Pages

Tuesday, July 1, 2014

Polis Singapura Arah Tayangan Piala Dunia ‘Percuma’ Dihentikan


NIAT murni seorang penduduk di Sing Avenue, Singapura, meletakkan televisyennya di luar rumah bagi memberi peluang kepada pekerja asing menonton perlawanan Piala Dunia terpaksa dihentikan atas arahan pihak polis.

Rooban Kanth, 26, diarahkan berbuat demikian atas alasan faktor keselamatan.

Bermula dengan tujuh orang, jumlah penonton di luar rumahnya meningkat sehingga 70 orang selepas beberapa hari.

Jumlah itu termasuklah penduduk tempatan yang tidak melanggan saluran sukan dan mengambil peluang menonton di luar rumah Rooban.


Ramai yang menyifatkan perbuatannya sebagai sesuatu yang cukup baik kerana sudi berkongsi keseronokan dan kemeriahan Piala Dunia kepada semua pihak.

Bagaimanapun, Rooban akur dengan arahan pihak polis dan menganggap mereka sudah memberi penjelasan yang baik kepadanya. - MYNEWSHUB.COM.MY

Si Kecil 5 Tahun Hafaz 30 Juzuk, Juri Mencium Tangannya


Seorang juri program menghafaz Al-Quran di Indonesia iaitu Hafiz Indonesia begitu sebak dan kagum kepada seorang kanak-kanak berusia 5 tahun mampu menghafaz 30 juzuk Al-Quran.

Juri berkenaan Abi Amir Faisol Fath kemudiannya datang ke arah kanak-kanak itu yang bernama Musa dan mencium tangan Musa mengambil keberkatan mukjizat Al-Quran yang dihafal oleh kanak-kanak itu.

Musa yang berasal dari Bangka, Indonesia membuatkan penonton rancangan Hafiz Indonesia menangis menitiskan air mata tatkala mampu menjawab soalan demi soalan yang diberikan oleh juri serta para penonton.

Program itu disiarkan di stesen televisyen RCTI dan juga ada dimuatnaikkan di laman YouTube, dan episod melibatkan Musa dimuatnaik pada 29 Jun lepas.

Menurut Abi Amir, kanak-kanak itu membuatnya begitu kagum kerana Allah sendiri telah memuliakannya biarpun umurnya masih mudah dengan mengindahkan jiwanya dengan Al-Quran.

“Saya tidak punyai bahasa.. Subhanallah.


“Ayah bonda semua, inilah sebuah nilai bahawa anak kecil sekalipun dia masih sangat lemah kemampuannya, ketika dia menjadi mulia kerana Al-Quran maka semua kita tunduk kerana Allah telah memuliakannya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa wang kertas tetap bernilai biarpun ia dipijak kerana manusia telah menetapkan satu nilai untuk sekeping wang kertas.

Bagi Musa, Allah telah menetapkan nilai yang mulia ke atasnya kerana dia sudah pun menghafaz Al-Quran biarpun masih muda.

Seorang lagi juri program itu, Syeikh Ali Jaber pula menjelaskan bahawa ayat Al-Quran yang diturunkan Allah membenarkan segala-galanya apabila Allah sendiri berfirman bahawa Al-Quran itu merupakan sebuah kitab suci yang mudah dipelajari. – MYNEWSHUB.MY

Neelofa Telah Bertudung

KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2014: Di laman sosial ketika ini heboh diperkatakan tentang penghijrahan pelakon dan pengacara popular Neelofa, yang sudah mengenakan tudung.

Beberapa keping foto yang menyebut tentang perubahan Neelofa itu turut dikongsi di laman sosial Instagram.

Foto pertama yang tersebar ialah perbualan di antara pengacara MeleTop itu dengan seorang jurugambar profesional Annas Eskey menerusi aplikasi i-message selain sekeping foto yang dikongsi adik Neelofa di akaun Instagram ameera812.



Astro Gempak gagal untuk mendapatkan Neelofa untuk mengesahkan perkara tersebut kerana mungkin dia sedang sibuk dengan persediaan program MeleTop yang akan bersiaran pada malam ini.

Bagaimanapun Pengurus Neelofa, Shawn Amer telah mengesahkan pelakon Azura itu kini sudah bertudung dan akan kekal bertudung.

“Ya, Lofa sudah bertudung. Dia mengambil keputusan untuk bertudung sejak awal Ramadan lalu.

“Saya sebagai pengurus turut menyokong perubahan dan penghijrahan Lofa kerana ia perkara yang baik. Saya yakin Lofa juga amat menghargai sokongan daripada teman-teman dan para peminat semua,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak pada petang Selasa.



Tambah Shawn lagi dia turut menyedari beberapa perubahan pada diri Neelofa atau pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor itu sejak tiga bulan yang lalu.

"Saya perasan perubahan pada diri dia (Neelofa) sejak tiga bulan lalu dan saya gembira tentang itu. Apabila dia membuat keputusan untuk bertudung, saya sendiri pun terkejut kerana dia tidak beritahu kepada sesiapa," ujarnya.

Sumber: murai.com.my

'Spiderman" Panjat Bangunan di KL Sentral




KUALA LUMPUR 30 Jun - Jika sebelum ini negara pernah digemparkan dengan aksi Spiderman Perancis, Alain Robert yang berjaya memanjat Menara Berkembar Petronas tanpa menggunakan kelengkapan memanjat, kali ini seorang lelaki warga tempatan pula melakukan aksi sama di bangunan 1 Sentrum setinggi 36 tingkat di Brickfields, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki berusia 26 tahun itu bertindak memanjat bangunan pusat komersial tersebut dengan hanya memakai sandal, baju T , berseluar pendek hitam, menutup muka dengan sapu tangan, memakai beg sandang berwarna biru dan kamera lasak.

Ketika sampai di tingkat paling atas dia sempat mengibarkan bendera Malaysia sebelum ditahan polis. Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Travers untuk siasatan lanjut dan dibenarkan pulang hari ini.


Lelaki 'Spiderman' yang memanjat bangunan 1 Sentrum di Brickfield, Kuala Lumpur sebelum ditahan oleh pihak polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.

Menurut beliau, lelaki itu mendakwa ingin menjadi orang pertama memanjat bangunan tersebut selepas mendapat maklumat ada peserta daripada luar negara mahu berbuat demikian dalam tempoh terdekat ini.

"Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 14 Akta Undang-Undang Kecil dan selepas keterangannya diambil kita benarkan dia dijamin," kata beliau.

Sementara itu, video serta gambar aksi lelaki itu turut dimuat naik di akaun Facebook bernama Keow Wee Loong (UglyKiwi) yang dipercayai miliknya.

Berdasarkan status yang dipercayai dimuat naik oleh lelaki terbabit, dia memberitahu hanya sempat memaparkan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam serta ucapan selamat kepada bekas model, Felixia Yeap yang bakal memeluk Islam pada 5 Ramadan ini ketika berada di puncak. Ucapan itu ditulis di atas dua helai kertas A4.

Pada 1 September 2009, Robert yang terkenal dengan kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa bantuan kelengkapan memanjat, ditahan kerana memanjat Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat itu tanpa permit.

Sumber: utusan.com.my dan thestar.com.my