Pages

Thursday, July 10, 2014

Diberi Surat Tunjuk Sebab Gara-Gara Pakai Kopiah

Kita pernah mendengar diskriminasi terhadap wanita bertudung yang dinafikan hak mereka untuk bekerja di sesetengah tempat.

Namun kes ini lain pula, seorang pemandu bas diarahkan memberi surat tunjuk sebab kerana memakai kopiah ketika bekerja.

Katanya, bercanggah dengan terma kerja pemandu bas tersebut.

Antara isi surat tersebut yang kini tersebar di media sosial adalah:

Merujuk kepada laporan yang diterima, saudara telah melakukan perbuatan yang bercanggah dengan terma-terma kerja saudara:

Saudara didapati mengingkari arahan masih memakai kopiah walaupun sudah ditegur.

Kalau itu alasannya agak janggal pula rasanya memandangkan kerja pemandu bas hanya memegang stereng dan bukan seperti pramugari yang perlu melayan penumpang kot.

Kalau pemandu bas itu seorang pemandu Singh misalnya, tentu tak ada masalah untuk dia memakai serbannya tapi bagaimana pula di negara Islam ini seorang lelaki muslim dinafikan hak untuk berkopiah sewaktu membawa bas?

Apa pun jika benar surat tunjuk sebab berkopiah ini benar-benar ada, maka diharapkan ia sudah diselesaikan secara baik. #mynewshub

Model Warga Estonia Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh


JOHOR BAHRU - 10 Jul: Seorang model warga Estonia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang kerabat diraja ditemui dibunuh di Pulau Rawa membangkitkan banyak persoalan.

Model sambilan, Regina Soosalu pada awalnya dikatakan mati lemas apabila mayatnya ditemui di pantai pulau itu pada 1 Julai lalu, pada hari dia tiba di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, polis kini sedang menyiasat kematiannya sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas menemui kecederaan "mencurigakan" pada badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan berkata, setakat ini seramai enam suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka berada di pulau itu pada hari kejadian tetapi saya tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat kerana kita masih dalam siasatan," katanya.

Menurut sumber yang rapat dengan Soosalu dan teman lelakinya berkata, model itu dilihat kali terakhir oleh kakitangan hotel ketika model itu keluar dari biliknya untuk berjalan dekat jeti. Dia memberitahu bahawa wanita berkenaan tidak pulang selepas itu.

Teman lelaki kepada model itu, Tengku Alang Reza Ibrahim, mendiamkan diri berhubung kematian itu di akaun Facebooknya sehingga Selasa. Sumber memberitahu bahawa dia amat terganggu untuk menceritakan mengenai perkara tersebut.

Tengku Alang Reza menyifatkan insiden itu sebagai "tragedi paling buruk di dalam hidupnya".

“Cinta saya, Regina meninggal dunia pada 1 Julai lalu, di bulan suci Ramadan. Dia adalah cinta hati saya, rakan baik saya, dan saya akan terus menjadi inspirasi buat saya," kata Tengku Alang Reza di Facebooknya.

"Hatinya dipenuhi dengan kehebatan, cinta dan belas kasihan untuk semua mahkluk dan kehidupannya sendiri."

Bagi mengungkapkan kata-kata selamat tinggal, Tengku Alang Reza berkata: "kata-kata tidak dapat meluahkan kekosongan dan kesengsaraan yang saya rasai. Hanya ucapan perpisahan buat masa ini, tidak akan selamat tinggal. Hingga kita berjumpa lagi, saya mencintaimu My Baby, akan sentiasa di hati saya."

Ditanya adakah teman lelaki Soosalu turut dipanggil untuk disiasat, Hasnan berkata, polis belum lagi memanggil lelaki itu bagi siasatan.

"Kita telah memaklumkan Interpol (polis antarabangsa) berhubung insiden ini dan kita menyerahkan kepada mereka untuk menghubungi keluarga wanita itu.

"Saya percaya butiran-butiran mengenainya akan dimaklumkan kepada kedutaan Estonia di Beijing dan mereka sedang berhubung dengan keluarga mangsa mengenai siasatan kita," katanya.

Ditanya mengenai waktu dan lokasi insiden, Hasnan enggan mengulas lanjut dan berkata, polis sedang berusaha untuk mengesan waktu kematian.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kita sedang menunggu laporan akhir," katanya.

Soosalu di Facebooknya berkata, dia sedang menjalinkan hubungan bersama seorang lelaki bernama Alang Reza sejak 3 Julai 2012 - mstar.com.my

Tol elektronik penuh Tol Batu Tiga, Sungai Rasau


KUALA LUMPUR 10 Julai - Sistem kutipan tol elektronik akan dilaksanakan sepenuhnya di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Klang bermula 1 September depan.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (Plus), Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, semua transaksi tol di kedua-dua plaza tol itu akan dikendalikan menerusi kad PLUSMiles, Touch 'n Go atau SmartTAG.

"Langkah ini merupakan salah satu inisiatif Plus menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang mudah dan selesa serta membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lancar di plaza tol berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang menggunakan kedua-dua plaza tol berkenaan digesa supaya beralih kepada sistem pembayaran tol secara elektronik secepat mungkin.

Noorizah berkata, Plus juga akan menyediakan lorong khas bagi mendapatkan dan menambah nilai kad Touch 'n Go dan PLUSMiles di lorong paling kiri di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula 19 Julai ini.

"Plus juga akan menyediakan rebat tol sebanyak 30 peratus selama empat bulan bermula 1 September depan kepada pengguna kenderaan kelas satu yang membayar secara elektronik pada waktu bukan puncak (di antara 10.00 pagi - 4.00 petang dan 10.00 malam - 6.00 pagi)," katanya.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan kad PLUSMiles Touch 'n Go dengan harga promosi RM5 di kedua-dua plaza tol berkenaan bermula 18 Ogos hingga 30 November depan. - Bernama