Pages

Thursday, February 27, 2014

AirAsia X Catat Kerugian Sebelum Cukai Sebanyak RM212.98 Juta Bagi Tahun Kewangan 2013

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- AirAsia X Bhd mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM212.98 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2013, berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM38.01 juta pada tahun kewangan 2012.

Perolehan bagaimanapun naik kepada RM2.31 bilion daripada RM1.97 bilion.

Bagi suku keempat, syarikat penerbangan jarak jauh sekutu syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Group itu mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM170.39 juta berdasarkan RM679.59 juta perolehan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat menjelaskan bahawa kerugian sebelum cukai itu disebabkan oleh perbelanjaan operasi lebih tinggi berjumlah RM2.3 bilion pada tahun kewangan 2013, naik 19.3 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala perolehan yang lebih kukuh disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada jualan tempat duduk penumpang bagi penerbangan berjadual yang meningkat 16.4 peratus.

Antara sumbangan kepada kerugian itu ialah peningkatan kos kakitangan sebanyak 29.9 peratus kepada RM234.4 juta; susut nilai hartanah dan peralatan yang meningkat sebanyak 29.8 peratus kepada RM139.0 juta; serta perbelanjaan bahan api pesawat yang naik 18.7 peratus kepada RM1.1 bilion.

Bagaimanapun, kedudukan syarikat di rantau Asia Pasifik yang diunjurkan kukuh, akan membolehkan AirAsia X mendapat faedah daripada pertumbuhan ini dan terus menjadi pasaran yang menarik bagi laluan perjalanan jarak jauhnya.

"Sekiranya tiada halangan, syarikat menjangka prospek akan kekal positif," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment