Pages

Thursday, July 24, 2014

MH17: Penghormatan dari Kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel 2014 Glasgow

Perarakan masuk kontinjen Malaysia di perasmian Sukan Komawel 2014, Glasgow.

Jalur Gemilang dikibar separuh tiang oleh pembawa bendera negara, Fatehah Mustapa.

Barisan atlet hadapan memakai uniform crew MAS.

Justice for MH17.

 

Proud to be Malaysian. #TeamMalaysia #MalaysiaBoleh

Sumber: Facebook Khairykj dan AstroArenaSaluran801

 

Cadbury Malaysia Tubuh Panel Syariah Bebas Pantau Proses Coklatnya

Panel Syariah Bebas Datuk Nooh Gadot (duduk, dua, kiri) yang juga Penasihat Bebas Majlis Agama Islam Johor bersama Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Zaharuddin Abd Rahman (duduk, dua, kanan), Pendakwah Bebas Ustaz Mohd Shukri Ali (duduk, kiri) dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'mor Osman (duduk, kanan) mengadakan perbincangan sambil diperhatikan oleh Ketua Hal Ehwal Korporat Mondelez Malaysia, Raja Zalina Raja Safran (berdiri, kanan) selepas membuat lawatan dan tinjauan berhubung isu coklat Cadbury di Kilang Cadbury Seksyen 16 di Shah Alam pada Rabu. Foto BERNAMA

SHAH ALAM - 24 JUL: Sebuah panel syariah bebas telah dibentuk atas permintaan Cadbury Confectionary Malaysia bagi memantau secara lebih teliti proses penghasilan coklat syarikat itu bagi menghapus keraguan status halalnya.
 
Ketua Hal Ehwal Korporat Mondelez Malaysia, pengeluar produk berkenaan, Raja Zalina Raja Safran memberitahu pemberita pada Rabu, usaha memanggil panel syariah itu adalah langkah proaktif untuk meyakinkan kembali umat Islam terutama penggemar coklat Cadbury di negara ini.
 
Panel syariah bebas itu terdiri daripada Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut; Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Zaharuddin Abd Rahman; pendakwah bebas Mohd Shukri Ali; dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Ma'amor Osman.
 
Pada Mei lepas, satu laporan memetik Kementerian Kesihatan mengesan 'porsin' atau DNA khinzir dalam dua jenis coklat syarikat itu.
 
Bagaimanapun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kemudian menyatakan dua sampel produk itu diambil terus dari kilang disahkan tidak mengandungi DNA khinzir oleh Jabatan Kimia.
 
Sumber: mstar.com.my
 
 

Iklan Raya Proton 2014: Ada 'teaser' Proton Compact Car

 
Jom kita saksikan video Iklan Raya Proton 2014: Proton Sepanjang Raya. Yang paling syoknya kat penghujung video ini ada teaser Proton Compact Car yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
 
Kita boleh lihat lampu hadapan model ini sepenuhnya dengan jelas dan nampak segala perincian padanya terutama tulisan Proton di bahagian hujung. Rekaannya lebih menarik, moden dan lain dari model-model yang sebelumnya.
 

Sumber: funtasticko.net, youtube.com

 

Tuesday, July 22, 2014

MH17: Rusia Bentang Bukti Di Hari Kejadian

Dari Facebook Cz Fab: Masak lah Ukraine dan sekutunya US! Russia dah sangkal dan keluarkan bbrp bukti. Bagi yang tak tgk video, boleh tgk ulasan yang saya buat menerusi gambar video. Habis telanjang Ukraine.
 
Jadi benarlah laporan dari twitter "spainbuca" yg telah di delete oleh pihak twitter bahawa mmg terdapat jet fighter yg mengekori MH17. Maruah Malaysia skrg dah jadi kambing, kita semua kambing, sbb negara telah dikambinghitam utk kepentingan kuasa2 besar.
 
Semua aset yg ditunjukkan dlm gambar2 ni adalah milik Ukraine.
 
Gambar 1
 
Keterangan Gambar 1:
  1. Menunjukkan MH17 membuat lencongan sebelum hilang dari radar Russia
  2. Russia tidak pasti arahan dari siapa samada dari Ukrainian traffic controller atau pihak lain
  3. Pada tarikh tersebut, Russia mengesan bbrp buah BUK M-1 kepunyaan Ukraine berdekatan tempat kejadian
  4. BUK M-1 boleh menembak sejauh 35km (> 110,000 kaki) dan sehingga altitud 25 km (> 82,000 kaki)
  5. Russia mempertikai kenapa Ukraine meletakkan sejumlah BUK M-1 di kawasan berdekatan Donetsk walhal di sana memang tidak ada sebarang aktiviti penerbangan dari mana2 pihak tentera
  6. Dari gambar 1 boleh dilihat route yg asal MH17 dan lencongannya
  7. Dari gambar boleh dilihat 3 buah anti aircraft missile (BUK M-1) kepunyaan Ukraine di sekitar laluan MH17

