Pages

Monday, February 24, 2014

Kejutan Hari Jadi Zain Saidin, Rozita Rasa Seperti Remaja

Zain tidak sangka Rozita telah memberi kejutan hadir ke lokasi penggambaran di Shah Alam menyambut Hari lahirnya yang ke 30 pada petang Ahad.

PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin melalui pengalamannya menyambut hari lahir yang ke 30 pada Ahad sebagai seorang suami apabila menerima satu kejutan daripada isterinya, Rozita Che Wan dan anak tiri, Ammar Effendy, 18.

Zain berkata, Rozita, 41, dan Ammar tiba ke set penggambaran drama Walaupun Sedetik Cuma terbitan Zeel Production di Shah Alam dekat sini sambil membawa kek lalu menyanyikan lagu selamat hari jadi ketika dia sedang berkasi di depan kamera.

"Walaupun pada menyambit hari lahir sendiri, saya tetap sibuk di set penggambaran. Manalah saya nak terfikir isteri dan anak akan datang ke set.

"Terkejut saya, ketika sedang berlakon bersama dengan Zul Ariffin, tiba-tiba Rozita datang kepada saya bersama kek dan semua mereka menyanyi lagu hari lahir.

"Seronok juga merasai pengalaman tu kerana saya tak pernah lagi merasai pengalaman seperti ini, tambahamn pula inilah pertama kali saya sambut hari lahir sebagai seorang suami," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.



Rozita telah meluahkan perasaan cintanya teradap Zain menerusi laman Instagram miliknya.

Tambah Zain selepas tamat penggambaran, Rozita bersama-sama dengan keluarga serta kru produksi Zeel Productions telah membawanya makan malam istimewa ke sebuah restoran pada sebelah malam di Jalan Tun Razak dekat sini.

Malah, kata adik kepada Sasha Saidin itu, Rozita turut memberitahu ingin membeli sebuah hadiah yang istimewa buatnya, namun sehingga kini dia tidak tahu apa yang ingin dibeli oleh isterinya itu.

"Sepatutnya dia (Rozita) nak beli semalam (Ahad) tapi tak sempat. Saya pun tak tahu dia nak beli apa. Katanya istimewa. Mungkin dia ingin membeli gajet, memandangkan saya seorang yang sukakan teknologi gajet yang terbaru.

"Apa-apa pun, saya tak kisah pun, apa yang saya ada pun sudah cukup. Cuma saya harap agar perhubungan saya, isteri dan anak-anak dapat kekal akhir hayat. Mana tahu, tahun ini rezeki kami mendapat anak pula," selorohnya.

Sementara itu, Rozita pula telah memuat naik fotonya bersama Zain pada Ahad dengan kapsyen romantis meluahkan perasaan cintanya terhadap suami menerusi laman Instagram miliknya.

"Apabila saya terfikir betapa bertuahnya saya mempunyai seorang suami yang kacak, menawan, comel, romantik dan 'hot guy', saya terasa seperti remaja semula.

"Saya akan pastikan yang kamu (Zain) akan mendapat hadiah yang paling istimewa bersempena dengan hari lahir kamu. Selamat Hari Lahir cinta ku," ucap Rozita dalam laman sosialnya itu.

Zain dan Rozita telah berkahwin pada 12 Disember tahun lalu di Setia City Convention Centre, Shah Alam.

Selain Ammar Effendy, Rozita juga mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Aniq Ezzra, 16.


Sumber: mstar.com.my

KLIA2 dan LCCT


PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi meminta semua pihak tidak membuat perbandingan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijadualkan dibuka pada 2 Mei ini dengan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Beliau berkata, LCCT pada masa ini sudah tidak memberi keselesaan kepada rakyat mahupun penumpang maka pembinaan KLIA2 adalah tepat pada masanya.

"KLIA2 dengan kos RM4 billion ini masih dianggap termurah di dunia jika dibandingkan dengan lapangan terbang lain di dunia.

"Dan LCCT yang kita bina sebelum ini merupakan satu terminal sementara untuk satu lapangan terbang yang kekal (KLIA2).

"KLIA2 akan menyediakan kemudahan canggih dan berkualiti. Saya yakin rakyat mahukan lapangan terbang yang berkualiti. Jadi, jangan bandingkan KLIA2 dengan LCCT," katanya ketika ditemui mStar Online selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kepulauan Solomon di Malaysia, Victor Samuel Ngele di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di akaun Twitternya berkaitan dengan KLIA2.

