Pages

Tuesday, April 22, 2014

Catuan air di Lembah Klang dihentikan minggu depan

KUANTAN 22 April - Kebimbangan penduduk di Selangor dan Wilayah Persekutuan bakal berakhir apabila catuan air yang berlangsung selama dua bulan lalu akan ditamatkan pada minggu depan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan mengisytiharkan perkara itu hasil daripada mesyuarat yang diadakan di Shah Alam petang semalam.

Menurut beliau, mesyuarat yang dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan syarikat pengurusan air lain membincangkan beberapa langkah susulan bagi menamatkan catuan air.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Tautan Kasih Bersama Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri di sini, malam tadi berkata, bekalan tersebut dijangka pulih sepenuhnya sebelum bulan Ramadan ini dan masyarakat terutama umat Islam tidak perlu bimbang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140422/dn_31/Catuan-air-di-Lembah-Klang-dihentikan-minggu-depan#ixzz2zaXkcTXZ
© Utusan Melayu (M) Bhd


Status Catuan Air Di Selangor Akan Diumum Minggu Depan - Khalid

KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor dijangka mengumumkan status catuan bekalan air di negeri itu dan kawasan sekitar pada minggu depan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beberapa persetujuan telah dicapai hasil perbincangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada petang semalam.

"Minggu hadapan kita akan isytiharkan bagaimana keadaan catuan, tindakan yang akan diambil dan kita juga merasakan kita boleh membuat keputusan tentang keadaan air untuk rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Pada pandangan kita rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak perlu takut mereka tidak ada air sehingga enam bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih Bersama Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang di sini, Isnin malam.

Beliau turut memberi jaminan tiada catuan air akan dilakukan pada bulan puasa dan Aidilfitri nanti kerana kerajaan negeri mempunyai simpanan dan punca air yang mencukupi.

Menyentuh tentang pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, beliau berkata perbincangan dengan kerajaan pusat akan diteruskan.

"Dalam masa yang tercepat boleh jadi dalam minggu depan semuanya akan kita selesaikan supaya rakyat tidak tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya tentang keadaan situasi air dan juga penyusunan semula industri air di Selangor," katanya.

-- BERNAMA