Pages

Saturday, April 5, 2014

Kelantan Laksana Hudud Secara Terbuka


KOTA BHARU - 4 April: Kerajaan Kelantan akan melaksanakan hukum hudud mengikut pendekatan secara terbuka, yang mana orang bukan Islam juga boleh mengikut pelaksanaan undang-undang tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, malah dari segi perlaksanaan juga Kelantan tidak meniru mana-mana negara luar yang turut mengamalkan undang-undang tersebut tetapi berlandaskan lunas Islam yang sebenar.

“Hukum hudud ini mempunyai dua pandangan berbeza iaitu mesti dilaksanakan secara menyeluruh kepada orang Islam serta bukan Islam ataupun hanya dilaksanakan kepada orang Islam sahaja.

"Maka oleh sebab itu, kita melaksanakannya secara terbuka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi jaminan Kelantan akan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukum hudud itu selewat-lewatnya pada 2015.

Mohd Amar berkata, Kelantan kini sedang menyiapkan draf undang-undang persendirian yang akan dibawa ke Parlimen bagi mendapat kebenaran untuk melaksanakan undang-undang tersebut seperti diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan pernah menolak hukum hudud yang diperjuangkan Pas kerana dilihat cenderung untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat Islam di negara ini.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud ketika diminta mengulas isu tersebut turut berkata, Dr Mahathir seharusnya turut sama memperjuangkan pelaksanaan hukum tersebut jika ia dilihat tidak betul.

“Sekiranya hukum hudud Pas bukan hukum sebenar dan tidak betul, beliau bawalah hukum Islam yang betul tetapi malangnya sehingga hari ini, beliau tidak pernah mengetengahkan hukum hudud,” katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment