Pages

Friday, May 9, 2014

Proton Preve, Suprima S Bertaraf Lima Bintang

KUALA LUMPUR: Proton Preve dan Proton Suprima S dianugerahkan penarafan lima bintang dalam Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).

Pengumuman tentang anugerah itu dibuat oleh NCAP Asean pada Pelancaran Keputusan Fasa III 2014 di Melaka, yang juga diadakan sempena Forum NCAP Global 2014, Melbourne, Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata usaha Proton untuk mengubah tanggapan orang ramai tentang jenama dan kualiti kereta Proton kini terbukti dan diperkukuh selanjut oleh pencapaian terbaharu ini.

"Kami amat berbangga dan berbesar hati menerima perakuan sedemikian tentang produk jenama kami. Seperti yang kami pernah ulangi berkali-kali, model-model kami bukan sahaja mampu milik, malah lebih penting lagi kami mahu pelanggan kami tahu produk kami berkualiti dan bertaraf antarabangsa," katanya dalam kenyataan, Khamis.

Abdul Harith juga berkata, daripada 12 kereta yang diuji bagi piawaian keselamatan NCAP ASEAN semasa Fasa III itu, Proton memberi saingan hebat dan mendapat tempat kedua.

"Kesejahteraan, keselesaan dan keselamatan pelanggan kami ketika memandu kereta Proton sentiasa menjadi keutamaan teratas kami. Jadi, apabila Proton Preve dan Proton Suprima S dibina, kami mencabar diri sendiri untuk menghasilkan kereta yang tinggi piawaian keselamatannya," katanya. 


Sumber: mstar.com.my

Penerbangan AirAsia pertama mendarat di KLIA2

KUALA LUMPUR - AirAsia dengan rasminya menandakan kehadirannya di lapangan terbang baharu, KLIA2, dengan ketibaan penerbangannya dari Bandaraya Ho Chi Minh.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata Flight AK 539 tiba pada jam 3.40 petang dan telah disambut oleh Pengerusi Eksekutif Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Aireen Omar.

KLIA2, terminal khas terbesar di dunia bagi penerbangan kos rendah (LCC) dengan kapasiti untuk menampung hingga 45 juta penumpang setahun, memulakan operasinya pada 2 Mei.

AirAsia berkata 3,550 daripada kakitangan operasinya dan 70 pesawat (AirAsia dengan 54 pesawat Airbus A320 dan AirAsia X dengan 16 pesawat Airbus A330) akan berpangkalan di lapangan terbang baharu itu mulai esok.

Syarikat itu beroperasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Malaysia Airports Holdings Berhad berkata perpindahan penerbangan AirAsia ke KLIA2 telah bermula lancar dengan ketibaan dua penerbangan antarabangsa dan dua penerbangan domestik setakat jam 5 petang hari ini.

Sebelum itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasinya, Datuk Azmi Murad, juga hadir di klia2 untuk menyambut Penerbangan Flight AK 539 AirAsia. - Bernama


LCCT akhiri perkhidmatan

Lengang
Kaunter penerbangan Air Asia kelihatan lengang selepas pendaftaran masuk penerbangan terakhir ke Kolkata, India selesai pada hari terakhir perkhidmatan Air Asia di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang, malam tadi. - Foto Bernama

SEPANG - Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) menutup perkhidmatannya setelah lapan tahun beroperasi di sini, dengan pelepasan pesawat AirAsiaX D7 170, ke Jeddah, Arab Saudi pada pukul 2.35 pagi ini.

Sebelum itu, pesawat AirAsia AK 63, melakukan penerbangan terakhir untuk malam tadi dari terminal berkenaan ke Kolkata, India pada pukul 10.30 malam.   

Penutupan perkhidmatan LCCT pada hari ini selaras dengan pembukaan terminal baru, KLIA2 pada 2 Mei lalu memandangkan terminal penerbangan tambang murah itu tidak lagi mampu menampung jumlah penumpang yang mencecah 22 juta orang pada tahun lalu, berbanding kapasitinya sebanyak 15 juta penumpang setahun.

AirAsia memulakan operasinya semalam di KLIA2 dengan pendaratan pesawat pertamanya dari Ho Chi Minh, Vietnam pada pukul 3.50 petang.

Dengan kos pembinaan dalam lingkungan RM4 bilion, terminal KLIA2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun dengan AirAsia dijangka menyumbang kira-kira 80 peratus daripada trafik KLIA2.

Klia2 terletak 1.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) berbanding 11 kilometer jarak antara terminal utama dan LCCT.

Selepas penutupan LCCT, pihak Malaysia Airports Holdings Bhd memaklumkan bahawa terminal itu akan dijadikan Terminal Kargo Udara.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri kelima ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 Mac 2006 dengan kapasiti asal 10 juta penumpang setahun, LCCT kemudian diperbesar untuk menampung kapasati 15 juta penumpang setahun pada 2009.

Selain syarikat kumpulan AirAsia yang terdiri daripada AirAsia, AirAsia X, Indonesia AirAsia, Thai AirAsia dan AirAsia Zest, tiga syarikat penerbangan lain turut telah menggunakan perkhidmatan di LCCT iaitu Tiger Air, Lion Air dan Cebu Pacific.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Aireen Omar berkata malam terakhir di LCCT dilalui dengan perasaan sedih kerana terminal ini banyak berjasa kepada mereka dalam AirAsia.

"Banyak kenangan manis AirAsia di LCCT sejak ia memulakan operasi pada 26 Mac 2006.

"Bermacam-macam kenangan manis yang dilalui di sini dengan pelbagai pelancaran yang baik, laluan baharu dan banyak penyambungan penerbangan antarabangsa yang diwujudkan," katanya kepada media.

Aireen berkata: "Kami telah menjadikan LCCT sebagai nadi lapangan penerbangan tambang murah yang terkemuka di rantau ini dan saya dapat merasakan sentuhan perasaan amat sedih kami di sini malam ini."

Ditanya sama ada AirAsia merancang mengambil lebih banyak kakitangan selepas berpindah ke KLIA2 memandangkan dari segi kapasitinya lapangan terbang itu tiga kali ganda lebih besar daripada LCCT, beliau berkata syarikat itu akan meningkatkan proses  perkhidmatannya tanpa perlu menambah kakitangan buat masa ini.

"Kami mahu memastikan produktiviti kakitangan terus meningkat dan mengharapkan mereka lebih cekap dan mampu melakukan pelbagai tugas pada tahap keupayaan yang tinggi," katanya.

Aireen berkata cara ini adalah lebih baik untuk usaha pelaburan dan pertumbuhan masa depan perniagaan yang lebih sihat. - Bernama