Pages

Monday, February 10, 2014

Enam lelaki gali kubur dicekup

ROMPIN – Sekumpulan masyarakat Orang Asli di Kampung Deraman, Batu 3, Kuala Rompin, di sini, berjaya menggagalkan usaha sekumpulan enam lelaki yang sedang menggali salah satu kubur di tanah perkuburan kampung tersebut kononnya untuk tujuan 'perubatan'.

Kejadian tersebut disedari seorang penduduk kampung, Tan Din, 39, yang dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai bermesyuarat bersama dengan pemimpin kampung sekitar jam 9 malam tadi.

Menurutnya, dia curiga apabila melihat ada cahaya lampu suluh di dalam kawasan perkuburan dan sebuah kereta diletak di tepi jalan dalam gelap.

“Saya rasa tidak sedap hati dan curiga, lalu saya singgah dan bertanya kepada tiga orang yang berada dekat kereta tersebut dan mereka berkata sedang menunggu enjin kereta sejuk kerana ada masalah enjin panas.

“Namun apabila saya melihat keadaan kereta itu, saya tambah pelik kerana bonet depan tidak dibuka sedangkan kata mereka sedang menyejukkan enjin. Kemudiannya saya terus maklum kepada Tok Batin tentang hal yang mencurigakan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Tok Batin Kampung Deraman, Atan Abdul Rahman, 54, kemudiannya memaklumkan hal tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Deraman, Rosman Sulong, 39.

Menurut Rosman, beliau bersama penduduk kampung lain pada mulanya mengintai dari jauh dan melihat tiga individu sedang menggali kubur.

“Waktu itu ada dua kumpulan penduduk, salah satu kumpulan saya arahkan pergi menahan tiga individu yang sedang menunggu di kereta dan satu kumpulan lagi yang bersama saya pergi menyerbu tiga individu yang sedang menggali kubur.

“Ketika diserbu, tiga individu yang sedang menggali kubur itu melarikan diri dalam gelap meninggalkan barang-barang yang digunakan untuk menggali ke kereta mereka. Selepas itu saya terus telefon polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Sumber: sinarharian.com.my


80 Peratus Ruang Niaga Di KLIA2 Sudah Diisi - Hasan Malek

SEPANG: Sebanyak 80 peratus ruang niaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), terminal penerbangan tambang rendah, sudah diisi sehingga ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata pengisian ruang niaga di KLIA2 itu menunjukkan petanda positif dalam menjadikannya sebagai terminal penerbangan tambah rendah, bahkan sebagai pusat peruncitan yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada 12,000 warga tempatan kelak.

"Pelbagai jenama peruncitan dari dalam dan luar negara akan beroperasi di KLIA2. Kedai runcit di KLIA2 bukan sahaja untuk para penumpang membeli-belah malah kepada orang ramai yang mengunjungnya.

"Hab peruncitan KLIA2 ini merupakan antara Projek Permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam sektor pemborongan dan peruncitan yangdikawal selia oleh KPDNKK," katanya pada sidang media selepas melawat ke KLIA2di sini Ahad.

Turut hadir Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Alias Ahmad.

EPP di KLIA2 merupakan inisiatif swasta yang diterajui Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) manakala kerajaan pula berperanan sebagai fasilitator dalam membantu menjayakan pelaksanaan projek tersebut, katanya.

Beliau berkata KLIA2 menawarkan peluang perniagaan dan berpotensi memberipulangan yang besar kepada sektor peruncitan dan pemborongan ekoran jumlah penumpang domestik dan antarabangsa yang akan menggunakan terminal penerbangan tambang rendah itu kelak.



Hasan berkata ruang niaga klia2 dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ruang niaga di Terminal Utama dan ruang niaga di Gateway@klia2 atau dikenali sebagai 'Landside Mall'. -BERNAMA

Sumber: mstar.com.my


Kanak-Kanak Mati Lemas Di Kolam Renang Kediaman MB Selangor

SHAH ALAM: Rumah terbuka Tahun Baru Cina di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor bertukar tragis apabila kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mati lemas di kolam renang di sana.

Gambar hiasan.

Amanda Dany Shah sedang bersama-sama dengan ibu bapanya yang menyediakan perkhidmatan katering untuk rumah terbuka anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Negeri Selangor (Pekawanis) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Azisman Alias ​​berkata siasatan mendapati Amanda telah berjalan-jalan seorang diri manakala ibu bapanya sibuk menyediakan makanan.

"Gadis itu ditemui di kolam renang yang terletak di tingkat atas kediaman," kata beliau ketika dihubungi.

Menurut sumber, seseorang telah menarik Amanda keluar dari dalam kolam dan cuba menyelamatkannya sebelum ambulans tiba dan digegaskan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di mana dia telah diisytiharkan mati kira-kira pukul 7 malam.

Polis menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.30 petang dan sebuah kereta peronda telah dihantar untuk menyiasat.

Azisman berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beberapa jam selepas kejadian tragis itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menulis di Twitter mengucapkan takziah kepada ibu Amanda, Rini Sutari.

"Takziah Kepada Puan Rini Sutari & Keluarga, katerer Majlis Tahun Baru Cina PEKAWANIS, atas kehilangan puteri Amanda Dany Shah. Al- Fatihah," Khalid menulis.

Setiausaha akhbar Khalid Arfa'eza Aziz berkata beliau menghadiri majlis di Kuala Selangor pada masa kejadian itu.

"Terdapat kira-kira 400 tetamu di rumah terbuka yang diadakan di dewan di tingkat bawah kediaman," katanya ketika dihubungi


Sumber: mstar.com.my