Pages

Thursday, April 3, 2014

New BMW X5 dijangka kuasai pasaran SAV

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr Gerhard Pils menunjukkan ruang dalaman kereta BMW X5 pada Majlis Pelancaran kereta tersebut di Avenue K di sini, hari ini. Anggaran harga jualan runcit bagi kereta BMW X5 ialah RM558,800 dan RM598,800. - Foto Bernama

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan generasi ketiga model utamanya dalam segmen Kenderaan Aktiviti Sukan Premium (SAV), BMW X5.
   
Model itu yang ditampilkan dengan dua varian, X5 35i dan X5 30d, dijangka menguasai pasaran SAV di Malaysia tahun ini.
   
BMW X5 telah menjadi penanda aras baharu dalam segmen pasaran SAV dengan prestasi dan kecekapan yang bertambah baik di samping keselesaan lebih tinggi, serba boleh dan menampilkan ciri-ciri kemewahan.
   
"Dengan X5 baharu dan model baharu akan datang yang akan diperkenalkan tahun ini, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan dua angka tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Gerhard Pils hari ini.
   
Bercakap kepada pemberita di pelancaran BMW X5 baharu di sini, hari ini, beliau berkata model itu juga dijangka meningkatkan bahagian pasaran pengeluar Jerman itu sehingga 40 peratus dalam segmen SAV premium.
   
BMW X5 35i menampilkan dua tempat duduk ketiga tambahan, Paparan Di Cermin Depan (HUD), Pakej Gantungan Adaptif, kawalan peredam dinamik, gantungan belakang pneumatik bagi keselesaan yang sempurna.
   
Kedua-dua X5 35i dan X5 30d disediakan dengan pengawal sentuhan i-drive, sistem lampu puncak LED bagi alur tinggi dan rendah dengan pilihan tiga warna berbeza.
   
Model X5 baharu itu boleh ditempah bermula hujung minggu ini di semua wakil pengedar syarikat di seluruh negara.  
   
Anggaran harga runcit di atas jalan tanpa insurans bagi BMW X5 35i ialah RM598,800 manakala X5 30d RM558,800. - Bernama

Insiden Terowong Larkin: JDT Didenda RM30,000


PETALING JAYA:  Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abd Razak mengumumkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) didenda RM30,000 kerana kelemahan keselamatan dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Selepas dua bulan menunggu perbicaraan kes insiden 'Terowong Larkin' ini, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya membuat keputusan berdasarkan isu keselamatan.

Taufek mengumumkan keputusan tersebut selepas hampir sepuluh jam bermesyuarat.
"Setelah panjang lebar hujah yang diberi oleh pihak JDT, pengadil, pegawai serta pegawai perlawanan, jawatankuasa berpuas hati bahawa perkara yang berlaku itu adalah berpunca daripada kelemahan keselamatan.

"Perkara ini memang diakui oleh Setiausaha Agung JDT, Mohd Fahmy Yahya  semasa memberi hujahnya.

"Akibat daripada masalah kelemahan keselamatan , kekurangan selia yang baik jawatankuasa telah mendapati JDT terbabit dengan keadaan itu dan didenda RM30,000 dan  diberi amaran agar peristiwa itu tidak berlaku lagi.

"Dan dengan hukuman itu mereka berhak membuat hukuman kerana maksimum hukuman adalah RM100,000," jelasnya pada sidang media.

Manakala mengenai isu yang dikatakan ada pegawai tertinggi  terlibat dalam kes ini, Taufek menjelaskan ia adalah kes polis kerana terdapat laporan dibuat.

"Dalam kes ini dua pihak terlibat, FAM  dan satu lagi pihak polis.

"Saya difahamkan bahawa ini hasil siasatan pihak polis  dan telah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil susulan.

"Dan sekiranya tiada tindakan, kami akan mengambil tindakan kerana FAM ada tempoh  dua tahun untuk berbuat demikian.

"Kita di pihak FAM telah berbincang bahawa setakat ini kes tersebut ditangguh," katanya.

Insiden 'Terowong Larkin' menjadi isu panas bola sepak negara selepas pasukan T-Team menarik diri daripada meneruskan permainan kerana alasan keselamatan  ketika aksi bertemu JDT pada pusingan kedua Piala FA  1 Februari lalu

Sumber: mstar.com.my