Pages

Saturday, May 17, 2014

Gambar Wanita Solat Atas Jejambat Jadi Viral

Gambar yang dikongsi di laman sosial menunjukkan seorang anggota polis trafik sedang mengawal lalu lintas di lokasi wanita warga Indonesia menunaikan solat di atas jejambat berhampiran bangunan DBP, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA - 17 Mei: Mendakwa mendapat 'hidayah' untuk berubah, seorang wanita warga Indonesia mencetuskan tanda tanya apabila dilihat menunaikan solat dan membaca al-Quran di atas jejambat berhampiran Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gambar wanita berkenaan mula tersebar di laman sosial sejak tengah hari Sabtu hingga menjadi viral apabila dia yang lengkap bertelekung sedang membaca al-Quran di atas sejadah ditepi jalan.

Maklumat awal mendapati Anita Shiar, 27, mendakwa dia bermimpi ditimpa sesuatu perkara yang tidak baik lalu bertindak bersembahyang di merata tempat.

Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurut Zainuddin, wanita yang ditemui tanpa dokumen pengenalan diri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu jurucakap HKL mengesahkan wanita itu kini sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Sumber: mstar.com.my

On Jabbar digantung 20 tahun


PETALING JAYA - 17 Mei: On Jabbar digantung daripada melibatkan diri dengan aktiviti bola sepak selama 20 tahun dan didenda RM50,000 gara-gara menumbuk pengadil, Sukri Abd. Rahman pada 19 April lalu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abd. Razak, berkata, hukuman itu adalah setimpal dengan apa yang dilakukan oleh On, yang ketika itu merupakan pe­ngurus Johor Darul Ta'zim.

"Bekas pengurus JDT II, On Jabbar, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dikemukakan. Kami mengambil kira rayuan yang dikemukakan namun kami di Jawatankuasa Tatatertib melihat kes ini sebagai sangat serius.

"Kami mengambil keputusan menjatuhkan hukuman gantung 20 tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak dan denda RM50,000. Memandangkan On Jabbar juga adalah exco PBNJ maka PBNJ didenda RM40,000.

"Hukuman ini tertakluk kepada Perkara 3.4 iaitu jika didapati bersalah, hukuman minimum adalah digantung dua tahun dan maksimum dikenakan penggantungan seumur hidup.

"Bagaimanapun On dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari selepas surat rasmi hukuman dikeluarkan.

"Ini satu peringatan kepada beliau bahawa tiada jalan pintas untuk mencipta sejarah dalam dunia bola sepak dan semuanya mengikut peraturan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

On menumbuk Sukri ketika pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang ekoran beberapa keputusan yang dianggap tidak adil semasa perlawanan JDT II berdepan UiTM FC sebelum disuraikan oleh pihak polis.

Insiden itu membuatkan ratusan penyokong JDT II berkumpul di perkarangan pintu masuk stadium dan memaksa pengadil keluar dan memohon maaf kepada mereka.

Taufek berkata, On tidak dikenakan penggantungan seumur hidup kerana mengambil kira beberapa hukuman yang telah diterima daripada PBNJ.

"Kami bukannya berlembut apabila menjatuhkan hukuman sebegini. Kami turut mengambil kira rayuan yang dikemukakan oleh On iaitu dia telah diberhentikan daripada jawatan pengurus JDT II dan dikenakan denda sebanyak RM25,00 oleh PBNJ.

"Selain itu, dia juga bertukar menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang ke jawatan lain atas kehendak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) setelah mengambil kira insiden yang berlaku namun dalam masa sama dia masih lagi berminat menguruskan bola sepak pada masa akan datang," katanya.

PBNJ turut dikenakan denda tambahan atas dua tuduhan ber­asingan berkaitan perlawanan yang sama, iaitu sebanyak RM10,000 kerana para penyokong JDT II membaling botol air kepada pegawai perlawanan dan pemain pasukan UiTM FC serta RM20,000 lagi kerana kegagalan keselamatan semasa kejadian berlangsung.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBNST) pula dikenakan hukuman RM5,000 kerana tindakan para penyokong membakar suar.

Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia juga didenda RM5,000 ekoran tindakan peminat Sarawak yang merupakan penyokong lawan membakar suar pada perlawanan di Stadium Sela­yang 18 Januari lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140517/su_01/On-Jabbar-digantung-20-tahun#ixzz31xGgDisS © Utusan Melayu (M) Bhd 

Kesan Tapak Kaki Bersaiz Besar Jadi Tanda Tanya

Kesan tapak kaki berlumpur bersaiz besar yang ditemui berhampiran hutan simpan Endau Rompin menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai.
JOHOR BAHRU - 17 Mei: Sesuatu yang aneh apabila tiga pasang tapak kaki berlumpur, yang pertama kelihatan seperti tapak kaki harimau, kedua kelihatan seperti tapak kaki gajah dan yang ketiga menyerupai tapak kaki manusia tetapi dengan saiz besar ditemui.

Jejak dan kesan tapak kaki yang menjangkau hampir 1km berhampiran hutan simpan Endau Rompin membuatkan pesara Sia Chwee Khim, 64, dan suaminya Lim Teong Kheng, 66, hairan dan sangat teruja.

Mereka percaya kesan tapak kaki yang ketiga mungkin kesan tapak kaki 'Bigfoot' yang selama ini menjadi cerita mitos.

Pasangan itu, bersama dengan anak perempuan mereka Joanna, 30, dan sekumpulan rakan-rakan dari Singapura mengambil keputusan untuk menjejaki trek kesan tapak kaki yang ditemui sepanjang lebih dari 1km pada 10 Mei.

"Ia sangat mengejutkan. Makhluk itu telah berjalan di dalam tanah merah lembap dan kemudian ke jalan tar, meninggalkan jejak yang jelas untuk kita lihat," kata Sia, sambil menambah kumpulan itu telah mengambil gambar banyak dan mengukur tapak kaki yang besar yang mempunyai ukuran kira-kira 48cm panjang dan 11cm lebar.

"Kami cuba untuk meniru langkah dan jangkauannya tetapi kaki kami tidak mampu disesuaikan dengan jarak langkah itu.

"Kami juga menolak kemungkinan kesan itu ditinggalkan oleh gajah kerana ia agak bujur, seperti kaki manusia, dan mempunyai empat jari kaki runcing yang menonjol," katanya.

Kumpulan itu sedang menuju ke Endau Rompin apabila mereka menemui kesan aneh itu.

Sia menjelaskan bahawa apa yang membingungkan kumpulan itu apabila kesan tapak kaki yang dikatakan daripada 'Bigfoot' itu turut disertai kesan tapak kaki gajah dan harimau.

Pengarah Perhilitan Negeri Hasnan Yusop berkata sepasukan pegawai menjalankan pemeriksaan kesan tapak kaki dan membuat kesimpulan bahawa ia mungkin kesan tapak kaki gajah.

"Boleh jadi gajah yang lembab berjalan dengan mengheret kaki meninggalkan kesan dan jangkauan yang panjang," katanya.

Mengenai bekas tapak kaki gajah dan harimau, Hasnan berkata tidak semestinya haiwan itu bergerak bersama-sama tetapi boleh jadi menggunakan laluan yang sama pada masa yang berlainan.

Kali terakhir Bigfoot menjadi tajuk berita ialah pada yang tahun 2005 apabila sekumpulan pekerja mendakwa telah melihat makhluk berbulu yang besar di Kampung Mawai, Kota Tinggi.

Para pekerja cuba untuk mengejar makhluk itu tetapi gagal.

Mereka juga dilaporkan menemui tapak kaki yang besar berukuran antara 40cm dan 50cm di dalam lumpur.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Sekitar Johor Vincent Chow berkata beliau menerima berita mengenai tapak kaki Bigfoot pada hari yang sama sambil menambah adalah agak mustahil perkara ini adalah gurauan kerana tapak kaki ini mempunyai jarak lebih daripada 1km.

"Boleh jadi ia kaki primat berkaki dua tegak yang belum pernah ditemui sesiapa," kata beliau sambil menambah terdapat banyak penemuan tapak kaki haiwan seperti ini terutama oleh penduduk tempatan, tetapi pihak berkuasa sering tidak mengambilnya sebagai perkara serius.

Sumber: mstar.com.my