Pages

Tuesday, February 25, 2014

Saya sayang anak saya

KAJANG –  ”Saya sayang anak saya,” kata seorang bapa yang menghadapi pertuduhan membunuh anaknya di rumah mereka di Bandar Baru Bangi, Selangor, akhir bulan lalu, ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Norazman Mohammad, 44, yang menghadapi tiga pertuduhan, menuturkan ungkapan itu dalam nada tenang selepas pertuduhan dibacakan sambil mengangguk faham.

Bagi pertuduhan pertama, Norazman, yang tidak bekerja, didakwa membunuh Zulaikha, 7, dengan sebilah parang di dalam rumahnya di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Kajang pada 4 petang, 30 Jan lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, bapa kepada enam anak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh dua lagi anak perempuannya, Maryam, 10, dan Liyana, 12, pada hari, masa dan lokasi sama.

Norazman didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

“Saya sayang anak saya. Saya mengaku tidak bersalah,” katanya yang berpakaian baju jersi berwarna hitam dalam nada perlahan selepas pertuduhan kedua dan ketiga itu dibacakan.

Terdahulu, peguam Norah Abu Bakar yang mewakili tertuduh berkata pihaknya memohon anak guamnya itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk mendapatkan penilaian psikiatri.

“Saya baru berjumpa dengan tertuduh dan saya beranggapan mental anak guam saya tidak stabil. Sekiranya tertuduh didapati tidak stabil, pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadapnya harus dipinda,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S. Abirami membantah permohonan itu atas alasan laporan forensik, kimia dan bedah siasat berhubung kes itu masih belum diterima.

Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad menolak permohonan peguam bela itu dan menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, bedah siasat dan kimia.

Pada 6 Februari lalu, Norazman didakwa di Wad 2 Lelaki, Hospital Kajang dengan dihadiri majistret, pihak pendakwaan, peguam serta anggota keluarganya. – BERNAMA

Bojan Hodak dilantik sebagai Pengurus pasukan JDT

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berbesar hati mengumumkan perlantikkan Bojan Hodak sebagai Pengurus Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Cesar Ferrando Jimenez pula dikekalkan sebagai Ketua Jurulatih. Pengalaman luas Bojan Hodak dalam arena bola sepak Malaysia terutama ketika mengendalikan pasukan-pasukan tempatan serta berjaya  menjuarai beberapa piala sebelum ini pasti dapat membantu Cesar Jimenez dari segi informasi  dan pemahaman mengenai bola sepak Malaysia lantas membolehkan beliau mengaplikasikan kemahiran dan pengalaman beliau di Eropah ke dalam kancah bola sepak Malaysia.

Kehadiran Bojan Hodak adalah untuk membantu Cesar Jimenez dalam memberi informasi mendalam tentang pasukan dan pemain-pemain pihak lawan dimana Cesar Jimenez akan terus menggalas tanggungjawab menyusun taktikal pasukan, falsafah permainan, pembangunan bolasepak dan lain-lain buat pasukan Johor DT. Gabungan kedua-dua jurulatih berpengalaman ini pasti akan memberi persaingan lebih sengit di dalam arena bolasepak Malaysia dan semestinya Harimau Selatan akan kembali dengan taring yang lebih terasah.

Bojan Hodak / Cesar Jimenez: “Kami berdua sangat teruja dengan perkembangan terbaru ini dan seterusnya akan bekerja keras bagi meletakkan Bolasepak Negeri Johor kesuatu tahap yang lebih tinggi”.


Sumber: http://johorsoutherntigers.com.my/

Syabas: 71 kawasan terlibat catuan air

Keadaan paras air di Empangan Batu Ulu Yam yang berkurangan akibat cuaca panas

KUALA LUMPUR - Pelan catuan bekalan air di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan bermula dari 27 Februari hingga 31 Mac ini, kata Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), V. Subramaniam.

Beliau berkata pelan itu dilaksanakan kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi masih ditutup akibat pencemaran amonia di Sungai Langat sejak 28 Januari lepas.

"Untuk makluman, pelan itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam (24 Februari). Ia melibatkan lebih 60,000 pengguna di 71 kawasan terjejas," katanya pada sidang media khas di ibu pejabat Syabas di sini hari ini.

Menurutnya, air akan diambil dari loji Semenyih, Sungai Labu dan Langat bagi menampung keperluan pengguna berkenaan.

Sehubungan dengan pelaksanaan pelan itu, Syabas menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kononnya syarikat berkenaan tidak menyediakan pelan pengagihan air berjadual dan catuan bekalan air.

"Tuduhan itu tidak benar kerana cadangan penyediaan pelan berkenaan telah dibentang pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 18 Februari lepas.

"Susulan itu, kerajaan Selangor telah memanjangkan permohonan cadangan pelan kepada SPAN pada lewat petang 21 Februari sebelum diluluskan semalam," jelas Subramaniam.

