Pages

Saturday, January 11, 2014

Tiga mangsa Cessna terhempas ditemui selamat

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Tiga mangsa sebuah pesawat ringan jenis Cessna yang dilaporkan hilang semalam dijumpai selamat kira-kira 3.45 pagi tadi.

Contoh Pesawat Cessna yang terlibat

Mencari and menyelamat


Ketiga-tiga mangsa, Saiful Farid Amin, 40,; Syed Haidar, 25 dan Mohd. Saiful Zafiq, 25 di bawa keluar daripada kawasan kemalangan di Empangan Batu di Selayang di sini pada pukul 5 pagi tadi.

Kesemua mangsa kini berada di Hospital Selayang untuk mendapat rawatan kecemasan.

Seramai 35 anggota pasukan penyelamat terdiri termasuk bomba terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa nahas.

Ketua Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila pesawat berkenaan yang dipandu oleh Saiful Farid hilang kawalan apabila cuba mengelakkan seekor burung helang yang melintasi pesawat.

"Pesawat yang hilang kawalan tersebut kemudiannya merempuh pohon buluh dan terhempas," kata kata Othman.

Pesawat Cessna milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor itu dilaporkan berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan dilaporkan hilang pada pukul 5 petang di sekitar Batu Caves, semalam.-UTUSAN ONLINE

Pesawat Cessna dilapor hilang di Batu Caves

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Sebuah pesawat ringan jenis Cessna yang berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dilaporkan hilang pada pukul 5 petang di sekitar Batu Caves, semalam.

Difahamkan, pesawat Cessna itu milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor dan dinaiki oleh seorang penumpang bersama juruterbang dan pembantu juruterbang.

Setakat malam ini, pesawat berkenaan belum ditemui selepas dilaporkan hilang perhubungan dari menara kawalan Subang.

Nasib juruterbang dan penumpang pesawat juga masih belum diketahui. - UTUSAN ONLINE


Hong Leong nafi tidak benar pekerja Islam bersolat

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Berhad semalam menafikan dakwaan ia tidak membenarkan sesetengah anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) beragama Islam menunaikan solat di surau cawangannya di Kelantan dan Kuantan.
  
Dalam kenyataan akhbarnya, bank itu secara tegas berkata ia sentiasa menghormati semua amalan agama dan menyokong kebebasan beragama.
  
"Anggota NUBE berkenaan bukan staf cawangan tertentu itu dan oleh demikian mereka tidak boleh memasuki kawasan keselamatan di mana terletaknya surau dan bilik kebal utama.
  
"Ini adalah dasar keselamatan standard mana-mana institusi kewangan di mana tiada siapa, kecuali staf cawangan berkenaan, dibenarkan memasuki kawasan keselamatan," kata kenyataan itu.
  
Bank itu menegaskan bahawa semua pekerja beragama Islam dibenarkan menunaikan solat, tanpa sebarang prejudis atau gangguan. - Bernama

sumber: harakahdaily.net

Penembak hendap VAT69 diarah tidak lepas tembakan

KOTA KINABALU: Pasukan penembak hendap VAT69 (gambar hiasan) yang menjalankan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas diberi arahan supaya tidak melepaskan tembakan ke arah pengganas Sulu jika mereka dikesan.
  
Supt Mancha Anak Laga dari unit Komando VAT69 Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata arahan itu diberi oleh Komander Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun dalam satu taklimat di sebelah pagi sebelum Mancha dan pasukannya selain empat pasukan lagi memasuki kampung itu untuk menjalankan operasi berkenaan.
  
"Kami tidak dibenarkan menyerang atau melepaskan tembakan ke arah penceroboh bersenjata (jika dikesan) melainkan kami diserang atau ditembak terlebih dahulu oleh penceroboh itu," beliau memberitahu Mahkamah Tinggi, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah, di sini hari ini.
  
Mancha memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah tahun lepas.
  
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed berhubung kedudukan sekumpulan 35-40 pengganas ketika mereka meneriak kepada pasukan penembak hendap "Tiger! Berambus kau dari sini. Ini bumi kami!" sebelum pertempuran tercetus pada hari berkenaan, Mancha berkata: "berselerak, tetapi dekat antara satu sama lain)."

Dua puluh dua daripada 30 individu dibicarakan bersama, termasuk dua lelaki rakyat Malaysia, terhadap pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
  
Daripada 22 orang itu, seorang berdepan dua pertuduhan tambahan merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas.
  
Lima daripada lapan lagi tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas; seorang daripada mereka, satu-satunya wanita daripada 30 orang itu yang juga warga Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya menjadi anggota kumpulan pengganas, manakala dua lagi didakwa cuba melindungi orang yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas.

Bakinya adalah warga Filipina.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.
  
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, bersambung esok. - Bernama

sumber: harakahdaily.net