Pages

Wednesday, May 14, 2014

Presiden FAM - TMJ dapat sokongan 7 negeri?

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
JOHOR BAHRU - 14 Mei: Lebih tujuh perwakilan badan gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan mengadakan pertemuan dengan calon Pre­siden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Pe­langi, semalam.

Para perwakilan yang terlibat ha­dir untuk mendengar sendiri visi dan misi yang ingin di­sampaikan oleh Tunku Mahkota Johor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), selain ingin mengena­linya lebih dekat.

Semua perwakilan berkumpul di sebuah hotel di bandar raya ini sebelum bertemu Tunku Ismail pada satu majlis makan malam di istana beliau bermula pada pukul 8.30 malam.

Menurut sumber, kehadiran semua perwakilan terlibat itu belum tentu boleh diterjemahkan kepada sokongan yang ingin diberikan kepada Tunku Mahkota Johor itu.

Sebaliknya tujuan utama mereka hadir adalah untuk mendengar apa peranca­ngan beliau.

“Bagaimanapun, rata-rata yang hadir itu mahukan transformasi di dalam FAM sekali gus berharap pertemuan itu dapat memberi harapan baharu kepada bola sepak negara.

“Mereka mahu dengar misi dan visi Tunku Ismail," katanya di sini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Tunku Ismail seakan memberi isyarat kuat untuk bertanding pada pemilihan 25 Mei ini apabila akan mengadakan perjumpaan bersama beberapa perwakilan badan gabungan FAM di sini.

Perjumpaan tersebut turut didukungi Timbalan Presiden FAM yang kini dalam penggantungan, Tan Sri Annuar Musa yang dari awal jelas memberi sokongan padu kepada Tunku Ismail untuk mencabar pe­nyandang, Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda, Tengku Abdullah.

Dengan inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa perwakilan itu juga jelas menunjukkan, Tunku Mahkota Johor itu bersedia bertanding ja­wa­tan tersebut sekali gus per­tan­dingan kali ini dijangkakan sengit.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140514/su_01/Dapat-sokongan-7-negeri#ixzz31h8t306O © Utusan Melayu (M) Bhd 

Kecewa Dituduh 'Gila Talak', Adam (AF2) & Fiza Mungkin Rujuk Semula

Adam AF2 akui masih sayang bekas isterinya Fiza Abdul Halim
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Adam AF2 mengakui sedang dalam proses memikirkan untuk kembali rujuk dengan bekas isterinya, pelakon Fiza Abdul Halim, 33, selepas sah bercerai talak satu pada 28 April lalu.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, mengakui masih mempunyai perasaan sayang terhadap bekas isterinya itu dan tidak menolak jodoh untuk kembali bersama dalam tempoh edah selama tiga bulan ini.

"Ya, mungkin kami akan rujuk semula dan kini masih lagi memikirkan tentang perkara itu, namun itu semua terpulang kepada jodoh.

"Secara jujurnya memang saya masih sayangkan dia dan bagi saya tempoh edah ini juga menguji kekuatan kami dan mencari dimana kesilapan masing-masing," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan bahawa mereka merancang untuk kembali membina rumah tangga semula dan memperbaiki kesilapan masing-masing. 

Dalam pada itu, Adam mengakui sering berhubung dan mengambil berat tentang bekas anggota kumpulan Elite itu selepas berpisah.

Dia juga menyelar dakwaan segelintir pihak yang menganggap mereka sebagai 'gila talak' kerana ingin bersatu semula. 

"Kami saling berhubung seperti biasa kerana dia masih lagi tanggungjawab saya dan saya rasa itu tidak salah.

"Saya tidak ambil peduli orang kata kami 'gila talak', mereka tidak berada di tempat kami jadi tidak wajar untuk menuduh kami yang bukan-bukan, nak 'gila talak' sekalipun kami punya pasal," katanya.

Pasangan itu telah bernikah pada 26 September tahun lalu hanya selepas dua bulan berkenalan.

Manakala pada 28 April lalu kedua-dua mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada tengah hari Isnin.

Sumber: mstar.com.my

Ahmad Said Kembali Kepada Umno, Ikrar Sokong Najib

Ahmad Said ketika mengadakan sidang media di kediaman rasminya
KEMAMAN, 14 Mei: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Umno dan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menarik balik peletakan jawatannya.

Mengumumkan kembali ke pangkuan Umno, Adun Kijal itu berkata beliau memohon maaf kepada Najib berhubung tindakan beliau dan Najib pula memohon maaf kepadanya berhubung salah faham mengenai tarikh perkahwinan anak perempuannya.

Beliau memberitahu sidang media di kediaman rasminya di sini bahawa dia telah bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya pada awal hari Rabu.

"Pada mesyuarat itu, kami bersetuju bahawa ia adalah satu salah faham kecil. Kami kedua-duanya memohon maaf dan bersetuju bahawa perkara itu telah diselesaikan," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan bahawa Exco Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata,  Ahmad berjanji dengan perdana menteri untuk menyokong penuh pucuk pimpinan negeri diterajui menteri besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata, Adun Ajil Ghazali Taib, yang sebelum ini turut mengambil keputusan keluar daripada parti, memohon maaf kepada Najib, dan menarik balik surat itu.

Mohd Jidin berkata Ahmad dan Ghazali melahirkan rasa kesal mereka ekoran tindakan secara terburu-buru itu.

"Sehubungan itu, kita 17 Adun (BN) telah bersepakat untuk terus memimpin negeri Terengganu tanpa ada masalah.

"Yang lepas biarlah lepas. Jangan kita ambil kisah lagi. Kita perlu terus bersatu demi perpaduan parti kita," kata Mohd Jidin.

Awal pagi semalam, Ahmad dan Ghazali mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Pada Isnin, Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif, yang juga Adun Seberang Takir, mengambil alih jawatan itu daripada beliau.

Sumber: mstar.com.my