Pages

Monday, January 13, 2014

Kangkung Lagi


sumber: FB yak bok te

Trending FB: Apa cerita kangkung?


SUSULAN tersebarnya video penuh ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di media sosial yang turut menyebut mengenai harga sayur kangkung, hari ini trending Facebook adalah berkaitan sayur tersebut.

Sinar Harian Online mendapati pengguna laman Facebook telah mengemaskini status dengan nama sayur kangkung beserta gambar sayur itu yang dijadikan pelbagai jenis hidangan.

Isu sayur kangkung itu juga turut mendapat perhatian Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar  yang turut berkongsi menu makan tengahari "pilihan", pada hari ini.

"Apa menu makan tengahari anda hari ini?...saya makan kangkung masak kurma!," tulisnya.

Semalam Najib dipetik sebagai berkata:

"...ada yang dah turun, kangkung yang dulunya naik sekarang sudah turun.

"Bila turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan," katanya.



Isu kangkung: KJ bela Najib

SHAH ALAM – Sayur kangkung tiba-tiba menjadi popular gara-gara ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman, semalam.

Beliau mengambil contoh sayur kangkung antara harga barangan yang turun dalam kemelut ekonomi negara.

Katanya, sebelum ini harga sayur kangkung mahal tetapi kini sudah turun harga namun kerajaan tidak dipuji.

Ekoran kenyataan itu, kecoh di laman sosial Facebook dan Twitter seolah-olah ‘menyindir’ kenyataan tersebut.

Ada yang mengemas kini status memberitahu sayur kangkung menjadi menu hari ini serta memuat naik gambar masakan sayur tersebut.

Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan isu itu tidak perlu dibesarkan.

“Tak perlu kecoh tentang kangkung. Najib bagi contoh bukan semua benda naik harga. Ada yang naik sebab faktor cuaca dan lain-lain Rasional sedikitlah,” katanya yang dipetik melalui laman mikro, Twitter, hari ini.

sumber: sinarharian.com.my 


Video Peragut Di Berkas Dan Dipukul Orang Awam Di Maybank, Damansara Uptown



Video Peragut di berkas dan dipukul orang awam. Kejadian berlaku di Maybank Damansara Utama pada 11 Januari 2014 jam 11:15am 
 

Video yang berdurasi 2minit 56 saat ini menunjukkan orang ramai berjaya memberkas dan membelasah peragut itu. Tidak lama kemudian, Polis tiba dan menahan suspek.

Link ke video 

Sumber: nescafeais.com 

Anggota polis mabuk diambil tindakan

SHAH ALAM - Ekoran penyebaran gambar dua anggota polis yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa menjalankan tugas rondaan, kedua-dua identiti anggota tersebut telah dikenal pasti.

Menurut kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, melalui akaun Facebook Polis Diraja Malaysia  malam ini, kedua-dua anggota terbabit telah ditukarkan serta-merta tempat penugasan dan siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan.

Beliau berkata, PDRM memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana anggota yang didapati mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat.

"PDRM juga tidak akan melindungi dan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang telah melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan.

"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya mendapati mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan tidak berintegriti," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my 

Gempar gambar anggota polis mabuk tepi jalan

  • Gempar gambar anggota polis mabuk tepi jalanGambar yang tersebar di Facebook dan blog.
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Gempar apabila di laman-laman media sosial tersebar gambar dua anggota polis peronda yang dipercayai mabuk dirakam tertidur dalam kereta peronda yang diberhentikan di bahu jalan.

Empat keping gambar yang disebarkan itu menunjukkan dua orang dalam pakaian seragam polis sedang nyenyak, dengan seorang daripadanya memegang tin minuman keras.

Dalam kereta polis itu juga kelihatan senjata api yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan tersebut.

Selain itu, Sinar Harian Online juga mendapati sumber turut memuatkan gambar nombor pendaftaran kenderaan polis tersebut.

Namun seorang pengguna Facebook, Nordin Mansor yang memberi komen di laman Facebook Suara Rakyat mengatakan gambar itu bukanlah situasi sebenar dan turut menafikan anggota polis dalam gambar tersebut benar-benar mabuk.
Nordin yang juga dipercayai seorang anggota polis menjelaskan bahawa situasi berkenaan adalah latihan bagi menggambarkan kesalahan dalam waktu kerja.

