Pages

Wednesday, March 19, 2014

7 Empangan Selangor Di Atas Paras Kritikal


KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata, tujuh empangan di negeri Selangor masih berada di atas paras kritikal.

Pengarahnya, Md Khairi Selamat berkata, tahap kritikal air di empangan ialah apabila jumlahnya mencecah 30 peratus bersamaan 69 juta meter padu.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan jumlah air di kesemua empangan negeri termasuk pembenihan awan untuk menghasilkan hujan yang dilakukan pada 15 dan 16 Mac lalu.

Bagaimanapun tinjaun Luas semalam mendapati kadar hujan yang kurang gagal menyumbang peningkatan kapasiti air di enam empangan – Empangan Langat, Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Batu, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang.

“Hanya kapasiti empangan Klang Gates yang menunjukkan sedikit peningkatan iaitu daripada 51.16 peratus kepada 51.30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain jumlah hujan yang kurang, kata Md Khairi, faktor kadar pengewapan air yang tinggi ketika cuaca panas ketika ini turut menjadi faktor kurangnya peningkatan air di empangan.

Luas juga akan meneruskan catuan air seperti yang sedang dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan mengurangkan pelepasan air di empangan untuk keperluan bagi memanjangkan hayat simpanan air di negeri itu, katanya.

Selain daripada usaha-usaha dilakukan pihaknya, Luas juga menasihatkan orang ramai supaya menjimatkan air menerusi penggunaan berhemah. – BERNAMA

Warga Asal Malaysia Beragama Islam ‘Diberi’ Makan Babi Di Nepal


SEORANG ibu muda pasti tidak terfikir apabila tindakannya melarikan diri ke Nepal mengikut suaminya akan menyebabkan hidupnya menderita sepanjang empat tahun di sana dan kini dia mahu pulang ke Malaysia.

Itulah derita yang kini dilalui oleh ibu muda warganegara Malaysia Nur Sri Rahayu Marimon, 24 tahun, yang kini tinggal di negara berkenaan bersama dua anaknya selepas ditinggalkan suaminya yang bekerja di Arab Saudi sejak tiga tahun lepas.

Dia yang dikenali sebagai Ayu kini terpaksa bekerja memecah batu di Nepal untuk menyara kedua-dua anaknya. Biarpun suaminya ada mengirimkan wang tetapi ia dibuat melalui ibu mertuanya yang memberikan wang tidak mencukupi kepadanya dan anak-anak.

Lebih menyayat hati, anaknya yang berumur setahun dipaksa memakan bubur nasi yang dimasak bersama dengan daging babi. Jika si kecil enggan memakannya, ibu mertua Ayu akan memukul kanak-kanak itu.


Kira-Kira setahun lepas, bapa Ayu seorang pemegang taraf penduduk tetap dari Indonesia sejak sembilan tahun lepas, Marimon Ahmad Kasman, 57 tahun, menerima panggilan daripada Ayu memaklumkan bahawa dia sebenarnya sudah berada di Nepal untuk tinggal bersama suaminya.

Sebelum itu ketika tinggal di Malaysia, Ayu membawa diri bersama kedua-dua anaknya ke Nepal tanpa pengetahuan ayahnya.

Ayu dan suaminya itu berkahwin sebelum itu di Thailand dan kemudiannya mendaftarkan perkahwinan itu di Malaysia dan anak pertama mereka lahir di Malaysia dan anak kedua pasangan itu dilahirkan di Nepal.

Kini, Ayu merayu untuk dibawa pulang ke Malaysia kerana sudah tidak tertahan hidup dalam keadaan sebegitu sehingga terpaksa memakan babi apabila disuruh oleh ibu mertuanya.

Marimon hadir bertemu dengan wartawan Mynewshub.my memaklumkan beliau telah menghubungi Wisma Putra untuk tujuan itu dan pihak Kementerian Luar sudah pun menghubungi kerajaan Nepal bertanyakan tentang keadaan anaknya.

“Menurut pegawai di Kementerian Luar, tiada masalah untuk membawa Ayu pulang kerana lokasi tempat tinggalnya sudah dikenal pasti tetapi Ayu dikatakan sudah tinggal di Nepal melebihi tempoh masa yang dibenarkan tanpa visa.

