihak polis Lubnan dan keluarga mendiang telah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Claudia, 42, petugas di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu, 2.30 pagi waktu Lubnan.

Laporan media menyebut mendiang dipercayai ketika itu sedang melakukan kunjungan tiga hari ke Baakleen, Lubnan bersama dua rakannya yang merupakan rakyat negara itu.

Anifah berkata kementeriannya akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan selain memberi khidmat konsular kepada keluarga mendiang.

Dalam satu kenyataan berasingan, Malaysia mengecam serangan bom ke atas Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Ankara, Turki pada Jumaat yang mengorbankan seorang pengawal keselamatan warga Turki. Turut terbunuh suspek yang meletupkan bahan letupan itu.

Anifah melahirkan rasa simpati Malaysia dengan kematian dan kecederaan terhadap orang awam akibat letupan itu. -BERNAMA 

Sumber: mstar.com.my

Sharnaaz Ahmad: "Jadilah seperti seorang lelaki"

Aktor "Juvana", Sharnaaz Ahmad akui enggan ambil kisah akan kenyataan yang dikeluarkan oleh ayah kepada teman wanitanya, ND Lala yang memberitahu rasa diketepikan selepas Sharnaaz bertegas akan merisik Shila Amzah pada Mac ini

Dipetik dari laman sesawang Murai, Sharnaaz memberitahu dia tidak terkejut apabila membaca kenyataan ND Lala yang dipetik dari Harian Metro. 

"Terpulanglah dia hendak cakap apa. Saya tidak terkejut apabila membaca kenyataan dia. Sebab itu memang caranya. Tapi kalau saya hendak datang merisik atau meminang Shila, sudah tentu saya akan berjumpa dengan dia dan isterinya," ujar Sharnaaz yang memberitahu sedia untuk berjumpa dengan ayah teman wanitanya itu bila-bila masa sahaja. 

Tambahnya lagi, "Banyak orang kenal siapa dia, tapi orang malas hendak cerita. Janganlah gunakan media untuk bercakap tentang hal ini. Hal peribadi, biarlah kita selesaikan secara peribadi. Jadilah seperti seorang lelaki."

Sharnaaz turut memberitahu ibu bapanya turut terkilan dan marah selepas membaca kenyataan ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah Salleh. 

"Takkanlah saya hendak pergi merisik atau meminang tanpa kehadiran ibu bapa saya.
"Dia cakap saya ini kurang ajar. Tapi dalam hal ini, kita kena sama-sama saling hormat. Bukan yang muda saja kena hormat yang tua. Tapi yang tua juga kena hormat yang muda juga."

Sharnaaz turut memberitahu bahawa dia tidak akan mudah putus asa dengan perkara ini.
"Entahlah, saya tak tahu nak cakap apa lagi. Saya tak putus asa. Namun jika saya terus hantar rombongan merisik atau meminang, tetapi dia tidak terima, bagaimana? 

"Dalam hal ini, saya sebenarnya kesian pada dia. Sebab dia sebenarnya yang memalukan diri sendiri dengan cara dengan tindakannya terlalu yakin itu. Tak perlulah hendak jadi yakin sangat."

Sharnaaz turut berharap pihak media akan bertanya kepada Shila kerana baginya, teman wanitanya itu sudah pun dewasa. 

"Saya rasa biarlah dia yang bercakap. Sebab keputusan terletak di tangan dia. Malah dia pun dah besar panjang. Saya yang hendak kahwin dengan dia, bukan dengan bapa dia. Jadi tanyalah kepada tuan empunya badan sendiri."

Sebelum ini dipetik dari Harian Metro, ND Lala telah menegur Sharnaaz kerana bersikap terlalu terbuka dengan hubungan cintanya dengan pelantun lagu "Patah Seribu" itu. 

Malah ND Lala turut meminta agar jangan biadap dan mengenepikan dirinya dan isteri sebagai ibu bapa Shila selepas mengeluarkan kenyataan bahawa dia akan tetap merisik Shila pada Mac akan datang walaupun dihalang oleh bapa penyanyi tersebut.