Sinar Harian Online akan mendapatkan komen Ketua Polis Negara mengenai penyebaran gambar berkenaan.

Sumber: sinarharian.com.my

TRW laung amaran



Kota Bharu: Jurulatih Kelantan, Steve Darby mengakui sudah menemui kombinasi pemain terbaik selepas berjaya menewaskan pasukan kelab dari Thailand, Phattalung FC 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Darby tidak menafikan kehebatan penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang berjaya meledak hatrik malah mempamerkan gandingan mantap dengan penyerang tempatan, Ahmad Fakri Saarani yang turut menyumbang satu jaringan.

Beliau berkata, kombinasi pemain terbaik yang dimaksudkan tidak diukur melalui keputusan perlawanan sebaliknya melihat keserasian yang dipamerkan pemain malah menyifatkan anak didiknya sudah bersedia untuk menghadapi saingan sebenar musim ini.

Katanya, gandingan mantap yang dipamerkan Ghaddar dan Ahmad Fakri meyakinkan jurulatih berusia 58 tahun dari England itu untuk menjadikan The Red Warriors (TRW) sebagai pencabar kuat musim ini.

“Pemain begitu cemerlang malam ini (kelmarin) malah Ghaddar dan Ahmad Fakri begitu serasi berada di barisan hadapan apabila masing-masing mampu menjaringkan gol.

“Mereka juga menunjukkan kesungguhan dan mengawal posisi masing-masing dengan baik sekali gus memberi keyakinan kepada saya membina satu kombinasi pemain terbaik,” katanya.

Bagaimanapun pada perlawanan itu, seorang lagi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan dalam aksi persahabatan menentang Perlis 6 Januari lalu.

Darby berkata, selain berharap Forkey Doe cepat pulih, beliau juga memuji pemain pertahanan import, Obinna Nwaneri yang beraksi cemerlang di posisinya meskipun baru bersama pasukan selepas bercuti panjang kerana isterinya sakit.

“Forkey Doe mengalami sedikit kecederaan dan saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya. Nwaneri pula membuktikan prestasinya tidak terjejas meskipun bercuti panjang sebelum ini,” katanya.

Sumber: hmetro.com.my

Kesebelasan utama JDT dikenal pasti

Johor Bahru: Selepas mengharungi lima perlawanan persahabatan kompetitif, jurulatih Johor Darul Takzim (DT), Cesar Ferrando Jiminez mengesahkan sudah mengenal pasti kesebelasan utama yang akan membawa cabaran saingan Liga Super musim ini.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, barisan kesebelasan utama mantap akan membawa cabaran pada aksi pertama berdepan Perak di Stadium Larkin, Sabtu ini dan pastinya taruhan terletak kepada sentuhan `magis’ bintang Argentina, Pablo Aimar untuk mengemudi jentera tengah skuad Harimau Selatan. 
Pada aksi terakhir persahabatan menentang juara Piala Singapura, Home United, kelmarin, yang berkesudahan seri 2-2, anak didik Jiminez memperagakan corak permainan bertenaga biarpun kesebelasan pemain yang diturunkan di anggap barisan kedua pasukan itu. 

“Saya tidak menurunkan pemain utama pada babak pertama kerana mahu menilai tahap sebenar pemain yang jarang diturunkan pada perlawanan persahabatan sebelum ini dan mereka begitu konsisten walaupun adakalanya masih belum mantap sepenuhnya.
“Saya sudah ada senarai pemain utama yang akan memulakan saingan Liga Super dan misi utama Johor DT mahukan kemenangan pertama apabila beraksi di tempat sendiri. Saya tahu semua pemain sudah beri komitmen tinggi dan ia cukup membanggakan.
“Walaupun ada kelemahan namun bagi saya ia tidak ketara kerana semuanya mampu diatasi pada sesi latihan yang menerapkan corak permainan berpasukan malah pemain sendiri tahu tugas yang harus mereka laksanakan,” katanya. 