 Gambar 2
 
Gambar 3
 
Gambar 4 


Keterangan Gambar 2, 3 dan 4:
  1. Gambar satelit diambil pada 14 julai sebaik shj kes kapal kargo AN-26 terhempas
  2. Terdapat self propelled launching system dan 2 system utk loading (Gambar 2)
  3. Di kwsn berdekatan terdapat sistem radio iaitu 5km dari kawasan BUK-M1 (Gambar 3)
  4. Di utara Donetsk terdapat 4-5 buah air missile system. Anda boleh lihat dgn jelas 60 jenis pelbagai peralatan2 yg ada (Gambar 3)
  5. Gambar kwsn sama tapi diambil pada 16 julai, anda boleh lihat sistem launching tidak ada di situ (Gambar 4)
  6. Pihak Russia tertanya kenapa Ukraine memiliki BUK-M1?
  7. Pihak Russia menegaskan bhw pihak pro-Russian separatist (PRS) tidak memiliki sebarang anti aircraft missile termasuk BUK-M1
Gambar 5

Gambar 6

Keterangan Gambar 5 dan 6:
  1. Terletak 5 km dari timur Donetsk
  2. Anda boleh lihat sistem anti aircraft missile
  3. Pihak Russia tertanya kenapa terdapat anti aircraft missile yang terlalu berdekatan dengan kwsn tragedi MH17
  4. Pada 18 Julai kawasan sama, sistem anti aircraft missile hilang dari peta (Gambar 6).
Gambar 7

Keterangan Gambar 7:
  1. Radar Ukraine pada 17 Julai beroperasi tahap maksima iaitu 9 buah
  2. Pada 15 Julai, 7 radar beroperasi, 16 Julai pula 8 radar beroperasi dan pada 17 Julai iaitu hari tragedi, sebanyak 9 buah radar beroperasi
  3. Tiba2 pada 18 Julai, radar beroperasi turun hingga 4 buah hingga minima 2 buah radar dan pihak Russia mahu jawapan kenapa ini berlaku
Gambar 8
 
Keterangan Gambar 8:
  1. Gambar pada 17 Julai
  2. Ada 4 buah kapal iaitu 3 buah kapal komersil dan 1 buah (jumlah tidak diketahui) jet fighter Ukraine
  3. Empat buah kapal komersil adalah MH17, sebuah kapal terbang (Copenhagen-Singapore) dan sebuah lagi Paris ke Taipei
  4. Jet fighter Ukraine tiba2 naik ke ketinggian 10km (33,000 kaki) bersamaan dgn MH17 dan masuk ke laluan yg sama. Jarak jet fighter dgn MH17 adalah 3-4km
  5. Kemungkinan, selain BUK-M1, pihak Russia berkata mungkin misil udara ke udara dari jet fighter Ukraine terlibat. Keupayaan misil tersebut boleh menjangkau 12km dgn jarak jaminan misil sampai pada target iaitu 5km
  6. Russia pertikai kenapa jet fighter Ukraine terbang sama laluan dgn MH17
 Gambar 9

Keterangan Gambar 9:
  1. Presentation dari Ketua Panglima Tentera Udara Russia (pangkat depa den tak tau, sori)
  2. Gambar menunjukkan dari radar tentera udara Russia
  3. Lebih kurang jarak 51 km dari sempadan Russia, MH17 dikatakan mula mengurangkan kelajuan
  4. Pada kawasan terhempasnya MH17, pihak pegawai air traffic Russia dpt mengesan sebuah lagi kapal terbang tapi sukar dikesan oleh radar tentera kerana kapal tersebut ketiadaan alat pengesan secondary
  5. Kapal terbang tersebut juga dikesan masih berlegar-legar di udara sebaik kejadian berlaku

Gambar 10

Keterangan Gambar 10:
  1. Pihak Russia mengatakan kononnya pihak US mempunyai gambar bukti Russia atau PRS yg melancarkan missile dari BUK tapi sehingga sekarang tidak ada pihak pernah melihat gambar bukti tersebut
  2. Ukraine berkata tidak ada sebarang jet fighter mereka di kawasan kejadian telah disangkal oleh pihak Russia
  3. Pihak Russia menyangkal video youtube yang menunjukkan kononnya kenderaan BUK-M1 melalui sebuah kawasan di Ukraine memasuki sempadan Russia
  4. Terdapat sebuah papan iklan kenderaan dalam video dan tarikh pengiklanan iklan tersebut adalah 15 Mei 2014 dan pada tarikh ini, pihak Ukraine masih menguasai kawasan ini
  5. Jadi sekarang ni, pihak Russia pula yg bertanya pada Ukraine iaitu apakah jenis pelancar tersebut, ke mana ia dihantar dan dari mana asalnya, kenapa ia diisi dengan misil dan bila kali terakhir ia diisi dengan misil?
  6. Pihak Russia bertegas tidak pernah beri sebarang anti anticraft missile kpd pihak PRS.
Russia akan menghantar kesemua laporan pada kesatuan Eropah dan Malaysia.

Sumber: Facebook Cz Fab

 

Friday, July 18, 2014

MH17: Rakaman Perbualan Kumpulan Pemisah Akui Tembak Jatuh Pesawat Dipintas


PETALING JAYA - 18 JUL: Dakwaan terbaharu bahawa penerbangan Malaysia (MAS) MH17 ditembak jatuh oleh kumpulan militan tersebar, dengan rakaman yang didakwa perbualan antara pegawai perisikan tentera Rusia dan anggota kumpulan pemisah sebagai bukti, lapor sebuah akhbar Ukraine berbahasa Inggeris.

Dalam perbualan yang didakwa dipintas dan dikeluarkan oleh agensi keselamatan Ukraine (SBU), seorang anggota militan memaklumkan bahawa pesawat itu adalah '100% persawat komersial'.

Rakaman itu yang diterjemahkan oleh The Kyiv Post menunjukkan Iglor Bezler - seorang komander utama Republik Rakyat Donetsk - berbual dengan seseorang yang dipercayai kolonel bersama Angkatan Tentera Rusia, Vasili Geranin.

Bezler berkata, mereka berjaya menembak jatuh sebuah pesawat dan kemudiannya mendapati ia adalah sebuah pesawat penumpang.

Selepas itu, kedua-duanya didengar berbincang mengenai serangan tersebut dengan salah seorang daripada mereka berkata pesawat tersebut berkecai di udara.

"Kami telah menemui mayat pertama iaitu orang awam.

"Pendek kata, ia 100 peratus pesawat komersial," katanya.

Dia berkata, serpihan pesawat berkecai di sekitar kawasan perumahan dan tiada apa yang tinggal melainkan mayat, kerusi pesawat dan barangan penumpang seperti peralatan perubatan, tuala dan tisu tandas.

Katanya, mengenai pesawat yang ditembak jatuh di kawasan Snizhne-Torez, ia adalah pesawat komersial dan terhempas berhampiran Grabove.

"Terdapat banyak mayat wanita dan kanak-kanak," katanya.

Menurut laporan itu, salah satu panggilan itu dibuat kira-kira 20 minit selepas MH17 dipercayai ditembak jatuh.


Sumber: mstar.com.my

Wednesday, July 16, 2014

Wanita Amuk Kereta Kemalangan: 'Uncle dah maafkan'

KUANTAN - 16 JUL: Warga emas yang menjadi mangsa seorang wanita bertindak ganas ketika kemalangan di parkir Pusat Transformasi Bandar (UTC) pada Isnin lalu tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya malah bersedia memaafkan wanita itu.

Pesara kerajaan, Sim Siak Hong, 68, berkata, dia hanya membuat laporan polis berhubung kemalangan itu namun enggan melaporkan kejadian wanita itu bertindak ganas terhadapnya walaupun diminta pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

"Saya menganggap dia bertindak demikian mungkin didorong perasaan marah kerana saya melanggar keretanya.


"Walaupun trauma dengan kejadian itu saya tetap memaafkannya dan berjanji tidak akan melaporkan tindakan kekerasannya kepada polis malah dia juga sudah memohon maaf kepada saya," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

SIAK Heong ketika ditemu bual

Kemalangan kecil yang berlaku kira-kira jam 1 petang itu menyebabkan wanita berusia 30 tahun itu naik darah dan bertindak memaki Siak Heong dengan perkataan kasar serta berbaur perkauman.

Malah wanita itu turut bertindak memukul kenderaan Siak Heong menggunakan pengunci stereng.

Sumber: hmetro.com.my

 

Wanita amuk kereta kena langgar: Digi mahu bayar kos baik pulih kereta kedua-duanya

KUALA LUMPUR - 16 JUL: Digi Telecommunications telah menawarkan untuk membayar kos baik pulih kenderaan lelaki warga emas yang dikatakan telah melanggar kereta seorang wanita, di mana video insiden wanita mengamuk terbabit kemudiannya menjadi viral di laman sosial.

Pemandu wanita terbabit dilihat hilang sabar dan menggunakan pengunci stereng untuk memarahi sambil menghentak-hentak kereta milik warga emas terbabit.

Digi melalui laman Facebook rasminya berkata, mereka akan membayar kos baik pulih kereta lelaki terbabit kerana sifat empati yang ditunjukkannya.

Syarikat telekomunikasi itu juga menawarkan untuk membayar gantirugi kepada wanita terbabit sekiranya dia “dapat memaafkan lelaki warga emas itu”.

Muat naik oleh Digi itu berjaya menarik perhatian ramai secara positif tatkala pelbagai cemuhan negatif dilempar kepada wanita tersebut, yang hampir boleh disifatkan sebagai membuli secara siber.

 
 
Sumber: astroawani.com

 

Video Wanita Mengamuk dengan Pengunci Stereng


SHAH ALAM - 16 JUL: Berang kerana kereta baharunya dilanggar, seorang wanita bertindak mengamuk sambil memukul kenderaan pelanggarnya dengan pengunci stereng.

Menurut sebuah portal, kejadian dipercayai berlaku di Kuantan.

Insiden bermula apabila seorang lelaki warga emas terlanggar kereta wanita itu dari belakang.
Kejadian kemudiannya sempat dirakam pengguna jalan raya lain malahan 'drama' amukan itu turut menyebabkan trafik di kawasan kejadian menjadi sesak.

Video yang menjadi viral sejak semalam mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial berhubung insiden itu.


Antara amukan yang telah dilontarkan kepada lelaki yang melanggarnya termasuk “Ini kereta barulah bodoh!” sambil menghentak pengunci stereng ke atas kereta milik pelanggarnya.

Kata caci yang turut dilontarkan termasuk “I don’t care, pay me RM2000 now!”, “you very stupid!” dan kata cacian berbaur perkauman kedengaran di penghujung video tersebut.

Sumber: sinarharian.com.my | youtube.com | astroawani.com


 

Thursday, July 10, 2014

Diberi Surat Tunjuk Sebab Gara-Gara Pakai Kopiah

Kita pernah mendengar diskriminasi terhadap wanita bertudung yang dinafikan hak mereka untuk bekerja di sesetengah tempat.

Namun kes ini lain pula, seorang pemandu bas diarahkan memberi surat tunjuk sebab kerana memakai kopiah ketika bekerja.

Katanya, bercanggah dengan terma kerja pemandu bas tersebut.

Antara isi surat tersebut yang kini tersebar di media sosial adalah:

Merujuk kepada laporan yang diterima, saudara telah melakukan perbuatan yang bercanggah dengan terma-terma kerja saudara:

Saudara didapati mengingkari arahan masih memakai kopiah walaupun sudah ditegur.

Kalau itu alasannya agak janggal pula rasanya memandangkan kerja pemandu bas hanya memegang stereng dan bukan seperti pramugari yang perlu melayan penumpang kot.

Kalau pemandu bas itu seorang pemandu Singh misalnya, tentu tak ada masalah untuk dia memakai serbannya tapi bagaimana pula di negara Islam ini seorang lelaki muslim dinafikan hak untuk berkopiah sewaktu membawa bas?

Apa pun jika benar surat tunjuk sebab berkopiah ini benar-benar ada, maka diharapkan ia sudah diselesaikan secara baik. #mynewshub

Model Warga Estonia Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh


JOHOR BAHRU - 10 Jul: Seorang model warga Estonia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang kerabat diraja ditemui dibunuh di Pulau Rawa membangkitkan banyak persoalan.

Model sambilan, Regina Soosalu pada awalnya dikatakan mati lemas apabila mayatnya ditemui di pantai pulau itu pada 1 Julai lalu, pada hari dia tiba di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, polis kini sedang menyiasat kematiannya sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas menemui kecederaan "mencurigakan" pada badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan berkata, setakat ini seramai enam suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka berada di pulau itu pada hari kejadian tetapi saya tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat kerana kita masih dalam siasatan," katanya.

Menurut sumber yang rapat dengan Soosalu dan teman lelakinya berkata, model itu dilihat kali terakhir oleh kakitangan hotel ketika model itu keluar dari biliknya untuk berjalan dekat jeti. Dia memberitahu bahawa wanita berkenaan tidak pulang selepas itu.

Teman lelaki kepada model itu, Tengku Alang Reza Ibrahim, mendiamkan diri berhubung kematian itu di akaun Facebooknya sehingga Selasa. Sumber memberitahu bahawa dia amat terganggu untuk menceritakan mengenai perkara tersebut.

Tengku Alang Reza menyifatkan insiden itu sebagai "tragedi paling buruk di dalam hidupnya".

“Cinta saya, Regina meninggal dunia pada 1 Julai lalu, di bulan suci Ramadan. Dia adalah cinta hati saya, rakan baik saya, dan saya akan terus menjadi inspirasi buat saya," kata Tengku Alang Reza di Facebooknya.

"Hatinya dipenuhi dengan kehebatan, cinta dan belas kasihan untuk semua mahkluk dan kehidupannya sendiri."

Bagi mengungkapkan kata-kata selamat tinggal, Tengku Alang Reza berkata: "kata-kata tidak dapat meluahkan kekosongan dan kesengsaraan yang saya rasai. Hanya ucapan perpisahan buat masa ini, tidak akan selamat tinggal. Hingga kita berjumpa lagi, saya mencintaimu My Baby, akan sentiasa di hati saya."

Ditanya adakah teman lelaki Soosalu turut dipanggil untuk disiasat, Hasnan berkata, polis belum lagi memanggil lelaki itu bagi siasatan.

"Kita telah memaklumkan Interpol (polis antarabangsa) berhubung insiden ini dan kita menyerahkan kepada mereka untuk menghubungi keluarga wanita itu.

"Saya percaya butiran-butiran mengenainya akan dimaklumkan kepada kedutaan Estonia di Beijing dan mereka sedang berhubung dengan keluarga mangsa mengenai siasatan kita," katanya.