Sumber: www.yahoo.com 

ND Lala berang dengan Sharnaaz


31 Jan – Bapa kepada Shila Amzah, ND Lala, berang dan kesal dengan tindakan kekasih anaknya, Sharnaaz, yang berkeras mahu merisik walaupun dihalang.
"Saya dan ibu Shila masih hidup, masih bernyawa, sekurang-kurang hormatilah kami sebagai orang tua. Kalau Shila mahu kahwin sekali pun, saya walinya, bukan Sharnaaz yang menentukan itu isterinya," ujar ND Lala kepada Harian Metro

Menurut bapa kepada penyanyi berusia 23 tahun ini, berkata, tindakan Sharnaaz yang memberitahu bahawa Shila merupakan bakal isterinya adalah sangat memalukan. 

"Sharnaaz mengakui Shila bakal isterinya dan tetap akan merisik, semua itu karut. Jangan keluar kenyataan yang boleh memalukan diri sendiri dan saya percaya keluarga Sharnaaz turut malu dengan tindakannya itu." 

Tambah ND Lala lagi, Sharnaaz yang berkeras mahu menghantar rombongan merisik anaknya itu nyata memalukan nama baik keluarganya dan menggangu karier seni anaknya.

"Tolong jangan biadab, hormati kami ibu bapanya. Ini bukan perkara main-main, melainkan kalau mereka mahu kahwin lari," kata ND Lala yang turut menjelaskan bahawa dia tidak menolak Sharnaaz sekiranya itu jodoh anaknya.

Namun, dia merasakan waktu mereka berdua ini berkahwin ini masih belum tiba lagi.

Sumber: www.yahoo.com 

Sharnaaz tetap mahu merisik Shila Amzah

18 Jan – Impian pelakon Sharnaaz Ahmad, 28, mahu memperisterikan Shila Amzah, 23, sedikit terganggu selepas bapa Shila mahu anaknya itu menumpukan perhatian kepada kariernya dahulu. Namun, Sharnaaz bertegas mahu menghantar rombongan untuk berjumpa dengan keluarga kekasihnya itu. 
"Persetujuan yang dicapai antara Shila dan bapanya baru-baru ini bakal menyaksikan Mac 2013 sebagai waktu sesuai untuk kedua-dua pihak menentukan arah tuju hubungan ini. Tetapi saya tidak menyangka akan keputusan yang dibuat bapanya itu," katanya kepada Harian Metro.

"Diharap pertemuan pada Mac ini adalah detik manis buat keluarga saya dan Shila untuk mengenali dan seterusnya menetapkan tarikh pernikahan sebenar." 

Tambahnya lagi, dia berharap dapat diijabkabulkan pada Januari 2014. 

Dalam pada itu, Sharnaaz menafikan dakwaan yang mengatakan dia mengongkong Shila sehingga menimbulkan kemarahan peminat Shila. 

"Kalau saya kongkong dia, takkanlah sampai sekarang dia masih menyanyi. Apa-apa pun, saya memohon maaf sekiranya berbuat demikian."

Sumber: www.yahoo.com 

Sharnaaz mahu jaga Shila kerana dia bakal jadi isterinya

10 Jan – Pelakon Sharnaaz Ahmad akui dia mengongkong kekasihnya, Shila Amzah kerana mahu menjaga Shila yang bakal menjadi isterinya kelak. 
"Memang saya kongkong dia kerana kami menjalinkan hubungan yang serius. Bukan hanya sepasang kekasih."

Ujar Sharnaaz lagi, dia dan Shila kini berada di fasa percintaan yang lebih serius dimana mereka sudahpun membincangkan mengenai perkahwinan. 

"Saya memang merancang untuk memperisterikan Shila tidak lama lagi, jika tiada aral melintang tahun 2013 akan menjadi tarikh pilihan kami berdua untuk mendiri rumah tangga." 

Jika ada yang memperkatakan tindakan beliau yang dilihat seringkali mengongkong Shila, Sharnaaz punyai alasan sendiri.

"Kami bukan bercinta main-main, tidak lama lagi kami akan mendirikan rumah tangga. Sudah tentu saya mahu menjaga bakal isteri saya agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini." 


Dalam pada itu, Sharnaaz memberitahu bahawa tahun 2012 banyak kontroversi menghantui dirinya dan pada tahun ini dia tidak mahu lagi dihimpit dengan kontroversi.

"Kalau tahun lepas macam-macam cerita kurang enak keluar di dada-dada akhbar dan media. Kalau boleh pada tahun ini biarlah orang bercerita mengenai perjalanan karier seni saya pula." Ujar Sharnaaz yang ditemui di majlis tayangan filem Juvana di e@Curve, Damansara.

sumber: www.yahoo.com