Pages

Saturday, April 5, 2014

Rozita Che Wan Rugi Hampir RM500,000 Dek Iklan Kesuburan


BUKAN sesuatu yang luar biasa apabila pihak yang sanggup menggunakan nama selebriti terkenal secara ‘haram’untuk mempromosikan produk mereka demi mengaut keuntungan.

Rozita Che Wan atau Che Ta yang kini sedang hamil tiga bulan juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Menerusi satu sidang media hari ini, dia memaklumkan bahawa dirinya telah kerugian hampir RM500,000 gara-gara tindakan sebuah  stokis yang menggunakan nama dan gambarnya untuk mempromosikan produk kecantikan dan kesuburan mereka di media sosial.

“ Sebelum ini pengurus saya telah pun menghubungi stokis dan pemilik produk mereka dan meminta agar iklan tersebut diturunkan.

” Malah saya sendiri telah menegur individu tersebut di laman Instagram. Namun, selepas 3 bulan, iklan tersebut masih tidak diturunkan,” katanya.

Akibatnya, pihak lain yang mahu melantik dirinya sebagai duta mahu menarik semula tawaran tersebut kerana kes itu masih belum diselesaikan.

Justeru, dia menerusi peguamnya telah menghantar notis tuntutan selama 14 hari untuk stokis tersebut menurunkan iklan tersebut jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan.

Che Ta turut kesal kerana pihak tersebut mendakwa dirinya mengandung kerana menggunakan salah satu produk berkenaan.

Apa pun, diharap stokis tersebut menghentikan perbuatan mereka kerana ia merupakan perbuatan yang sangat tidak jujur.

Secara tidak langsung, tindakan mereka itu umpama menipu pelanggan. 

Sumber: mynewshub.my

KLIA2: Keretakan Di Lapangan Terbang Normal, Bukan Keretakan Struktur – MAHB


SEPANG – 4 April: Terminal Penerbangan Tambang Rendah baharu, klia2, selamat digunakan setelah keretakan landasan kapal terbang dibaiki, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi MAHB Datuk Azmi Murad memberitahu Bernama isu keretakan tersebut tidak akan mengganggu keseluruhan operasi terminal itu yang akan dibuka pada 2 Mei. Azmi juga berkata keretakan yang berlaku di landasan kapal terbang itu adalah normal dan bukan keretakan struktur. Beliau berkata proses kejuruteraan biasa memadai untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Azmi berkata Malindo Air telah melakukan pendaratan percubaan di KLIA2 pada Oktober lepas, yang membuktikan bahawa landasan tersebut berada dalam keadaan baik. KLIA2 kini boleh menampung beban sehingga 100 ton, melebihi berat Superjumbo A380 — kapal terbang komersil terbesar di dunia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa MHAB akan mengambil tindakan serta-merta seperti pembinaan semula jika keretakan struktur berlaku. Untuk keretakan biasa, pembaikan akan dan telah dijalankan, katanya dalam temu bual di KLIA2.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berserta gambar di laman blog yang menunjukkan keretakan di KLIA2 serta keengganan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia berpindah ke KLIA2 pada 2 Mei.

Azmi berkata gambar itu merupakan foto lama, dan kini tidak lagi keretakan. “Keretakan di landasan terbang itu disebabkan oleh proses pemendapan, berlaku susulan kerja paip cerucuk pili bomba. Kerja paip tersebut kemudian disimen sebelum dilapiskan dengan tar bagi melindungi paip tersebut. Jarak antara cerucuk itu menyebabkan proses pemendapan tidak sekata dan berlaku keretakan, katanya.

Mengenai gambar menunjukkan keretakan pada bangunan di KLIA2, beliau berkata ia merupakan ‘kecacatan liabiliti’ dan laporan telah dibuat kepada pihak kontraktor. “Ia merupakan kecacatan kecil,” katanya

Rabu lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan bahawa LCCT di Sepang akan ditutup pada 9 Mei. Beliau juga memberi jaminan bahawa keselamatan di landasan, laluan pesawat’ dan lain-lain, sudah disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA). Menurutnya DCA datang ke KLIA2 untuk melakukan pemeriksaan tersebut.

Azmi berkata DCA akan melakukan pemeriksaan akhir pada 10 April ini. “DCA ialah pihak berkuasa yang akan menentukan sama ada landasan terbang itu selamat, dan bukannya syarikat penerbangan,” katanya.