Ditanya mengenai waktu dan lokasi insiden, Hasnan enggan mengulas lanjut dan berkata, polis sedang berusaha untuk mengesan waktu kematian.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kita sedang menunggu laporan akhir," katanya.

Soosalu di Facebooknya berkata, dia sedang menjalinkan hubungan bersama seorang lelaki bernama Alang Reza sejak 3 Julai 2012 - mstar.com.my

Tol elektronik penuh Tol Batu Tiga, Sungai Rasau


KUALA LUMPUR 10 Julai - Sistem kutipan tol elektronik akan dilaksanakan sepenuhnya di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Klang bermula 1 September depan.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (Plus), Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, semua transaksi tol di kedua-dua plaza tol itu akan dikendalikan menerusi kad PLUSMiles, Touch 'n Go atau SmartTAG.

"Langkah ini merupakan salah satu inisiatif Plus menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang mudah dan selesa serta membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lancar di plaza tol berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang menggunakan kedua-dua plaza tol berkenaan digesa supaya beralih kepada sistem pembayaran tol secara elektronik secepat mungkin.

Noorizah berkata, Plus juga akan menyediakan lorong khas bagi mendapatkan dan menambah nilai kad Touch 'n Go dan PLUSMiles di lorong paling kiri di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula 19 Julai ini.

"Plus juga akan menyediakan rebat tol sebanyak 30 peratus selama empat bulan bermula 1 September depan kepada pengguna kenderaan kelas satu yang membayar secara elektronik pada waktu bukan puncak (di antara 10.00 pagi - 4.00 petang dan 10.00 malam - 6.00 pagi)," katanya.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan kad PLUSMiles Touch 'n Go dengan harga promosi RM5 di kedua-dua plaza tol berkenaan bermula 18 Ogos hingga 30 November depan. - Bernama

Friday, July 4, 2014

Felixia Yeap - 3 Julai : Hari Kelahiran Semula Ku

Assalammualaikum.

Sejak beberapa bulan ini, dari saat saya bertekad sebulat hati mengenakan hijab walaupun sebagai seorang yang belum Islam hatinya, hingga ke saat ini (3 Julai, sekarang pukul 6 pagi baru lepas Sahur), di mana saya telah Islam di hati, cuma tinggal perasmian sebagai seorang Islam di atas kertas dan di depan 4 orang saksi...saya telah mengharungi pelbagai dugaan.

Bantahan.

Makian.

Sindiran.

Fitnah.

Penyisihan.

Tekanan.


Tetapi syukur Alhamdullilah...saya juga dapat sokongan yang begitu hebat, yang menyentuh hati dan sokongan positif inilah yang serba sedikit menyumbang kepada saya untuk terus beristiqamah.

Dan saya harus berterima kasih juga dengan kedegilan saya. Terkenal juga dengan kepala batu saya, saya tidak mudah mengalah.

Ya...saya mengaku, banyak kali saya rasa tumpas, tewas dan menangis atas semua yang negatif dan kasar terhadap saya.

Namun, saya tetap tidak tanggalkan hijab saya.

Saya tetap teruskan perjalanan.

Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar adalah apabila beliau, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tak boleh makan khinzir) dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan suratkhabar dan sebagainya...tidak membantah, malah merestui keputusan saya ini apabila saya memberitahu beliau yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya.


Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik. Ibu kata saya dah matang, dah dewasa akhirnya.
Dalam dialek Kantonis, bila saya bermanja dan menanya kenapa beliau merestui keputusan saya, beliau menjawab, "Sang seng jor lor, dai gor nui la...kwai jor hou dor." Ibu saya senyum, dan saya menahan air mata.

Rata-rata, ramai mualaf yang dibuang keluarga dan disisihkan keluarga kerana keputusan yang sama, dan ada segolongan pula yang terpaksa menyembunyikan identiti mereka sebagai seorang Islam daripada keluarga dan orang ramai kerana takut dibuang keluarga dan disisihkan.

Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha Mengetahui.

Mungkin ini juga salah satu hikmah dari penceraian ibu dan ayah.
(Ibu saya jauhhhh lebih bahagia sekarang juga, ALHAMDULLILAH!)

Ia memaksa saya untuk berdikari pada usia muda, menjaga adik sehingga saya habis SPM dan terus meninggalkan Ipoh untuk mencuba nasib seorang diri di Kuala Lumpur dengan hanya RM300 sebulan sementara saya belajar di sebuah IPTS. Apabila sudah dihentikan saluran duit satu hari, saya keluar bekerja kerana saya tidak ingin melihat ibu saya terus bersusah payah menggunakan duit simpanan beliau yang tidak seberapa untuk menyara kami adik-beradik. Tambahan pula, adik saya perlu (dan saya pastikan) menyambung pelajaran dan perlu wang untuk membiayai yurannya.

Saya mula memikul tanggungjawab menyara keluarga.