Antara kenyataan Tony adalah mengenai kos projek KLIA2 yang ditunda selama tiga tahun sebanyak RM4 billion berbanding kos LCCT hanya RM250 juta, dan KLIA2 sepatutnya menggunakan kos yang rendah.

Mengenai kenyataan Tony bahawa kadar cukai lapangan terbang adalah apa yang dibayar penumpang untuk kemudahan lapangan terbang, Abdul Aziz berkata, kadar cukai itu masih sama meskipun operasi akan berpindah ke KLIA2.

"Cukai lapangan terbang di LCCT adalah RM32. Dan apa yang dikenakan di KLIA2 nanti juga masih sama, tak berubah," katanya.

Abdul Aziz berkata, pembinaan dan operasi lapangan terbang melibatkan kepentingan bersama dan bukan hanya satu syarikat penerbangan semata-mata.

Jelasnya, pengurusan lapangan terbang turut melibatkan keselamatan dan peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Dalam pengurusan lapangan terbang, ia tidak boleh hanya melibatkan satu 'stake holder '. Kita tidak hanya mendengar pandangan daripada satu syarikat penerbangan tetapi juga pandangan daripada keselamatan.

"KLIA2 bukan hanya untuk AirAsia sahaja tetapi juga syarikat-syarikat penerbangan lain, malah syarikat penerbangan antarabangsa pun akan menggunakan lapangan terbang ini.

"Maknanya, pengurusan lapangan terbang ini menggunakan satu sistem yang digunapakai oleh semua syarikat penerbangan. Malah sistem yang digunapakai di KLIA2 adalah sama dengan sistem di KLIA, yang terbukti kelancarannya.

Abdul Aziz sebelum ini berkata, kerja-kerja pembinaan KLIA2 di Sepang kini hampir 100 peratus siap dan kerajaan yakin terminal penerbangan tambang rendah terbesar di Asia itu akan dapat dibuka mengikut jadual pada 2 Mei depan.


Sumber: mstar.com.my

Catuan Air Di Seluruh Selangor Mulai Selasa


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan program catuan air secara bergilir di seluruh negeri mulai Selasa bagi menyeimbangkan penyaluran air di kawasan yang mengalami gangguan bekalan sejak 7 Feb lepas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata melalui program itu kawasan yang terbabit akan mendapat bekalan air selama dua hari diikuti catuan bagi dua hari berikutnya.

"Menerusi program catuan ini, kita janji setiap pengguna akan dapat bekalan air cuma ia akan dicatu iaitu penyaluran bekalan air dilakukan selama dua hari dan dua hari (berikutnya) tiada air dan seterusnya.

"Sekurang-kurangnya dalam seminggu, empat hari pengguna akan dapat air sepenuhnya dan catuan akan berlarutan sehingga ke suatu masa yang kita rasa sesuai untuk hentikannya iaitu apabila musim hujan bermula, dijangka akhir Mac," katanya selepas menghadiri perjumpaan bulanan penjawat awam di sini Isnin.

Beliau berkata program catuan air dilakukan bagi mengekalkan jumlah air sedia ada di empangan di negeri ini supaya ia dapat bertahan untuk dua bulan akan datang seandainya musim panas terus berlarutan.

Abdul Khalid berkata jika musim hujan tiba lebih awal, catuan itu akan dihentikan dan pihaknya akan memaklumkan keadaan sebenar krisis air pada pertengahan Mac depan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata menerusi program catuan itu, kawasan di Selangor akan dibahagikan kepada dua zon dan notis terperinci berkenaan pencatuan bekalan air mengikut kawasan itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini untuk hebahan lanjut.

Tambahnya, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan di kawasan yang teruk terjejas bekalan iaitu di sekitar loji Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi untuk mencari jalan terbaik membantu meringankan beban masyarakat yang mengalami kekurangan bekalan air.

Justeru, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya menggunakan air sewajarnya dan menyimpan air mengikut keperluan bagi mengelak kekurangan bekalan selain mengurangkan aktiviti yang boleh membazirkan bekalan itu dalam keadaan cuaca yang panas dan kering sekarang. - BERNAMA