Pages

Thursday, July 3, 2014

Pasukan Bola Sepak Algeria Dermakan Wang Bonus Untuk Gaza


KUALA LUMPUR - 3 JUL: Skuad bola sepak Algeria mengumumkan akan mendermakan imbuhan dan bonus yang diperolehi mereka pada temasya Piala Dunia FIFA 2014 untuk rakyat Palestin di Gaza.

Dalam laporan sebuah portal sukan Diehardsport.com,  penyerang pasukan itu Islam Slimani memberitahu yang perkara tersebut dibuat atas dasar prihatin.

“Mereka lebih memerlukan dari kami” katanya.

Islam turut memberitahu bahawa jumlah wang yang akan didermakan sekitar RM29 juta (US9 juta).

Sementara itu, prestasi Algeria dalam kempen kali ini dilihat sebagai cemerlang apatah lagi tiada siapa menyangka mereka mampu sampai ke pusingan kalah mati, malah gergasi Eropah seperti Jerman terpaksa menunggu sehingga masa tambahan untuk menumpaskan Algeria pada pusingan itu.

Ini adalah kali pertama Algeria berjaya mara ke peringkat kalah mati selepas tiga kemunculan di Piala Dunia sebelum ini.

Sebelum ini, pada 1982, 1986 dan 2010, Algeria tidak pernah lepas daripada peringkat kumpulan.

Bumi Gaza diserang tentera Israel sejak tiga hari yang lalu ekoran insiden tiga remaja Israel diculik dan dibunuh di Tebing Barat yang didakwa rejim angkara anggota militan Hamas.

Sumber: astroawani.com


Runtuhan Terowong Bawah Tanah Cetus Gambar Fiksyen Di Internet


KUALA LUMPUR - 3 Julai: Dua lubang besar dan dalam yang terbentuk akibat kejadian tanah mendap di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah di sini telah mencetuskan gambar-gambar kreatif yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia serta disebarkan di internet.

Gambar-gambar dengan unsur sindiran gara-gara kejadian itu sedang disebarkan di laman rangkaian sosial seperti Twitter, Facebook dan juga aplikasi WhatsApp.

Salah satu gambar berkaitan runtuhan yang semakin tersebar secara meluas ialah gambar raksasa fiksyen Jepun Godzilla.

Lain-lain watak-watak fiksyen yang 'diletakkan' di tempat kejadian adalah King Kong, Transformers, Ultraman dan Loki.

Sesetengah daripadanya juga 'mengusik' pihak berkuasa, yang digambarkan menggunakan pita pelekat untuk 'membaiki' keretakan di jalan raya.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata terowong bawah tanah itu, yang merupakan sebahagian daripada projek laluan bawah tanah Pudu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) runtuh dua kali kira-kira pukul 10.38 pagi dan 12.20 tengahari Rabu.

Seramai 30 kakitangan jabatan dan dua pasukan yang terdiri daripada 20 anggota penyelamat DBKL, polis, dan pegawai-pegawai Prasarana berada di tapak kejadian untuk membantu.






Sumber: mstar.com.my dan carigold.com