Pages

Saturday, February 8, 2014

Sepahtu juara Maharaja Lawak Mega 2013


SHAH ALAM: Kumpulan pelawak, Sepahtu yang dianggotai Mohd Nadzri Zainal Abidin, Shahmira Muhamad dan Rahim Mat Ali dinobatkan sebagai juara program realiti Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013 menewaskan empat peserta lain, pada pentas akhir program yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.

Persembahan lawak yang bertemakan muzikal dan bebas itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500,000 dan trofi.


Manakala, tempat kedua dimenangi kumpulan Shiro yang dianggotai Shahrol Azizie Azmi dan Mohamad Hanffi Razak yang memenangi hadiah RM250,000 beserta trofi


Tempat ketiga dimenangi Bocey (Muhamad Fadzlie Mohd Nizam, Mohd Nasir Hamzah dan Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan) yang menerima hadiah RM150,000 serta trofi. Tempat keempat dan kelima dimenangi kumpulan Jambu (Zamatul Amri Zakaria dan Yussry Edoo) dan Ahmad Nabil Ahmad masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM15,000 berserta trofi.

Sementara itu, Bocey dipilih sebagai kumpulan terbaik pada final Maharaja Lawak Mega 2013.

Program yang diadili juri tetap, Datuk Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikel dan Nora Danish sebanyak 70 peratus itu turut diadili penonton melalui undian SMS sebanyak 30 peratus.

Hadiah disampaikan Ketua Saluran Premium Astro, Nizam Sani dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh.


Sumber: bharian.com.my, astro


Melaka Gateway


MELAKA 7 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah mengenal pasti empat trend mega bagi menarik minat pelancong berpendapatan tinggi dan elit dari seluruh dunia untuk datang ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, empat trend itu adalah pewujudan elit global, rentak kehidupan yang lebih rancak, naik turun perdagangan dan kemunculan semakin banyak peneraju baharu pasaran.

Menurutnya, usaha itu dilihat mampu meningkatkan sumber pendapatan negara dalam industri pelancongan dan kini menjadi trend yang semakin berkembang di Asia.

Najib berkata, pewujudan elit global merujuk kepada peningkatan jumlah pengguna berpendapatan atau bernilai tinggi di seluruh dunia.

"Kemampuan menawarkan produk mewah dan perkhidmatan bertahap tinggi kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya," kata beliau ketika berucap melancarkan pelan induk Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; dua bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta Ketua Eksekutif Kumpulan KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJD), Datuk Michelle Ong.

Melaka Gateway yang melibatkan kos anggaran pembangunan sebanyak RM40 bilion, merupakan projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau termasuk dua daripadanya buatan manusia dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Sebanyak 15 projek istimewa dirancang menerusi pelan induk tersebut antaranya Malaysia Eye, Sunset Beach, International Designer Street, Melaka Cruise Shopping Gallery, Terminal Kapal Persiaran dan Feri Antarabangsa Melaka serta Melaka Gateway Marina.

Menurut Najib, Melaka Gateway yang merupakan salah satu daripada contoh pewujudan elit global bakal dilengkapi jeti serba mewah untuk kegunaan kapal persiaran antarabangsa dan marina terbesar di Asia yang diyakini akan menarik ramai pelancong.

Kata beliau, setelah melakar pencapaian cemerlang dalam pengendalian pelabuhan kargo dan kontena, kini tibalah masanya Malaysia memberi fokus terhadap pelabuhan kapal persiaran pula.

"Kita yakin kejayaan jeti kapal persiaran antarabangsa Melaka yang merupakan sebahagian daripada projek Melaka Gateway, bukan sahaja akan menarik pengunjung kelas berada yang menggunakan kapal persiaran, tetapi juga merintis jalan ke arah pembukaan pelabuhan kapal persiaran lain di Pantai Timur Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, trend kedua iaitu rentak kehidupan yang lebih rancak pula merujuk kepada pengguna yang ingin menikmati percutian singkat dengan sebanyak mungkin sebagai cara untuk mengurangkan tekanan seperti mengunjungi tempat hiburan, spa dan pusat kesihatan.

Trend mega ketiga pula kata beliau, merujuk kepada perbelanjaan berpilih iaitu pengguna akan berbelanja besar untuk sesuatu perkara dan berjimat tentang perkara lain.

Perdana Menteri seterusnya berkata, trend keempat adalah memberi fokus untuk menembusi pendahulu baharu pasaran seperti China, India dan negara Timur Tengah.

Tambah beliau, sumbangan industri pelancongan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menunjukkan arah aliran meningkat.

Untuk tahun ini kata Najib, sektor ini dijangka menyumbang kira-kira 12.5 peratus kepada KDNK, meningkat berbanding hampir 12 peratus pada tahun lalu.

"Secara tepat hasil sebanyak 12.5 peratus daripada pelancongan adalah berjumlah lebih kurang RM125 bilion dan ini berdasarkan KDNK negara kita pada 2013 yang dijangka mencapai lebih RM1 trilion," kata beliau.



Sumber: utusan.com.my dan google image

Gambar-gambar Pahang lwn JDT



 












Tarikh Perlawanan: 8 Feb 2014
Sumber: Google Image - Utusan, Harian Metro, Bernama, SouthernTiger, Asiana, dll



Pahang cipta kejutan ke atas JDT

Penyerang Pahang Matias Ruben Conti (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika mendahului Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Darul Makmur, dekat Kuantan, malam tadi. - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Juara Piala Malaysia, Pahang melakar kejutan selepas mengalahkan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kemenangan tipis 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Mohd Hafiz Kamal menjadi wira skuad Tok Gajah selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 menerusi tandukan hasil sepakan percuma pemain tengah, Azidan Sarudin.

Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 2-2 dengan gol Pahang dijaringkan Matias Conti pada minit ke-13 dan Fauzi Roslan (47') manakala gol skuad 'Harimau Selatan' dijaringkan Pablo Aimar (45+2') dan Mohd Safee Sali (72').

Sarawak pula melonjak ke tangga teratas Liga Super hasil kemenangan selesa 2-0 ke atas Selangor PKNS FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua gol pasukan pelawat kendalian Robert Alberts dijaringkan Milorad Janjus seawal minit kesembilan dan Gabor Gyepes, tujuh minit kemudian.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Jaringan Sabre Abu pada minit ke-47 sudah memadai untuk skuad 'The Cops' kendalian Dollah Salleh mengekalkan kedudukan pendahulu dengan kutipan bersih sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Negeri Sembilan mengutip tiga mata selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Felda United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Dua gol skuad 'Hoben Jang Hoben' dijaringkan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-13 dan S. Sivanesan (27') manakala gol saguhati skuad 'The Settlers' disumbangkan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-67.

Tiga lagi pasukan; Pulau Pinang, SPA Putrajaya FC dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pula mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas lawan masing-masing.

Pulau Pinang yang merupakan juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia musim lepas, mengalahkan UiTM FC hasil jaringan tunggal pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon pada minit ke-11 pada aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

SPA Putrajaya FC mengalahkan DRB-Hicom FC menerusi gol pemain import dari Perancis, Mickael Nicoise Joseph pada minit ke-33 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, JDT II menang tipis ke atas pasukan tangga tercorot, Perlis hasil jaringan See Kok Luen pada minit ke-90.

Terdahulu, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rosli Muda dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad pada minit ke-76 selepas beliau mengasari Kok Luen.

Perlawanan antara Kedah dan wakil Pulau Pinang, PBAPP FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini, ditangguhkan memandangkan kerajaan negeri menggunakan venue berkenaan untuk program khas. - Bernama