Pages

Monday, March 31, 2014

Hospital Shah Alam Dijangka Siap September 2014


KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Hospital Shah Alam (HSA), Selangor dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pemaju kini menumpukan kepada kerja-kerja pembelian, pemasangan dan menguji peralatan perubatan selepas pembinaan fizikal bangunan itu kini siap 100 peratus.

Katanya, tahap kesediaan skop komponen peralatan hospital yang membabitkan kos pembinaan keseluruhan RM550.8 juta itu kini telah mencapai 86 peratus dengan kerja-kerja pemasangan masih berjalan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) yang ingin tahu status terkini pembinaan dan kos keseluruhan pelaksanaan projek itu.

Rosnah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM410.8 juta ialah kos kontrak semasa manakala RM140 juta bayaran kepada pemaju terdahulu yang ditamatkan kontrak pada September 2010 kerana gagal melaksanakannya mengikut jadual.

“Bayaran kepada pemaju pertama ini dibuat berdasarkan progres kerja sebanyak 27 peratus yang dilaksanakan,” katanya.

Projek pembinaan HSA dengan kos kontrak RM482.6 juta dimulakan pada 15 November 2007 dan sepatutnya siap pada 25 Jun 2011. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment