Pages

Friday, February 15, 2013

Shila Amzah sedia mulakan hidup baru

Shila Amzah sedia mulakan hidup baru
14 Feb – Pelantun lagu "Patah Seribu", Shila Amzah nampaknya bersedia untuk memulakan kehidupan baru selepas dilanda masalah melibatkan teman lelaki, Sharnaaz Ahmad dan ayahnya, ND Lala baru-baru ini.
Menerusi mesej terbaru di laman Twitter miliknya yang dimuat naik sekitar jam 12 tengahari semalam, Shila menyatakan sedang melalui permulaan yang baru dalam kehidupannya.
"Permulaan baru, kehidupan baru dan lagu baru yang bakal keluar. Alhamdulillah," kata penyanyi berusia 23 tahun ini yang pernah menghilangkan diri minggu lalu untuk mendapatkan ketenangan.
Mesej terbaru itu telah mendapat reaksi positif dan sokongan daripada peminatnya yang rata-ratanya berharap agar penyanyi kesukaan mereka tabah menghadapi kemelut yang melanda.
Terdahulu Sharnaaz yang merupakan pelakon filem "Juvana" memberi kenyataan bahawa dia telah nekad untuk melupakan teman wanitanya itu selepas hubungan mereka dikatakan mendapat tentangan ayah Shila.
Sementara itu ND Lala berjanji akan mengadakan sidang media khas apabila Shila tidak berjaya ditemubual oleh media selepas persembahannya di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang baru-baru ini.
Selain sidang media, ayah kepada juara Asian Wave ini juga dikatakan sedang mengatur untuk mengadakan kenduri kesyukuran.

Sharnaaz Ahmad batal hasrat merisik

Sharnaaz Ahmad batal hasrat merisik
8 Feb – Adakah hubungan cinta pasangan popular Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad sudah berakhir?

Tiada sebarang kesimpulan tentang status hubungan mereka, tetapi aktor drama bersiri "Ruby" ini telah membuat keputusan membatalkan hasrat untuk menghantar rombongan merisik pada Mac akan datang ini.

"Saya tidak akan hantar rombongan merisik. Saya sendiri pun tidak tahu ke mana hala tuju hubungan ini.

"Saya tak pasti dan hanya berserah," jelas Sharnaaz seperti dipetik dari Sinar Harian.

Kecewa dengan tindakan teman wanitanya yang menghantar surat permohonan maaf secara terbuka kepada media, Sharnaaz turut memberitahu dia enggan mengambil tahu tentang isu yang berlaku di antara mereka.

"Saya tidak mahu ambil tahu kerana kesudahannya saya juga akan dipersalahkan. Lebih baik saya mengambil keputusan berdiam diri dan fokus dalam kerjaya.

Ditanya apakah status hubungan cintanya dengan pelantun lagu "Patah Seribu" itu sudah berakhir, aktor berusia 28 tahun ini tidak mahu mengulas tentang perkara tersebut.

"Seperti yang saya katakan, saya sudah malas nak layan semua ini lagi. Saya tak nak bercakap tentang dia (Shila) lagi."

Kemelut antara Sharnaaz dan ayah Shila menjadi lebih buruk selepas ND Lala menolak hasrat aktor itu yang ingin menghantar rombongan merisik pada Mac ini.

Shila yang kini berada di kota Shanghai telah tampil memohon maaf dan meminta agar segala kekusutan yang berlaku akan berakhir.

Terbaru menerusi akaun Twitter miliknya, penyanyi berusia 23 tahun ini turut memberitahu dia tidak mahu terlalu dikongkong dan meminta agar diberi peluang membuat keputusan sendiri.
Sumber: www.yahoo.com