Pages

Wednesday, February 5, 2014

KLIA2 dibuka 2 Mei depan


KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, tiada sebarang tarikh penangguhan untuk tarikh pembukaan klia2 dan menegaskan lapangan terbang itu akan tetap dibuka pada 2 Mei.
 
Kegagalan kontraktor usaha sama UEMC-Bina Puri mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) tidak akan menangguhkan penyiapan projek ikonik klia2, katanya.  - Bernama

Sumber: sinarharian.com.my


Tol tidak naik tahun ini


PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiada kenaikan tol untuk tahun ini dan kerajaan perlu menyediakan RM400 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat.

Timbalan perdana menteri berkata pampasan itu adalah untuk syarikat konsesi di sekitar Lembah Klang yang sepatutnya menaikkan kadar tol.

Beliau memberitahu sidang media mengenai keputusan itu selepas mesyuarat jawatankuasa khas bagi menangani masalah kos sara hidup, yang dipengerusikan beliau di sini hari ini.

Muhyiddin berkata banyak lagi syarikat konsesi termasuk Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tidak menaikkan tol.

"... macam PLUS tak naik, dan banyak lagi syarikat konsesi sekarang ini, ada 29 syarikat konsesi semuanya, cuma yang terlibat ialah kawasan sekitar Lembah Klang, kalau tak silap saya ada sembilan syarikat konsesi," katanya.

Selain itu menurutnya jawatankuasa berkenaan juga bersetuju untuk meminta Kementerian Kerja Raya membuat kajian menyeluruh berhubung konsesi tol sedia ada dalam konteks jangka panjang, sekiranya ada cara-cara yang boleh dilakukan untuk berunding semula dengan pemilik konsesi berkaitan kutipan tol.

".. kalau ada terma-terma yang boleh dipersetujui bersama, termasuk untuk lanjutkan tempoh konsesi sebagai satu cara menentukan kadar tol tidak dinaikkan di masa hadapan, ini boleh dibincangkan.

"Jawatankuasa hari ini bersetuju supaya Kementerian Kerja Raya mengadakan perbincangan awal dengan semua syarikat konsesi untuk hasrat itu," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata jawatankuasa berkenaan juga bersetuju menyediakan peruntukan RM120 juta untuk agensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Beliau berkata ia bagi memastikan ketiga-tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu dapat menyediakan bekalan barangan makanan terpilih yang mencukupi, bagi memastikan harganya tidak naik terlalu tinggi di pasaran.

Muhyiddin berkata ia merupakan antara beberapa inisiatif yang dibentangkan  Kementerian berkenaan di mesyuarat petang ini, termasuk usaha membekalkan bekalan bahan makanan yang mencukupi pada harga berpatutan, seperti sayur-sayuran terpilih, bahan makanan kering dan ikan.

Katanya mesyuarat hari ini memberikan tumpuan khusus kepada enam aspek atau bidang kecil yang dilihat membawa implikasi ketara kepada kos sara hidup orang ramai, yang terdiri daripada aspek bahan bakar, yang merujuk kepada isu-isu berkaitan subsidi minyak.

".. kedua dari aspek tenaga seperti tenaga elektrik dan sebagainya, ketiga dari segi bahan makanan, (keempat) aspek pembayaran tol, kelima pengangkutan, seperti tambang bas serta teksi, dan yang keenam, aspek perumahan," katanya.

Muhyiddin juga berkata jawatankuasa itu juga bersetuju untuk memperuntukkan RM3.5 juta kepada pertubuhan-pertubuhan pengguna di seluruh negara, termasuk 20 persatuan pengguna yang besar, untuk membantu mereka melaksanakan program-program pendidikan kepada pengguna.

Merujuk kepada isu berkaitan tambang pula, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu memahami banyak pengusaha memohon supaya kadar tambang dinaikkan, namun ia menetapkan supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengemukakan apa jua ketetapan yang diambil berhubung tambang kepada pihak mereka (jawatankuasa khas), sebelum sebarang tindakan diambil mengenainya.

"Itu antara beberapa perkara yang saya boleh disebut di sini, lain-lain isu tidak boleh saya nyatakan sehingga dibawa kepada Jemaah Menteri di mesyuarat akan datang," katanya.

Sementara itu, merujuk kepada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang bulan depan, Muhyiddin berkata Barisan Nasional akan mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin parti komponennya sebelum akhir bulan ini sebelum dapat membuat apa jua ketetapan mengenainya.

Pagi tadi Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 23 Mac sebagai tarikh pilihan raya kecil itu, dan 11 Mac sebagai tarikh penamaan calon. - Bernama

Sumber: sinarharian.com.my


Maharaja Lawak Mega 2013 Minggu ke 12 - Sepahtu kena 'main'

Persaingan minggu ke-12 Maharaja Lawak Mega 2013 yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jumaat lalu, sememangnya begitu mendebarkan buat lima pesertanya iaitu Sepahtu, Shiro, Nabil, Jambu dan Bocey.

