Pages

Monday, January 14, 2013

Kalimah Allah Tidak Boleh Diterjemah Ke Dalam Mana-Mana Bahasa - Majlis Syura PAS

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana ia tidak menepati kehendak sebenar kalimah ini.
"Tindakan menterjemahkan kalimah 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibenarkan kerana ia salah dari segi makna dan tidak menepati kehedak sebenar," kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada malam Ahad.
Beliau menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bagi penganut bukan Islam boleh membawa kepada kekeliruan yang nyata justeru tindakan tersebut perlulah ditegah.
"Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya.
"Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut.
"Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah," menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, Nik Aziz dan Haron Din sepakat menegaskan kalimah Allah adalah alami kerana Allah Tuhan sekalian alam dan sesiapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab jahiliah yang bukan Islam menyebutnya.
"Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan Yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal tidak beranak dan tidak diperanakkan," katanya.
Mesyuarat Majlis Syura PAS yang bersidang pada malam Ahad, diadakan khas bagi membincangkan mengenai isu kalimah Allah dan Amanat Hadi pada malam Ahad bermula pada pukul 9 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Pemimpin PAS dan ahli Majlis Syura yang hadir bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan sebaliknya hanya kenyataan media sahaja diedarkan kepada kira-kira 20 wartawan yang menunggu.
Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak boleh disalah guna untuk kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam.
Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.
Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.
Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.
Bukan itu sahaja, pemimpin tertinggi PAS sendiri termasuk Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Haron Din, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyatakan pendirian tegas mereka, tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut bukan Islam.
Dalam perkembangan lain, Majlis Syura PAS turut mendesak kerajaan supaya membenarkan Abdul Hadi menjelaskan mengenai isu 'Amanat Hadi' dan ia perlu disiarkan secara langsung selama satu jam di TV1 dan TV3.
Sumber: mstar.com.my

RM50,000 Lesap Dalam Akaun Bank Lisa Surihani

Lisa Surihani

KUALA LUMPUR: Wang RM50,000 milik pelakon Lisa Surihani, 26 dan ibunya telah dicuri selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.
Menurut laporan Harian Metro, ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, 62, mula menyedari kehilangan wang itu ketika dia ingin mengeluarkan sejumlah wang pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10.30 pagi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.
Sumber polis berkata, ketika membuat semakan baki simpanan Siti Amira mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak membuat sebarang pengeluaran wang.
Menurutnya, apabila dirujuk kepada pihak bank dia diberitahu kad ATM miliknya sudah tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan dengan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya.
“Berikutan itu Siti Amira bersama Lisa Surihani tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari yang sama,” katanya.
Sumber itu berkata, selepas semakan dilakukan, rekod pengeluaran wang menunjukkan wang dalam akaun dua beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.
Sementara itu, Lisa Surihani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Buat masa ini saya tidak mahu menceritakan kejadian sebenar yang terjadi tambahan ia kini dalam siasatan polis dan hanya akan memberi penjelasan selepas siasatan selesai.
“Apa yang boleh saya katakan laporan yang dibuat itu berkaitan dengan kehilangan wang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
 Sumber: mstar.com.my

Harga Tol Kesas Turun Antara 10 Dan 40 Sen

PETALING JAYA: Kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) diturunkan antara 10 sen dan 40 sen berkuatkuasa selepas tengah malam ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor pada Isnin.
Kadar tol untuk Kelas 1 iaitu bagi kereta biasa diturunkan sebanyak 20 sen iaitu dari RM2.20 kepada RM2.
Bagi kenderaan Kelas 2 iaitu dua gandar atau enam tayar (kecuali bas) akan menikmati pengurangan tol sebanyak 30 sen (dari RM3.30 kepada RM3), Kelas 3 iaitu kenderaan 3 gandar atau lebih sebanyak 40 sen (dari RM4.40 kepada RM4), Kelas 4 iaitu teksi sebanyak 10 sen (dari RM1.10 kepada RM1) manakala Kelas 5 iaitu bas akan menikmati pengurangan 20 sen (dari RM1.70 kepada RM1.50).
"Sebanyak 298,000 pengguna lebuh raya (kadar sehari) ini akan menikmati kadar penurunan itu dan ia tidak akan naik sehingga tahun 2016," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan pusingan U bertingkat di KM 37.5 Lebuhraya Kesas di sini.
Lebuhraya Kesas sepanjang 34.5 km adalah lebuh raya ekspres perbandaran yang menghubungkan antara Sri Petaling di Kuala Lumpur dan Pandamaran di Klang.
Shaziman berkata penurunan yang merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula kadar tol Lebuhraya Kesas kendalian Kesas Sdn Bhd itu akan memberi kesan positif kepada penduduk di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang dan kawasan sekitar.
Beliau berkata kadar tol Lebuhraya Kesas sepatutnya naik sehingga RM3 (bagi kenderaan Kelas 1) pada Januari 2012 tetapi atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara itu tidak dilaksana kerana kenaikan itu akan menjejaskan kehidupan rakyat biasa.
"...kerana kenaikan sehingga RM3 itu ditangguh, kerajaan terpaksa membayar RM86 juta kepada syarikat konsesi iaitu 80 sen untuk setiap kenderaan pada tahun 2012," katanya.
Beliau berkata sejak Najib menerajui kepimpinan negara, beberapa lebuh raya menstruktur semula kadar tol, antaranya Projek Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Cheras-Kajang yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Grand Saga manakaka plaza tol di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Metramac) di tutup terus.
"Kerajaan akan terus berbincang dan menyakinkan syarikat konsensi mana-mana lebuh raya untuk menstruktur semula kadar tol mereka selepas kajian mengenai tambahan trafik sesebuah lebuh raya itu dibuat," katanya.
Sementara itu, Shaziman meminta syarikat konsesi Lebuhraya Kesas menyiapkan pembinaan pusingan U bertingkat di kawasan USJ Summit lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan iaitu Mac 2014 bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
"Projek pusingan U bertingkat itu dibuat untuk melegakan kesesakan lebuh raya yang kini mencecah sehingga 9,500 kenderaan satu jam pada waktu puncak. Atas dasar keprihatinan kerajaan, kami mengeluarkan peruntukan RM25 juta untuk projek itu pada Oktober 2011," katanya. BERNAMA