Beliau menambah 29 pemain yang tersenarai mengharungi kempen Liga M adalah yang terbaik dan setiap pemain harus berada pada tahap memuaskan untuk bersedia diturunkan pada bila-bila masa. 

“Setiap pemain ada tanggungjawab yang dipikul, mereka perlu sentiasa bersedia kerana saya akan menurunkan siapa saja dalam pasukan itu mengikut kesesuaian corak permainan. Apa pun ada beberapa pemain masih lagi mengalami kecederaan dan saya sedang pantau tahap kecergasan mereka,” kata Jiminez.
sumber: hmetro.com.my

Apek bakal bergelar bapa akhir bulan ini

Pasir Puteh: Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek teruja untuk bergelar bapa untuk kali pertama apabila dijangka menimang cahaya mata bersama pasangannya Leuniey Natasha Nazri, 22, pada akhir Januari ini.
Apek berkata, dia sudah melakukan pelbagai persiapan bersama Leuniey untuk menyambut kehadiran orang baru itu tidak lama lagi. 
“Insya-Allah, kalau tidak ada apa-apa dan aral melintang, Leuniey akan bersalin pada akhir bulan ini di Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu. 

“Kami gembira dan teruja menanti kehadiran anak sulung dengan segala persiapan termasuk persalinan dan pakaian bayi yang bakal digunakan pun sudah dibeli,” katanya.
Dia ditemui ketika sesi rehat minda bersama rakan sepasukan The Red Warriors (TRW) di Tok Aman Bali Resort, di sini, semalam.
sumber: hmetro.com.my

Lelaki ‘tetak’ 7 mesin ATM

Ipoh: Gara-gara berang apabila kad juruwang automatik (ATM) miliknya ditelan mesin ATM, seorang lelaki yang dipercayai mabuk bertindak memecahkan tujuh mesin ATM menggunakan sebilah pisau di sebuah bank di pekan baru Menglembu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, lelaki berusia 34 tahun berasal dari Taman Pinji Mewah Lahat dekat sini, akhirnya diberkas polis di bank berkenaan.
Sumber polis berkata, lelaki berkenaan yang dalam keadaan mabuk pergi ke bank itu untuk mengeluarkan wang sebelum usahanya tidak berhasil menyebabkan dia marah lalu ‘mengamuk’ dengan memecahkan hampir semua skrin mesin ATM di premis itu. 

“Lelaki berkenaan dipercayai memasukkan nombor PIN sebanyak tiga kali untuk mengeluarkan wang di mesin berkenaan, tetapi usahanya itu gagal menyebabkan kadnya ditelan.
“Seorang pelanggan wanita yang turut melakukan urusan di sebuah mesin berkenaan melarikan diri ketika lelaki itu terus memecahkan mesin berkenaan sambil mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya
sumber: hmetro.com.my

Kamalanathan cedera ditumbuk

HULU SELANGOR: Kerana tidak puas hati dengan layanan diberikan terhadap bapanya, seorang lelaki bertindak menumbuk Timbalan Menteri Pelajaran P Kamalanathan hingga mengalami kecederaan di bahagian leher, di pejabatnya di sini, petang tadi.
Sebelum kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Kamalanathan dikatakan bertemu dengan bapa suspek yang meminta bantuannya untuk urusan memindahkan menantunya yang bertugas sebagai guru di selatan tanah air.
Bagaimanapun, setelah diterangkan yang beliau hanya mampu memberikan sokongan, bapa suspek bertindak merayu hingga menyatakan sanggup mencium kaki Timbalan Menteri terbabit. 

Terkejut dengan tindakan lelaki itu, Kamalanathan memintanya untuk beredar dari situ.
Beliau terus menghadiri perjumpaan lain di pejabatnya.
Sebaik tiba, beliau berjabat tangan dengan setiap ahli yang menghadiri perjumpaan berkenaan sebelum ditumbuk suspek yang kemudian menuduhnya menghalau bapanya siang tadi. 

Sehubungan itu, Kamalanathan terus membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Beruntung dekat Bukit Sentosa sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu. 

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan kejadian dan memberitahu kes disiasat mengikut seksyen 324 kerana mendatangkan cedera.
Sumber: hmetro.com.my