Bagaimanapun, beraksi di kampung halaman ternyata tidak menjadi kelebihan buat Sepahtu apabila diumumkan menduduki dua tangga terbawah bersama Bocey.

Mereka amat mengecewakan apabila gagal mengeluarkan idea yang boleh menggeletek penonton menerusi dua persembahan bertemakan zaman kolej dan bersama artis undangan.

Paling ketara, subjek kereta Perodua Alza masih lagi diulang dalam lawak yang ditampilkan.
 

PRESTASI Sepahtu sangat mengecewakan penyokong mereka.

Berbeza dengan Shiro yang juga berasal dari Johor apabila memberikan persembahan yang meyakinkan dan berjaya membuatkan penonton tidak kering gusi.

Tambah manis apabila Ajak diiktiraf sebagai peserta paling menyerlah atau ‘Man of The Match’ pada minggu ini.

Ternyata pengumuman oleh pengacara Datuk AC Mizal yang memberitahu Sepahtu menduduki tangga terbawah amat mengejutkan peminat dan mereka sendiri. Apatah lagi Sepahtu sering menduduki tangga teratas carta dan selesa setiap minggu.

Namun mujurlah mereka akhirnya layak juga dan pengumuman ini sekali gus menjadikan suasana di Stadium Tertutup MBJB kembali bergemuruh.

Itulah ‘drama’ menarik ciptaan Astro yang mewarnai persaingan separuh akhir yang dihiasi dengan penampilan barisan artis popular iaitu Awie bersama Shiro, Ebby Yus (Sepahtu), Hairul Azreen (Bocey), Datuk Rosyam Nor (Jambu) dan Harith Iskandar (Nabil) serta turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menonton.

Rahim yang mewakili Sepahtu mengakui persembahan mereka untuk kedua-dua tema agak perlahan. Dia akur adanya perbezaan antara sorakan dan ketawa daripada penonton.

“Ada idea yang kami hanya dapat pada jam 6.30 petang. Bila rasakan ia tak kuat, kami tukar lagi pada saat akhir. Memang diakui kami ‘down’ sangat dan tak sangka dengan persembahan Sepahtu. Yang pasti kami akan lebih berhati-hati untuk buat yang terbaik ketika final nanti,” katanya.

Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro Nizam Sani ketika ditemui menafikan menyelamatkan Sepahtu dengan memberikan peluang mereka beraksi di pentas akhir yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat ini.

“Keputusan yang diterima agak mengejutkan kerana Sepahtu menduduki tangga terbawah. Undian menyaksikan Shiro mengutip 69 peratus, Bocey (66 peratus), Jambu (65 peratus), Nabil (61 peratus) dan Sepahtu (56 peratus). Saya akui jika ada penyingkiran Sepahtu memang terkeluar.

“Bagaimanapun, kami ikut konsep tahun lalu di mana lima peserta berpeluang ke pentas akhir. Kali ini pun sama kerana kami kekalkan jumlah yang ada untuk final. Saya rasa semua mereka hebat dan peluang untuk menang adalah sama.

“Sebenarnya keputusan untuk mengekalkan kelima-limanya dibuat tanpa pengetahuan peserta. Bagaimanapun kami memang nak kenakan Sepahtu kerana ini tempat mereka. Cuma kebetulan mereka mendapat undi terbawah dan ini memang mengejutkan,” katanya.

Sementara itu, barisan juri terdiri daripada Datuk Yusof Haslam, Sheikh Haikal, Nora Danish dan Luna Maya mengakui tertipu dengan drama ciptaan Astro. Namun mereka mengalu-alukan langkah memberikan peluang kepada kelima-lima peserta untuk bersaing di pentas akhir.

Yusof berkata, juri tidak terperangkap dengan sorakan penonton dan akan memberi markah mengikut penilaian mereka sendiri.

“Markah yang diberi bukan diukur dengan sorakan. Walaupun Bocey bukan sebuah kumpulan yang popular, tapi mereka konsisten dalam berlawak membuatkan saya memberikan mereka markah yang tinggi. Saya dapat lihat tiada yang menang kerana populariti semata-mata,” katanya.

Sheikh Haikal berpendapat ke semua peserta sudah bekerja keras untuk memberikan yang terbaik dan selayaknya mereka diberi peluang beraksi di pentas akhir.

Luna Maya pula mempertahankan tindakannya memberikan hanya tiga bintang pada persembahan pertama Sepahtu kerana idea mereka kurang menyerlah.

“Secara peribadi saya tak terpengaruh dengan sorakan penonton kepada Sepahtu. Saya nak lihat skrip, kreativiti dan idea yang lebih baik. Saya lihat Jambu lebih bagus dalam aspek ini,” katanya.

Malam bermakna buat Ajak

Ajak mengakui tidak pernah termimpi untuk menang gelaran ‘Man of The Match’ kerana fungsinya lebih sebagai pengapit (feeder) kepada Shahrol. Bagaimanapun, rakannya itu sering meniupkan semangat kepadanya untuk menang terutama di tempat sendiri.