“LCCT sedia ada juga retak. Saya mahu menutup LCCT disebabkan mereka kata keretakan itu bahaya kepada pesawat, dan oleh itu saya mahu memindahkan mereka ke sini (klia2),” katanya. – BERNAMA

Kelantan Laksana Hudud Secara Terbuka


KOTA BHARU - 4 April: Kerajaan Kelantan akan melaksanakan hukum hudud mengikut pendekatan secara terbuka, yang mana orang bukan Islam juga boleh mengikut pelaksanaan undang-undang tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, malah dari segi perlaksanaan juga Kelantan tidak meniru mana-mana negara luar yang turut mengamalkan undang-undang tersebut tetapi berlandaskan lunas Islam yang sebenar.

“Hukum hudud ini mempunyai dua pandangan berbeza iaitu mesti dilaksanakan secara menyeluruh kepada orang Islam serta bukan Islam ataupun hanya dilaksanakan kepada orang Islam sahaja.

"Maka oleh sebab itu, kita melaksanakannya secara terbuka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi jaminan Kelantan akan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukum hudud itu selewat-lewatnya pada 2015.

Mohd Amar berkata, Kelantan kini sedang menyiapkan draf undang-undang persendirian yang akan dibawa ke Parlimen bagi mendapat kebenaran untuk melaksanakan undang-undang tersebut seperti diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan pernah menolak hukum hudud yang diperjuangkan Pas kerana dilihat cenderung untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat Islam di negara ini.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud ketika diminta mengulas isu tersebut turut berkata, Dr Mahathir seharusnya turut sama memperjuangkan pelaksanaan hukum tersebut jika ia dilihat tidak betul.

“Sekiranya hukum hudud Pas bukan hukum sebenar dan tidak betul, beliau bawalah hukum Islam yang betul tetapi malangnya sehingga hari ini, beliau tidak pernah mengetengahkan hukum hudud,” katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

Hujan Lebat, Pengeluaran Air Terawat Meningkat, Catuan Tetap Seperti Biasa - Syabas


KUALA LUMPUR - 4 April: Pengeluaran air terawat dari Sungai Selangor berjaya ditingkatkan ekoran hujan sejak dua hari lepas, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada Jumaat.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, walapun pengeluaran air terawat bertambah, catuan tetap diteruskan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke sebahagian kawasan-kawasan terlibat.

"Penyaluran bekalan air itu merupakan langkah sementara dan boleh dihentikan bila-bila masa jika aliran air di sungai kembali berkurangan. Oleh yang demikian, para pengguna di kawasan yang terlibat diminta untuk terus berjimat cermat dalam menggunakan air," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata, pelan catuan air yang dilaksanakan oleh Syabas kini membabitkan hampir 7.03 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila pelan catuan peringkat keempat bermula Jumaat.

"Catuan Peringkat Keempat menyaksikan tambahan 633 kawasan kepada catuan Peringkat Ketiga di Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dengan sejumlah 626,233 pintu rumah terjejas," katanya.

Selain itu, beliau berkata, catuan Peringkat Pertama yang bermula pada 27 Februari juga masih aktif walaupun Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi telah mula beroperasi sejak 30 Mac lepas.

Catuan masih diaktifkan kerana sumber air mentah dari Sungai Langat masih terdedah kepada risiko pencemaran ammonia ekoran ketiadaan penurunan hujan di sekitar kawasan sungai, katanya.

Alfred berkata, pihaknya telah membuat perancangan rapi untuk melaksanakan pelan itu dengan menambahbaik pelaksanaan catuan dari masa ke semasa mengikut pengalaman dan keadaan sebenar selepas setiap pusingan pelan catuan.

Katanya, untuk memastikan kelancaran pelan tersebut, Syabas menggunakan 649 tenaga kerja bagi mengoperasikan 850 injap pelbagai saiz yang perlu ditutup dan dibuka pada waktu tertentu.

Sumber: mstar.com.my

Notis Catuan Bekalan Air Peringkat Keempat dan Lanjutan Tempoh Catuan di Peringkat Pertama dan Ketiga Bagi Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya



Adalah dimaklumkan berikutan keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan jumlah pengurangan pelepasan air mentah dari 500 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 1,000 JLH dari Empangan Sungai Selangor dan 30 JLH dari Empangan Klang Gates, pihak SYABAS telah diminta oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ke Empat untuk dilaksanakan bagi menghadapi pengurangan bekalan air terawat yang disebabkan oleh keputusan ini. 

Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ke Empat ini telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 28 Mac 2014. Perlaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ke Empat ini melibatkan beberapa kawasan baru sebagai tambahan kepada kawasan-kawasan yang terlibat di dalam Pelan Catuan Peringkat Ketiga di sembilan (9) wilayah iaitu daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor. 

Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ke Empat akan berkuatkuasa mulai 4 April 2014 hingga 30 April 2014 atau ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Pada masa yang sama Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga yang sedang berjalan pada masa ini dilanjutkan mulai 1 April 2014 sehingga ke satu tarikh yang sama seiring dengan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ke Empat. 

Adalah dengan ini dimaklumkan juga bahawa Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ke Empat ini akan dilaksanakan secara berasingan (separately) dengan jadual yang berlainan daripada Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga (Zon 1 dan 2). Kawasan tambahan yang telibat di dalam Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ke Empat dibahagikan kepada Zon 3 dan 4. Walaubagaimanapun terdapat beberapa kawasan tambahan kepada Zon 1 dan Zon 2 pada Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga seperti yang diperincikan di dalam Notis Catuan Bekalan Air Peringkat Keempat ini dan akan dilaksanakan mengikut jadual pelan tersebut. Kawasan-kawasan yang terlibat di dalam Zon 1 dan Zon 2 di dalam Pelan Catuan Peringkat Pertama dan Ketiga ini adalah sama seperti yang disenaraikan di dalam notis yang dikeluarkan kepada pengguna masing-masing pada 25 Februari 2014 dan 7 Mac 2014 yang lalu. Bagi mendapatkan maklumat mengenai kawasan yang terlibat, para pengguna disarankan merujuk kepada notis tersebut di laman web SYABAS (www.syabas.com.my). 

Untuk makluman, perlaksanaan Catuan Bekalan Air ini akan diselaras oleh pihak SPAN dengan sumber-sumber daripada Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan dan 

Klik untuk maklumat zon-zon yang terlibat.

Sumber: syabas.com.my

Tiada Rancangan Tukar Cuti Hujung Minggu Sedia Ada - MB Johor

Mohamed Khaled meninjau gerai pameran selepas melancarkan MAHA 2014 peringkat negeri Johor di Batu Pahat

BATU PAHAT - 4 April: Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin menafikan kerajaan negeri itu akan mengubah cuti hujung minggu sedia ada iaitu pada Jumaat dan Sabtu ke hari Sabtu dan Ahad semula.

Ketika ditanya mengenai entri yang tersebar di laman media sosial baru-baru ini mengenai kerajaan negeri itu mungkin menukar cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu yang berkuatkuasa pada 1 Januari tahun ini, Mohamed Khaled berkata, 'tidak ada perkara seperti itu'.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Pertanian, Hortikultur dan Agro-pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 peringkat negeri Johor di Dataran Penggaram di sini Jumaat.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengumumkan pertukaran cuti hujung minggu kepada hari Jumaat dan Sabtu pada November tahun lalu yang dikuatkuasakan terhadap semua jabatan dan agensi kerajaan tetapi sebagai pilihan kepada sektor swasta.

Pertukaran itu dibuat bagi memudahkan umat Islam di Negeri Johor untuk menunaikan ibadah Solat Jumaat.

Sumber: mstar.com.my

Wanita New Zealand Pecah Rekod Dunia Tangkap Ikan Tuna Seberat 411kg Dengan Nilai Lelongan AS$2 Juta

Donna dengan hasil tangkapannya iaitu dipercayai satu rekod dunia.

  • Donna Pascoe, 56, berjaya memancing seekor ikan tuna sirip biru gergasi seberat 411.6kg
  • Dia bertarung lebih empat jam sebelum berjaya menaikkannya ke atas bot
  • Ikan itu dua kali ganda lebih berat daripada seekor anak gajah
  • Ia cukup untuk mengisi 1,769 tin tuna atau 511 hidangan tuna sashimi
  • Malangnya Donna tidak dibenarkan menjual ikan tersebut kerana ia tidak ditangkap di atas bot komersil
  • Dia kini sedang menunggu pengesahan bahawa tangkapan itu adalah rekod dunia daripada Persatuan Sukan Ikan Antarabangsa

Donna Pascoe, 56, bersama ikan tuna seberat 411.6kg yang berjaya ditangkapnya.

