Pages

Wednesday, April 2, 2014

'Letak jawatan kalau tidak berani buat keputusan'


MENTERI Besar Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong', 1 Februari lepas.
   
Beliau berkata keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Justeru, beliau membidas Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka.
   
"Itulah kadang-kadang kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, maka lebih baik letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.
   
Ahmad berkata, penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya Stefano Impagliazo telah dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak.

"Ini yang kadang-kadang pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman, maka siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang telah dikenal pasti," katanya.
   
Ahmad turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 'insiden terowong' telah bertukar menjadi kes kedua.
   
Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak pada mesyuarat semalam bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM.
   
Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.
   
"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad.
   
'Insiden terowong' berlaku pada 1 Feb lepas ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.
   
Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.  - Bernama

AirAsia Minta Najib Campur Tangan Selesai Isu KLIA2


PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia pada Rabu meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam menyelesaikan isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijadualkan akan mula beroperasi pada 2 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, pihaknya lebih daripada bersedia untuk berpindah ke KLIA2 tetapi perpindahan itu hanya akan dilakukan selepas semua perkara dapat diatasi.

Ini kerana katanya, AirAsia akan menjadi penyewa utama di lapangan terbang yang baharu, menyumbang lebih 80% daripada trafik KLIA2.

"Oleh itu, adalah penting untuk KLIA2 berfungsi sepenuhnya dan operasinya seharusnya berdaya maju dalam jangka panjang.

"Sehubungan itu, saya meminta supaya (perkara ini) adanya penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana campur tangan beliau adalah penting dalam menyelesaikan isu nasional ini. 

"KLIA2 mempunyai potensi untuk menjadi pusat penerbangan global, seperti Dubai. AirAsia, sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di rantau ini boleh dan akan menyumbang dalam menjadikannya kenyataan, dan terus mempertingkatkan industri penerbangan negara secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada Rabu bahawa AirAsia akan terus kekal di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) walaupun selepas 9 Mei, di mana terminal itu akan ditutup bagi memudahkan pembukaan KLIA2.

Aireen berkata, pihaknya mencuba pada tahap yang terbaik untuk menyelesaikan semua isu yang belum selesai dan menekankan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) sebagaimana yang dilakukan sejak tiga tahun lalu supaya syarikat penerbangan itu boleh terus berpindah ke lapangan terbang baharu dengan sewajarnya. 

"Ia (laporan media) mungkin menganggap bahawa AirAsia sengaja tidak berpindah ke KLIA2 atau dengan niat untuk menyukarkan keadaan.

"(Namun) ia bukanlah niat kami (sebaliknya) terdapat banyak kebimbangan, terutama pada fungsi dan keselamatan KLIA2 yang mana keutamaan adalah kakitangan syarikat untuk bekerja dengan cekap, dan memastikan penumpang menikmati pengalaman perjalanan yang lancar," katanya.

Menurut Aireen, sebagai pemain hab serantau, AirAsia banyak menyumbang kepada ekonomi negara dengan lalu lintas yang dibawa masuk ke Kuala Lumpur menerusi rangkaian meluas syarikat penerbangan itu.

"Tahun ini, kami menyasarkan untuk membawa sekurang-kurangnya 24 juta penumpang melalui Kuala Lumpur, dan dengan saiz ini yang akan beroperasi, kita perlu memastikan lapangan terbang dapat berfungsi sepenuhnya tanpa sebarang kemungkinan gangguan yang berlaku.

"Sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, AirAsia perlu diberikan suara kerana kami merupakan pengguna utama KLIA2. AirAsia berharap agar isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Sumber: mstar.com.my