Pada masa itu, saya tidak ada agama (saya dibesarkan di keluarga yang tidak percaya kepada mana-mana agama atau Tuhan), tidak ada apa-apa bimbingan agama...cuma berbekalkan nasihat dari ibu saya; iaitu jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga diri baik-baik.

Namun sebagai seorang naif yang tidak tahu apa-apa tentang dunia, tipu helah dan godaan manusia (Ya, keputusan SPM yang baik tidak menjamin anda akan selamat dengan tipu helah dunia)...saya juga mula terikut-ikut dengan orang di sekeliling saya. TETAPI, saya cuba sedaya upaya yang boleh untuk melindungi diri saya dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk dihantar balik ke rumah untuk ibu dan adik. Saya kekalkan pendirian untuk tidak sentuh arak, rokok, atau dadah.
Pernah banyak kali dipaksa, tetapi kedegilan saya untuk menurut paksaan dan suruhan orang lain menyelamatkan saya dari terjerumus sekali dengan yang lain.

Dengan mata saya sendiri saya sepanjang hampir 10 tahun saya terlibat dalam bidang modeling, saya pernah lihat pelbagai jenis manusia dan cara kehidupan yang dikatakan "mewah" dan bahagia.
Mewah juga disamakan dengan kebahagiaan.
Orang di sekeliling saya pada masa itu kebanyakkannya mengukur kebahagiaan dengan kekayaan teman lelaki, apa parti yang paling "happening" yang mereka dapat pergi, rasa "happy" janji dapat minum dan mabuk, berapa yang boleh dikikis dari lelaki kaya yang memikat, dan kebanyakkan mendahagakan kemewahan dan dicari tanpa mempedulikan harga diri.

Tetapi bagi saya, itu bukan kemewahan yang saya cari. Sebab apa gunanya punyai kemewahan tetapi hidup rasa kosong, tidak bermakna dan bergelumangan dengan dosa?
Itu bukan kebahagiaan yang saya carikan.

Saya pernah cuba mencari Tuhan.
Cuba mendekati diri dengan Tuhan.

Saya pernah pergi ke gereja Katolik setiap Ahad petang selama 2 tahun.
Saya pernah cuba memahami agama Kristian.
Saya pernah cuba mencari makna dalam penyembahan berhala Dewa Kuan Yin dan sebagainya.
Saya juga pernah cuba mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.

Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan. Hati saya tidak pernah rasa tersentuh.
"Harap jangan salah faham, di sini saya cuma ingin menekankan bahawa saya rasa lebih dekat dengan agama Islam, dengan Allah SWT. Saya hanya menjelaskan apa yang saya rasa dari hati."

Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih redha, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana.
Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya sepertimana dahulu.
Saya tidak lagi rasa "impressed" atau teruja dengan kereta sport, bag mahal, kehidupan glamor, atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah.

Ya, tidak dapat dinafikan, jika ada semua ini, bukan benda yang buruk, malah bonus kehidupan...tetapi wang dan kemewahan tidak dapat membeli rasa bertaubat, rasa ingin menjadi seorang yang lebih baik, ketenangan, keredhaan dan kebahagiaan.

Sepanjang hampir 7 bulan saya berhijab dan mengenali agama Islam, saya banyak menangis.
Bukan dalam kesedihan, tetapi dalam rasa penyesalan kehidupan yang dulu dan rasa ingin bertaubat.

Seringkali saya merintih dalam bisikkan yang saya ulang tanpa henti, "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya!"

Pada kali pertama saya melihat video pengislaman dan pengucapan seorang wanita, saya tidak dapat henti menangis.
Pada saya, dia amat bertuah kerana Allah SWT memilih dia untuk diselamatkan.

Masa itu...saya masih tidak tahu apa itu hidayah dan taufiq.

Dan pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup saya...saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi.

3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadhan 1435.

Saya yang telah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan 2 kalimah syahadah saya di depan keluarga terdekat saya, dan juga para kenalan yang telah seringkali menyokong dan memberi galakkan pada saya supaya terus istiqamah.

Tidak ada sebarang media yang akan hadir.

Hari ini bukan hanya saja Hari Lahir saya...tetapi juga Hari Kelahiran Semula saya.
Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang.





P.S: Saya masih berbangsa Cina, dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya. Nama Cina saya dalam bermaksud "Ketenangan, Keanggunan" atau di dalam bahasa Inggeris, "Silent Grace". Saya cuma akan menambah nama kurniaan dari mimpi saya di hadapan nama asal.

Terima kasih semua atas sokongan anda. =)


Sumber: felixiayeap.blogspot.com

Thursday, July 3, 2014

Pasukan Bola Sepak Algeria Dermakan Wang Bonus Untuk Gaza


KUALA LUMPUR - 3 JUL: Skuad bola sepak Algeria mengumumkan akan mendermakan imbuhan dan bonus yang diperolehi mereka pada temasya Piala Dunia FIFA 2014 untuk rakyat Palestin di Gaza.

