Pages

Tuesday, February 4, 2014

Kebakaran tidak jejas tarikan ke i-City


SHAH ALAM - Pihak pengurusan i-City yakin ketibaan pelancong ke taman tema digital itu tidak akan terjejas sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 berikutan kebakaran yang berlaku di muzium lilin The Red Carpet pada Rabu lepas yang disebabkan perbuatan khianat.

Timbalan Pengerusi I-Berhad, pemaju i-City, Datuk Eu Hong Chew berkata kerja-kerja mengganti dan membina semula 10 buah patung lilin yang musnah akibat kebakaran itu sedang giat dijalankan dan dijangka dapat dibuka semula untuk orang ramai dalam masa dua bulan lagi.

"Walaupun kejadian kebakaran itu mengakibatkan kami kerugian jutaan ringgit, namun kita akan tetap bekerjasama dengan pihak Tourism Malaysia untuk membuka semula muzium lilin yang merupakan satu produk ikon yang dipromosi kepada pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Kami percaya ketibaan pelancong ke i-City tidak akan terjejas berikutan insiden ini sebab i-City mempunyai tarikan lain seperti rumah salji dan taman tema yang  berpotensi besar untuk menarik pelancong," katanya kepada pemberita di i-City di sini hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di muzium itu menunjukkan tiga individu memasuki muzium itu melalui pintu masuk yang digunakan  pengawal keselamatan i-City dan bertindak membakar ruang pameran dan beberapa patung lilin di muzium itu.

Eu berkata patung lilin yang musnah antaranya ialah ikon antarabangsa seperti Mao Zedong, presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Tunku Abdul Rahman selain bintang selebriti termasuk Jackie Chan.

Beliau turut menepis dakwaan bahawa kejadian itu berpunca daripada persaingan perniagaan dan menambah pihak i-City akan memperketat kawalan keselamatan di kesemua tarikannya dalam masa akan datang.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Selangor, Arshad Mustapa yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata pihaknya akan tetap membantu i-City mempromosi muzium The Red Carpet yang menempatkan 100 patung lilin yang merupakan sebahagian daripada ikon yang dipromosi di Selangor sempena TMM 2014.

Beliau berkata pihaknya akan turut memantau kerja-kerja pembaikan di muzium itu dan juga ketibaan pelancong ke situ setiap minggu. - Bernama


Sumber: sinarharian.com.my


No comments:

Post a Comment