CAPE REINGA (New Zealand): Menurut nilai lelongan semasa, seekor ikan tuna sirip biru dengan berat melebihi 400kg boleh dijual di pasaran lelong sehingga AS$2 juta, juga cukup untuk dibuat 2,875 keping sandwich atau 1,769 tin tuna.

Malangnya, wanita yang berjaya mengalahkan ikan tuna gergasi itu, Donna Pascoe, (ketika sedang memancing di laut dalam berhampiran Pulau Tiga Raja di New Zealand) tidak dapat menjual hasil tangkapannya itu kerana undang-undang ketat New Zealand sepertimana juga Australia tidak membenarkan ikan yang ditangkap di luar bot nelayan komersil dijual beli dalam apa cara sekali pun.

Ia adalah untuk kegunaan sendiri sahaja iaitu untuk dimakan atau 'disedekahkan' percuma kepada sesiapa asalkan tidak diambil keuntungan daripada tangkapan tersebut.

Oleh yang demikian Donna berhasrat untuk mengawet tangkapannya itu dan digantung di dinding rumahnya nanti.

Menurut portal berita Mail Online yang melaporkan peristiwa bersejarah itu, Donna yang gemar menceburi sukan memancing terpaksa bertarung selama lebih empat jam sebelum dapat menaikkan ikan tuna sirip biru pasifik itu yang seberat 411.6kg.

Tangkapan itu kini dipercayai memecah rekod dunia sebagai ikan tuna paling besar dan berat yang pernah ditangkap menggunakan kail dan tali tangsi seberat 60lb.

Rekod sebelum ini disandang oleh ikan seberat 335kg.

Tahun lalu ikan tuna dari spesies yang sama seberat 200kg telah dijual di pasaran lelong di Jepun pada harga AS$1.09 juta.

"Saat tali tangsi saya bergerak dengan begitu laju sekali ia seolah-olah tersangkut pada gerabak kereta api," kata Donna, yang berasal dari Auckland, New Zealand.

Tanpa menyedari yang umpannya dibaham tuna gergasi, Donna dan empat rakan memancingnya yang lain bersilih ganti cuba menjinakkan ikan tersebut dan akhirnya mereka berjaya menaikkannya ke atas bot selepas empat jam bertarung separuh nyawa kerana ia terlalu besar dan berat.

Selepas empat jam 11 minit berhempas pulas, ikan tuna berjaya dinaikkan ke dalam bot.

Apabila dinaikkan dan kemudian disukat, mereka terkejut mendapati ikan itu adalah sepanjang 8 kaki 9 inci.

"Ikan ini tersangat degil tetapi saya lebih degil daripadanya dan tidak mengalah sama sekali," kata Donna.

Yang meletihkan Donna dan rakan-rakannya ialah angin ketika itu bertiup kencang iaitu sehingga 36 knots dan ombak kuat mula membadai bahagian belakang bot.

Dan mereka juga bergelut untuk segera menaikkannya ke atas bot kerana khuatir jerung akan terlebih dahulu membaham ikan tuna tersebut yang sudah pun keletihan dan mengalah.

Pengerusi Persatuan Peraih Ikan United Kingdom, Alistair Blair berkata: 'Nilai jualan borong ikan tuna sirip biru dengan saiz yang ditangkap oleh Donna itu boleh mencecah dari AS$8,300 sehingga AS$16,500 iaitu empat kali ganda nilai ikan tuna biasa.

Nilai runcit pula adalah jauh lebih tinggi iaitu boleh mencapai AS$83,000 atau lebih.

Ikan ini tersangat degil tetapi saya lebih degil daripadanya - Donna

Tetapi selepas itu, sebaik sahaja ikan tuna yang dibekukan ini memasuki pasaran lelongan, ia boleh mencecah AS$1 juta untuk spesies tuna sirip biru seberat lebih 200kg kerana ia paling digemari dan menjadi pilihan ramai di Jepun.

Jepun adalah negara pengguna ikan tuna terbesar dunia.

"Ia adalah ikan yang sama nilai dengan lukisan Picasso," kata Blair.

Ikan tuna sirip biru adalah spesies tuna terbesar dunia dan boleh hidup sehingga 40 tahun dan membesar sehingga saiz sebuah lori tiga tan.

Ia boleh menyelam sehingga 4,000 kaki dan antara ikan gergasi yang paling pantas berenang.

Sumber: mstar.com.my