Dalam laporan sebuah portal sukan Diehardsport.com,  penyerang pasukan itu Islam Slimani memberitahu yang perkara tersebut dibuat atas dasar prihatin.

“Mereka lebih memerlukan dari kami” katanya.

Islam turut memberitahu bahawa jumlah wang yang akan didermakan sekitar RM29 juta (US9 juta).

Sementara itu, prestasi Algeria dalam kempen kali ini dilihat sebagai cemerlang apatah lagi tiada siapa menyangka mereka mampu sampai ke pusingan kalah mati, malah gergasi Eropah seperti Jerman terpaksa menunggu sehingga masa tambahan untuk menumpaskan Algeria pada pusingan itu.

Ini adalah kali pertama Algeria berjaya mara ke peringkat kalah mati selepas tiga kemunculan di Piala Dunia sebelum ini.

Sebelum ini, pada 1982, 1986 dan 2010, Algeria tidak pernah lepas daripada peringkat kumpulan.

Bumi Gaza diserang tentera Israel sejak tiga hari yang lalu ekoran insiden tiga remaja Israel diculik dan dibunuh di Tebing Barat yang didakwa rejim angkara anggota militan Hamas.

Sumber: astroawani.com


Runtuhan Terowong Bawah Tanah Cetus Gambar Fiksyen Di Internet


KUALA LUMPUR - 3 Julai: Dua lubang besar dan dalam yang terbentuk akibat kejadian tanah mendap di persimpangan Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah di sini telah mencetuskan gambar-gambar kreatif yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia serta disebarkan di internet.

Gambar-gambar dengan unsur sindiran gara-gara kejadian itu sedang disebarkan di laman rangkaian sosial seperti Twitter, Facebook dan juga aplikasi WhatsApp.

Salah satu gambar berkaitan runtuhan yang semakin tersebar secara meluas ialah gambar raksasa fiksyen Jepun Godzilla.

Lain-lain watak-watak fiksyen yang 'diletakkan' di tempat kejadian adalah King Kong, Transformers, Ultraman dan Loki.

Sesetengah daripadanya juga 'mengusik' pihak berkuasa, yang digambarkan menggunakan pita pelekat untuk 'membaiki' keretakan di jalan raya.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata terowong bawah tanah itu, yang merupakan sebahagian daripada projek laluan bawah tanah Pudu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) runtuh dua kali kira-kira pukul 10.38 pagi dan 12.20 tengahari Rabu.

Seramai 30 kakitangan jabatan dan dua pasukan yang terdiri daripada 20 anggota penyelamat DBKL, polis, dan pegawai-pegawai Prasarana berada di tapak kejadian untuk membantu.






Sumber: mstar.com.my dan carigold.com

Tuesday, July 1, 2014

Polis Singapura Arah Tayangan Piala Dunia ‘Percuma’ Dihentikan


NIAT murni seorang penduduk di Sing Avenue, Singapura, meletakkan televisyennya di luar rumah bagi memberi peluang kepada pekerja asing menonton perlawanan Piala Dunia terpaksa dihentikan atas arahan pihak polis.

Rooban Kanth, 26, diarahkan berbuat demikian atas alasan faktor keselamatan.

Bermula dengan tujuh orang, jumlah penonton di luar rumahnya meningkat sehingga 70 orang selepas beberapa hari.

Jumlah itu termasuklah penduduk tempatan yang tidak melanggan saluran sukan dan mengambil peluang menonton di luar rumah Rooban.


Ramai yang menyifatkan perbuatannya sebagai sesuatu yang cukup baik kerana sudi berkongsi keseronokan dan kemeriahan Piala Dunia kepada semua pihak.

Bagaimanapun, Rooban akur dengan arahan pihak polis dan menganggap mereka sudah memberi penjelasan yang baik kepadanya. - MYNEWSHUB.COM.MY

Si Kecil 5 Tahun Hafaz 30 Juzuk, Juri Mencium Tangannya


Seorang juri program menghafaz Al-Quran di Indonesia iaitu Hafiz Indonesia begitu sebak dan kagum kepada seorang kanak-kanak berusia 5 tahun mampu menghafaz 30 juzuk Al-Quran.

Juri berkenaan Abi Amir Faisol Fath kemudiannya datang ke arah kanak-kanak itu yang bernama Musa dan mencium tangan Musa mengambil keberkatan mukjizat Al-Quran yang dihafal oleh kanak-kanak itu.

Musa yang berasal dari Bangka, Indonesia membuatkan penonton rancangan Hafiz Indonesia menangis menitiskan air mata tatkala mampu menjawab soalan demi soalan yang diberikan oleh juri serta para penonton.

Program itu disiarkan di stesen televisyen RCTI dan juga ada dimuatnaikkan di laman YouTube, dan episod melibatkan Musa dimuatnaik pada 29 Jun lepas.

Menurut Abi Amir, kanak-kanak itu membuatnya begitu kagum kerana Allah sendiri telah memuliakannya biarpun umurnya masih mudah dengan mengindahkan jiwanya dengan Al-Quran.