“Saya sangat berterima kasih kepada pengundi. Secara jujurnya sehingga petang kami tiada idea untuk segmen pertama. Itulah sebabnya kami lebihkan pada lakonan. Tak sangka idea ini boleh diterima ramai. Sebaik mendengar ketawa pertama daripada penonton, kami terus bersemangat.

“Alhamdulillah, kami tak mengecewakan penyokong Shiro. Untuk persembahan pada final, kami masih belum memikirkan bagaimana ideanya. Mungkin kami akan keluarkan semula setengah idea lawak terdahulu seperti lawak Mujibur (penjual karpet) dan Atan dan Babah.

“Persembahan ini ditonton oleh 1.5 juta peminat menerusi YouTube. Pentas final nanti adalah lebih kepada menghiburkan penonton kerana kami tak kejar gelaran juara. Apatah lagi Shiro belum tiga tahun berada dalam industri seni,” katanya.

Bocey pula gembira kerana berpeluang melangkah ke pentas final. Mereka berterima kasih kepada Afdlin Shauki yang banyak membimbing dan memberi idea untuk bersaing dalam MLM.

“Dia selalu ingatkan kami agar jangan fikir ini sebuah pertandingan. Yang penting ialah percaya pada isi cerita yang dibawakan. Persembahan pula kena berlangsung dengan ikhlas. Kami juga tak suka gunakan lawak berulang dan akan tampil dengan idea baru setiap minggu,” kata mereka.

Anggota Jambu pula mengakui langsung tidak berkecil hati gagal menang gelaran ‘Man of The Match’. Bagi mereka, persembahan Jambu yang berupaya menghiburkan penonton lebih penting berbanding gelaran itu.

“Dapat hiburkan penonton pun sudah buatkan kami bersyukur. Kami nak berkarya dan kalau boleh nak jenamakan lawak Malaysia sehingga ke negara luar. Kami sedar ada minggu kami menyerlah dan ada yang tidak. Ini berlaku kerana pelbagai faktor, antaranya cerita yang terpaksa ditukar saat akhir kerana ada persamaan dengan kumpulan lain,” kata mereka.


Sumber: hmetro.com.my

Pelarasan tarif insurans kenderaan diluluskan


KUALA LUMPUR 4 Feb. - Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan pelarasan kadar baharu tarif insurans kenderaan untuk tahun ini, dengan anggaran peningkatan sekitar RM2 hingga RM23.

Tarif baharu itu akan berkuat kuasa pada 15 Februari ini, ke atas setiap kenderaan baharu yang dibeli atau insurans yang diperbaharui semula.

Kelulusan itu antara lain membabitkan pelarasan tarif asas bagi perlindungan komprehensif dan perlindungan pihak ketiga untuk kenderaan persendirian dan motosikal.

Pelarasan itu merupakan kali ketiga sejak 2012, selepas BNM membenarkan peningkatan premium setiap tahun antara 2012 hingga 2015.

Difahamkan, BNM telah pun menghantar notis pelarasan itu kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) minggu lalu.

Di dalam notis tersebut, PIAM perlu memastikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada lebih 30 pemain industri insurans mengikut kadar premium terbaharu itu bagi memastikan pengguna tidak keliru dengan pelarasan tersebut.

Pada 2011, BNM telah meluluskan pelarasan kadar premium insurans itu sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu.

Menurut bank pusat itu, pelarasan tersebut merupakan kali pertama sejak 30 tahun lalu dan membabitkan jumlah yang kecil serta dilakukan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun bermula 2012.

Institut Automotif Malaysia (MAI) sebelum ini meramalkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) kenderaan baharu tahun ini bakal mencapai 670,000 unit.

Perkembangan ini dilihat memberi manfaat kepada syarikat insurans am yang kini boleh meraih kutipan premium yang lebih tinggi.


Sumber: utusan.com.my


Khairul Fahmi tengah cari nama anak


KOTA BHARU - Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui, dia mencari nama yang sesuai untuk diberikan kepada anak sulungnya yang selamat dilahirkan kelmarin.

Menurut penjaga gawang The Red Warriors itu, kehadiran cahaya mata sulung tersebut melonjakkan lagi semangatnya untuk terus cemerlang dalam karier bola sepak pada masa hadapan.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berkata, dia akan terus bekerja lebih keras selepas ini bagi memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Masih banyak yang perlu saya pelajari, bagaimanapun saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab bapa.

"Saya belum memberikan nama anak dan masih sedang mencari," katanya ketika ditemui di rumahnya ibu mertuanya di Pasir Pekan, dekat sini semalam.

Kata pemain berusia 25 tahun itu lagi, kehadiran cahaya mata ini juga akan lebih mendisiplinkan dirinya, terutama dari segi pengurusan masa antara kerjaya dan keluarga.

Kelmarin, isteri Khairul Fahmi, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 23, atau lebih dikenali sebagai Leuniey selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.75 kilogram secara normal kira-kira pukul 3 petang.

Khairul Fahmi berkata, kehadiran cahaya mata itu memberi pengalaman baharu buatnya terutama dalam menjalankan tugas sebagai bapa dan suami.

Sumber: Utusan.com.my