Khalid sebelum ini dilapor menyalahkan Syabas sebagai punca kekurangan bekalan air yang dihadapi penduduk sejak minggu lepas dan mendakwa pelan pengagihan tersebut sepatutnya dilaksanakan awal bagi membolehkan pengguna membuat persiapan.

Berikut adalah kawasan yang terjejas:

WILAYAH HULU LANGAT

Zon 1

  • Taman Juara Jaya
  • Taman Bukit Belimbing
  • Taman Sungai Besi Indah 1,2 & 3
  • Taman Harmoni Indah
  • Taman Puncak Utama, Seri Kembangan
  • Taman Putra Budiman
  • Taman Balakong Jaya
  • Taman Seri Timah
  • Taman Tanming Jaya
  • Kawasan perindustrian Balakong
  • Taman Industri Selesa Jaya, Seri Kembangan
  • Taman Industri Balakong
  • Taman Tanming Permai
  • Taman Industri Lifong
  • Taman Tanming Ria
  • Taman Sungai Besi Indah Zon 1
  • Juta Mines Kondominium, Seri Kembangan


Zon 2

  • Kawasan Perindustrian Cheras Jaya
  • Taman Impian Ehsan Seri Kembangan
  • Taman Desa Karunmas Seri Kembangan
  • Kampung Baru Balakong
  • Taman Kasturi Cheras
  • Taman Sri Indah Cheras
  • Taman Bukit Emas
  • Taman Cheras Jaya
  • Taman Impian Indah
  • Taman Taming Indah
  • Taman Sejati
  • Taman Seri Sungai Long
  • Taman Bukit Sungai Long
  • Rumah Kenangan Cheras
  • Taman Dutamas
  • Taman Setia Kasturi Cheras
  • AEON Cheras Selatan
  • Taman Industri Balakong Jaya
  • Taman Setia Balakong
  • Taman Sinaran
  • Kawasan Perniagaan Desaria, Seri Kembangan
  • Dataran C180 Balakong


WILAYAH KUALA LANGAT & SEPANG

Zon 1

  • Kampung Olak Lempit
  • Kampung Bukit Changgang
  • Kampung Labohan Dagang
  • Selangor Dredging
  • Taman Changgang Jaya
  • Kompleks Perabut Olak Lempit
  • RTB Bukit Changgang
  • Bandar Sri Ehsan
  • Bandar Mahkota
  • Bandar Sungai Emas
  • Taman Arked
  • Taman Ambar
  • Taman Sri Dagang
  • Taman Langat Murni
  • Taman Langat Utama
  • Taman Murnimas
  • Taman Seri Telok Datok
  • Taman Sri Cheding
  • Sekolah Tamil Sungai Sedu


Zon 2

  • Kota Warisan
  • Warisan Bestari
  • Taman Bunga Raya
  • Taman KLIA Indah
  • Tiara Heights
  • Taman Ixora
  • Taman Dahlia
  • Taman Seroja
  • Taman Mawar ( Mawar 1, Mawar 2, Mawar Perdana, Emas Villa )
  • Taman Kenanga
  • Taman Desa Vista
  • Taman Desa Bestari
  • Salak Permai

- Bernama

'Insiden terowong': Duta Brazil bertemu pemain T-Team

Rozi Mamat (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Maria Ausiliadora Figueirado sempena kunjungannya ke pejabat T-Team sambil diperhatikan oleh Azraai Khor Abdullah (kiri) dan Ab. Rasid Jusoh di Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU - Isu keselamatan pemain Brazil dalam skuad T-Team berhubung ‘insiden terowong’ bulan lalu turut menarik perhatian Duta Brazil ke Malaysia, Maria Auxiliadora Figueirado untuk bertemu pihak pengurusan pasukan serta ketiga-tiga warga negara itu yang berkhidmat bersama pasukan tersebut musim ini.

Menurut Figueirado, pihaknya telah menerima aduan daripada dua pemain T-Team, Evaldo Concalves dan Fabio Flor de Azivedo serta jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo berhubung insiden tersebut dan memutuskan untuk bertemu mereka serta pihak pengurusan pasukan.

“Kami berada di sini untuk bercakap dengan pihak pengurusan T-Team mengenai isu-isu keselamatan pemain.

“Adalah tugas pihak kedutaan untuk memastikan keselamatan rakyat kami dan jika mereka berada dalam keadaan bahaya, kami tidak ada pilihan melainkan mengambil mereka keluar dari negara ini," katanya.

Pertemuan yang berlangsung di pejabat T-Team di sini semalam turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh; pengurus, Rozi Mamat serta ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah.

Yang hadir sama penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar serta Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Deraman.

Jelas Figueirado, dia juga telah berbincang dengan Goncalves, Fabio Flor dan Impagliazzo berhubung perkara tersebut namun ketiga-tiganya memutuskan untuk terus berada di negara ini dan berkhidmat bersama T-Team selagi diperlukan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140224/su_07/Insiden-terowong-Duta-Brazil-bertemu-pemain-T-Team#ixzz2uIT3z9uT
© Utusan Melayu (M) Bhd