“Saya tidak punyai bahasa.. Subhanallah.


“Ayah bonda semua, inilah sebuah nilai bahawa anak kecil sekalipun dia masih sangat lemah kemampuannya, ketika dia menjadi mulia kerana Al-Quran maka semua kita tunduk kerana Allah telah memuliakannya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa wang kertas tetap bernilai biarpun ia dipijak kerana manusia telah menetapkan satu nilai untuk sekeping wang kertas.

Bagi Musa, Allah telah menetapkan nilai yang mulia ke atasnya kerana dia sudah pun menghafaz Al-Quran biarpun masih muda.

Seorang lagi juri program itu, Syeikh Ali Jaber pula menjelaskan bahawa ayat Al-Quran yang diturunkan Allah membenarkan segala-galanya apabila Allah sendiri berfirman bahawa Al-Quran itu merupakan sebuah kitab suci yang mudah dipelajari. – MYNEWSHUB.MY

Neelofa Telah Bertudung

KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2014: Di laman sosial ketika ini heboh diperkatakan tentang penghijrahan pelakon dan pengacara popular Neelofa, yang sudah mengenakan tudung.

Beberapa keping foto yang menyebut tentang perubahan Neelofa itu turut dikongsi di laman sosial Instagram.

Foto pertama yang tersebar ialah perbualan di antara pengacara MeleTop itu dengan seorang jurugambar profesional Annas Eskey menerusi aplikasi i-message selain sekeping foto yang dikongsi adik Neelofa di akaun Instagram ameera812.



Astro Gempak gagal untuk mendapatkan Neelofa untuk mengesahkan perkara tersebut kerana mungkin dia sedang sibuk dengan persediaan program MeleTop yang akan bersiaran pada malam ini.

Bagaimanapun Pengurus Neelofa, Shawn Amer telah mengesahkan pelakon Azura itu kini sudah bertudung dan akan kekal bertudung.

“Ya, Lofa sudah bertudung. Dia mengambil keputusan untuk bertudung sejak awal Ramadan lalu.

“Saya sebagai pengurus turut menyokong perubahan dan penghijrahan Lofa kerana ia perkara yang baik. Saya yakin Lofa juga amat menghargai sokongan daripada teman-teman dan para peminat semua,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak pada petang Selasa.



Tambah Shawn lagi dia turut menyedari beberapa perubahan pada diri Neelofa atau pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor itu sejak tiga bulan yang lalu.

"Saya perasan perubahan pada diri dia (Neelofa) sejak tiga bulan lalu dan saya gembira tentang itu. Apabila dia membuat keputusan untuk bertudung, saya sendiri pun terkejut kerana dia tidak beritahu kepada sesiapa," ujarnya.

Sumber: murai.com.my

'Spiderman" Panjat Bangunan di KL Sentral




KUALA LUMPUR 30 Jun - Jika sebelum ini negara pernah digemparkan dengan aksi Spiderman Perancis, Alain Robert yang berjaya memanjat Menara Berkembar Petronas tanpa menggunakan kelengkapan memanjat, kali ini seorang lelaki warga tempatan pula melakukan aksi sama di bangunan 1 Sentrum setinggi 36 tingkat di Brickfields, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki berusia 26 tahun itu bertindak memanjat bangunan pusat komersial tersebut dengan hanya memakai sandal, baju T , berseluar pendek hitam, menutup muka dengan sapu tangan, memakai beg sandang berwarna biru dan kamera lasak.

Ketika sampai di tingkat paling atas dia sempat mengibarkan bendera Malaysia sebelum ditahan polis. Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Travers untuk siasatan lanjut dan dibenarkan pulang hari ini.


Lelaki 'Spiderman' yang memanjat bangunan 1 Sentrum di Brickfield, Kuala Lumpur sebelum ditahan oleh pihak polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.

Menurut beliau, lelaki itu mendakwa ingin menjadi orang pertama memanjat bangunan tersebut selepas mendapat maklumat ada peserta daripada luar negara mahu berbuat demikian dalam tempoh terdekat ini.

"Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 14 Akta Undang-Undang Kecil dan selepas keterangannya diambil kita benarkan dia dijamin," kata beliau.

Sementara itu, video serta gambar aksi lelaki itu turut dimuat naik di akaun Facebook bernama Keow Wee Loong (UglyKiwi) yang dipercayai miliknya.

Berdasarkan status yang dipercayai dimuat naik oleh lelaki terbabit, dia memberitahu hanya sempat memaparkan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam serta ucapan selamat kepada bekas model, Felixia Yeap yang bakal memeluk Islam pada 5 Ramadan ini ketika berada di puncak. Ucapan itu ditulis di atas dua helai kertas A4.

Pada 1 September 2009, Robert yang terkenal dengan kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa bantuan kelengkapan memanjat, ditahan kerana memanjat Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat itu tanpa permit.

Sumber: utusan.com.my dan thestar.com.my