Pages

Monday, March 31, 2014

Hospital Shah Alam Dijangka Siap September 2014


KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Hospital Shah Alam (HSA), Selangor dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pemaju kini menumpukan kepada kerja-kerja pembelian, pemasangan dan menguji peralatan perubatan selepas pembinaan fizikal bangunan itu kini siap 100 peratus.

Katanya, tahap kesediaan skop komponen peralatan hospital yang membabitkan kos pembinaan keseluruhan RM550.8 juta itu kini telah mencapai 86 peratus dengan kerja-kerja pemasangan masih berjalan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) yang ingin tahu status terkini pembinaan dan kos keseluruhan pelaksanaan projek itu.

Rosnah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM410.8 juta ialah kos kontrak semasa manakala RM140 juta bayaran kepada pemaju terdahulu yang ditamatkan kontrak pada September 2010 kerana gagal melaksanakannya mengikut jadual.

“Bayaran kepada pemaju pertama ini dibuat berdasarkan progres kerja sebanyak 27 peratus yang dilaksanakan,” katanya.

Projek pembinaan HSA dengan kos kontrak RM482.6 juta dimulakan pada 15 November 2007 dan sepatutnya siap pada 25 Jun 2011. – BERNAMA

ZALIM.. 20 kucing mati dipercayai diracun


DEK kerana geram dengan kucing-kucing yang mengotorkan halaman inap desanya, seorang individu bertindak kejam memberi makanan yang mengandungi racun kepada  20 ekor kucing jiran-jirannya sehingga menyebabkan haiwan tersebut mati.

Kejadian yang berlaku di Kampung Taman Seri Waja, Segamat, Johor ini telah dikongsikan di akaun Facebook ‘Dunia Kucing’, semalam.

Menurut pemilik akaun Nur Syamilla, perbuatan individu yang juga seorang guru itu telah dilihat oleh saksi dan laporan polis sudah pun dibuat.


Seorang lagi pemilik akaun, Amy Kurylenko turut meluahkan rasa tidak puas hatinya dan memuatnaik gambar kucing-kucingnya yang mati dalam kejadian itu.


Memetik Harian Metro pula, seorang penduduk, Halipah Maarof, 63 mendakwa pengusaha inap desa itu pernah memaklumkan akan memberi makanan mengandungi racun jika penduduk di kampung itu tidak menjaga kucing mereka yang didakwa sering mengotorkan kawasan inap desa terbabit.

“Saya ingatkan kata-kata itu sebagai gurauan saja, bagaimanapun Ahad minggu lalu, kira-kira jam 4.30 petang, beberapa kucing didapati berdarah di mulut dipercayai selepas makan nasi bersama ikan yang diletakkan dalam satu bekas berhampiran halaman inap desa berkenaan.

“Akibat kejadian itu, tujuh kucing saya mati, malah ada jiran yang turut mendapati kucing masing-masing yang dijumpai mati dalam parit dan longkang di sekitar Taman Seri Waja,” katanya.

Menurutnya lagi, sampel makanan terbabit sudah pun dihantar ke Pejabat Veterinar Daerah dan mereka masih menunggu hasil keputusannya.

Sebenarnya, perkara ini boleh dielakkan jika kedua-dua pihak saling bekerjasama dalam mengatasi masalah ini.

Mungkin pemilik kucing silap kerana membiarkan kucing mereka berkeliaran di kawasan kejiranan, namun ia bukan alasan untuk pemilik inap desa tersebut membunuh haiwan itu kerana ia perbuatan yang boleh disifatkan sebagai kejam.

Sumber: mynewshub.my

Kadar Tol di Jambatan SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH


30 Mar 2014 - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini mengumumkan bahawa kutipan tol bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah dibuka kepada orang ramai mulai 1 Mac 2014 lalu, akan berkuatkuasa pada 06.00 pagi, 1 April 2014. 

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan jambatan yang menghubungkan kawasan Batu Kawan di bahagian Seberang Prai dengan Batu Maung di bahagian pulau. Pembukaan Jambatan ini secara tidak langsung memberi alternatif kepada orang ramai untuk memasuki bahagian pulau menerusi selatan Pulau Pinang. 

Kutipan tol di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah akan dilaksanakan secara sistem tol terbuka. 

Kadar tol bagi kereta kecuali teksi dan bas (kelas 1) adalah sebanyak RM8.50; motosikal (kelas 0), RM1.70; kenderaan enam tayar kecuali bas (kelas 2), RM30.50; kenderaan kelas 3, RM70.10; teksi (kelas 4), RM8.50 dan bas (kelas 5), RM26.20.


Klik untuk kenyataan akhbar Lembaga Lebuhraya Malaysia

Sumber: www.llm.gov.my