Pages

Thursday, August 14, 2014

Tempahan untuk Perodua Axia dibuka mulai hari ini

Update : Maklumat terkini mengatakan tempahan untuk Perodua Axia akan bermula pada tarikh 15hb. Ogos 2014 (Jumaat). Untuk maklumat selanjutnya, anda boleh berkunjung ke bilik pameran Perodua yang berdekatan untuk mendapatkan pengesahan.
Bermula hari ini, syarikat automotif tempatan Perodua telah membuka tempahan untuk model kompak serba baharunya, Perodua Axia, menurut laporan terkini yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian Online* yang diterbitkan sebentar tadi.

Perodua Axia ialah sebuah kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama Malaysia yang akan ditawarkan pada harga serendah dari RM24,900.00. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dilaporkan berkata, model terbaharu dengan penjimatan bahan api itu mampu dipandu sehingga 21.6 kilometer bagi setiap liter petrol.

“Kami mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk hadir ke 180 bilik pameran jualan kami di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tawaran terbaharu dan paling menarik dari kami. “Tempahan bagi model PERODUA Axia adalah RM250 dan RM300 bergantung kepada varian,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Bakal dilancarkan tidak lama lagi, Perodua Axia ialah sebuah model generasi akan datang yang dihasilkan menerusi pemodenan kilang pengeluaran terbaharu Perodua yang canggih dan mesra alam. PERODUA Axia akan ditawarkan dengan empat varian iaitu varian permulaan Standard E, diikuti Standard G, Special Edition dan varian teratas Advance.

Semua varian Perodua Axia didatangkan dengan tempoh jaminan lima tahun, konsep pertama yang ditawarkan oleh syarikat itu. Menurut Perodua, penggunaan nama “Axia” (disebut a-zee-a) dipilih hasil gabungan perkataan Asia, sementara abjad “X” menunjukkan nombor 10 dalam angka Roman yang mewakili model ke-10 yang dikeluarkannya.

Dihasilkan menerusi kilang mesra alam baharu milik PERODUA, kemudahan itu antara lain berfungsi menghasilkan formula semburan cat berasas air yang kurang kasar berbanding cat berasaskan pelarut yang digunakan ketika ini. Penggunaan sistem automasi pada paras tinggi itu juga meningkatkan kualiti dan pada masa sama mengurangkan kos operasi.

“Kami percaya bahawa PERODUA Axia adalah model berdaya saing di rantau ini, itulah sebabnya perkataan “Asia” digunakan selain ia menjadi satu standard baharu kepada kami. “Standard ini boleh dikategorikan kepada empat garis utama iaitu mesra alam, ruang luas untuk kereta kompak, pemanduan mudah dan ekonomik dari segi kos pemilikan,” kata Aminar Rashid.

Dengan slogan “Your Smart Move”, model itu mewakili usaha PERODUA menjadi lebih berdaya saing di peringkat global dari segi gaya, fungsi dan harga. PERODUA Axia boleh memuatkan empat beg dengan keupayaan ruang isi barang 260 liter.




Sumber: keretamoto.com, funtasticko.net