Pages

Wednesday, March 5, 2014

Kenyataan Ultras Malaya 5 Mac 2014


Merujuk kepada beberapa jemputan yang diterima oleh kami, Ultras Malaya, daripada pelbagai pihak untuk mengadakan perbincangan.

Ultras Malaya dengan penuh rasa rendah diri dan besar kepala ingin menyatakan bahawa kami tidak akan membuat apa-apa perbincangan dengan mana-mana pihak sebelum Pemilihan Kongres FAM penggal 2014-2018 diadakan.

Kami ingin mengingatkan sekali lagi bahawa kami telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum ini, termasuklah FAM dan KBS. Sukacita kami syorkan kepada mana-mana pihak yang menghadapi masalah kenyanyukan untuk mengingati semula tuntutan-tuntutan kami, agar mengutip semula kertas-kertas cadangan kami yang telah ditongsampahkan bagi tujuan rujukan semula.

Ultras Malaya memikul tanggungjawab dan harapan besar para marhaen pendukung bolasepak, bagi memastikan bahawa barisan kepimpinan FAM yang akan dilantik untuk penggal yang akan datang terdiri daripada individu-individu yang telus dan cekap. Kami belum bersedia untuk melepaskan tanggungjawab dan menguburkan harapan tersebut.

Kami ingin tekankan di sini bahawa kami sepakat menuntut agar 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan'.

Ultras Malaya juga ingin menekankan bahawa kami ialah sebuah gerakan apolitikal. Barisan saf Ultras Malaya menyatukan anak-anak watan tanah tumpah darah ini yang berlatarbelakangkan ideologi nasionalis, Islamis, libertarian, monarkis, green party dan lain-lain lagi. 

Sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin 'membeli' prinsip-prinsip Ultras Malaya dengan apa-apa tawaran 'gula-gula', kami dengan sukacitanya mencadangkan agar anda menyumbat mulut anda sendiri dengan gula-gula tersebut, menyerkup kepala anda dengan baju dan melarikan diri sebelum maruah anda diaibkan oleh barisan anak-anak watan ini.

Sekian, terima kasih.

Sumber: ultrasmalaya.net

Jangan berhenti atas jambatan rakam gambar


GEORGETOWN - Orang ramai dinasihati agar tidak memberhentikan kenderaan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atas faktor keselamatan.

Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Azizi Azizan berkata sejak dibuka Ahad lepas pihaknya mendapati ramai yang berhenti untuk merakam gambar.

"Keadaan ini bahaya kerana mereka akan berada di lorong motosikal yang menghalang penunggang motosikal," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Jambatan yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mac lepas mencatat rekod sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara iaitu 24 kilometer yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau.

Sementara itu Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Pulau Pinang Supt Wan Aziz Wan Husin ketika dihubungi, berkata pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk memantau keadaan lalu lintas di jambatan berkenaan.

"Pasukan khas itu akan membuat rondaan secara berkala dan akan mengeluarkan notis saman kepada mereka yang membuat kesalahan trafik termasuk berhenti di atas jambatan itu," katanya. - Bernama

10 Pelajar Sekolah Maut Akibat Denggi


PUTRAJAYA: Seramai 10 pelajar sekolah maut akibat demam denggi sejak sesi persekolahan dibuka pada Januari lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran II P. Kamalanathan berkata, daripada 18,165 kes demam denggi yang dilaporkan sejak Januari hingga 2 Mac, sebanyak 3,571 (19.6 peratus) kes melibatkan pelajar sekolah.

"Kementerian melihat jumlah itu sesuatu yang membimbangkan dalam peningkatan kes denggi yang serius. Oleh itu kami sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan keadaan terkawal," katanya selepas merasmikan Program Patrol Denggi 2014 pada hari Rabu.

Beliau berkata, selain mengekalkan kebersihan di dalam kawasan sekolah, kawasan sekitar di luar sekolah juga perlu sentiasa bersih daripada tempat pembiakan denggi.

Daripada 10 kematian denggi yang melibatkan pelajar sekolah, empat terdiri daripada murid sekolah rendah manakala selebihnya pelajar sekolah menengah.

Sumber: mstar.com.my