“Pegawai itu berkata denda kerana kesalahan Ayu itu sudah mencecah RM32,000 dan jumlah keseluruhan termasuk tiket pulang ialah kira-kira RM35,000,” katanya kepada Mynewshub.my.

Marimon dan isterinya Jaliah Tamin, 52 tahun, seorang rakyat Malaysia tidak mampu untuk meraih wang sebanyak itu untuk membawa Ayu pulang ke Malaysia.

Ayah Ayu, yang sebelum ini bekerja kerja-kerja buruh kini sudah menghidapi kencing manis dan sudah kurang bekerja untuk menyara keluarga.

“Saya kalau hendak uruskan tambang balik tiada masalah, ini apabila dijelaskan termasuk denda mencecah jumlah sebegitu saya tidak mampu,” katanya.

Kes ini sudah pun diserahkan kepada Biro Pengaduan Awam Kelab Putera 1 Malaysia yang dikelolakan oleh Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim untuk tindakan lanjut membantu keluarga itu.

Pihak biro ketika ini masih meyiasat kes berkenaan.

Orang ramai juga jika mahu membantu Marimon boleh tampil untuk membantu membawa pulang Ayu ke Malaysia.

Anda boleh menghubungi Jaliah di talian 0118554031. – MYNEWSHUB.MY

Ibrahim Mat Zin mungkin saman JAIS dan Khairy

KUALA LUMPUR: Bomoh Ibrahim Mat Zin yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi kerana mengadakan upacara ritual untuk mencari pesawat MH370 yang hilang mungkin akan memfailkan saman fitnah terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berjumlah RM100 juta sekiranya mereka tidak menarik balik kenyataan mereka terhadap beliau.

"Daripada pergi memaklumkan kepada umum, Khairy sepatutnya datang dan berbincang dengan saya. Saya akan memberitahunya cerita di pihak saya dan membersihkan nama saya lagi.

"Saya di sini untuk membantu negara dan bukannya mahu mencemarkan imej negara.

"Saya telah melakukan perkara ini selama bertahun-tahun, bagaimana mereka boleh berkata apa sahaja yang saya lakukan adalah 'haram' (haram) dan 'syirik', ia tidak betul sama sekali!" kata Ibrahim yang mendakwa bahawa beliau mempunyai 50 tahun pengalaman sebagai bomoh.

Ibrahim juga berkata disebabkan Jais, beliau tidak lagi dapat pergi ke lapangan terbang untuk meneruskan upacara ritual.

Beliau sebelum ini diberi amaran akan ditahan oleh Jais sekiranya masih melakukan upacara ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Untuk mencari pesawat, saya perlu melakukan tujuh upacara ritual tetapi saya hanya melakukan dua kali. Saya diberitahu bahawa pihak berkuasa di sana akan menagan saya.

"Oleh itu , saya telah pergi ke tempat-tempat lain di luar Kuala Lumpur," katanya.

Ibrahim terus yakin bahawa penumpang masih hidup dan sama ada di dalam dunia ghaib atau telah terhempas mendarat di salah satu daripada tiga pulau.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesan tiga pulau itu.

Ibrahim mendapat liputan meluas antarabangsa berhubung upacara ritualnya yang pelik dilakukan di KLIA pada minggu lepas bagi membantu 'mengesan' pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Upacara ritual beliau itu termasuk penggunaan buah kelapa, teropong buluh, bubu rotan (perangkap ikan) sebagai sebahagian daripada 'peralatan'nya.

Pada minggu yang sama, Ibrahim mencetuskan lagi kontroversi dengan upacara ritualnya di KLIA selepas beliau dan pembantunya duduk di atas karpet yang mana beliau menafikan ia sebagai mengembalikan semula adegan 'tikar terbang'.

"Ya, saya melihat gambar-gambar dan video (parodi mengenai upacara ritualnya). Saya ketawa melihatnya. Orang ramai berhak untuk berbuat demikian dan saya gembira apabila membuatkan mereka gembira," katanya.

Imbas kembali ritual yang beliau lakukan




Sumber: mstar.com.my, youtube.com