Pages

Thursday, February 27, 2014

Sindiket Kutip Derma Peroleh Lebih Rm500,000 Sejak Dua Tahun Lepas

Gambar sekadar hiasan.

IPOH, 27 Feb. - Polis menahan dua daripada 19 anggota sindiket yang menggunakan dokumen palsu untuk mengutip derma sejak dua tahun lepas dengan jumlah kutipan dianggarkan lebih RM500,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata kedua-dua wanita masing-masing berumur 36 tahun dan 37 tahun itu ditahan ketika sedang mengutip derma di sebuah sekolah di sini pada pukul 9.40 pagi Selasa lepas.

"Mereka mendakwa mengutip derma untuk tabung pembinaan tambahan asrama dan surau sebuah pertubuhan anak yatim di Simpang Pulai," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata tangkapan itu susulan aduan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 20 Feb lepas dan hasil siasatan pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes itu.

Katanya berdasarkan buku resit yang dirampas daripada suspek, kedua-dua wanita itu berjaya mengutip kira-kira RM5,700 sejak Januari lepas daripada beberapa buah sekolah dan orang persendirian.

Maszely berkata mereka aktif membuat kutipan di sekitar Ipoh, Taiping, Selama, Kuala Kangsar dan Kulim.

"Kedua-dua suspek pernah bekerja memungut derma untuk pertubuhan itu dan mereka memperoleh permit yang sah pada tahun 2011. Tetapi permit itu hanya sah digunakan dalam tempoh tiga bulan sahaja," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman tiga hari mulai hari ini.

Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pengutip derma individu atau pertubuhan bagi memastikan mereka tidak ditipu. - BERNAMA

Agihan Air Berjadual Empat Zon Di Kluang Dilanjutkan Kepada 48 Jam

JOHOR BAHARU, 27 Feb. - Pengagihan air berjadual di empat zon di Kluang dilanjutkan kepada 48 jam sekali berbanding 36 jam sebelum ini berikutan keupayaan Loji Rawatan Air Sembrong Timur membekalkan air terawat semakin berkurangan.

Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) Jamaluddin Jamal berkata bekalan air terawat daripada Loji Sembrong Timur kendalian Southern Water Corp (SWC) ketika ini berkurangan sebanyak 65.52 peratus.

"Pada hari ini, loji terbabit hanya mampu mengeluarkan bekalan air terawat sebanyak 10 juta liter sehari berbanding 12 juta liter sehari semalam. Lanjutan keadaan ini, SWC gagal membekalkan air terawat kepada SAJ pada pengeluaran sepatutnya bagi mengekalkan jadual sedia ada," katanya dalam kenyataan Khamis.

Penjadualan baru yang berkuatkuasa daripada 1 sehingga 31 Mac itu, hanya membabitkan kawasan tertentu di Kluang manakala kawasan lain di Johor masih stabil.

Jamaluddin berkata, sumber air mentah yang diterima daripada semua loji rawatan air yang lain adalah pada paras normal dan masih boleh beroperasi seperti biasa walaupun berlaku sedikit penyusutan.

"Lapan empangan yang dipantau iaitu Empangan Lebam, Congok, Juaseh, Bekok, Labong, Gunung Pulai, Pontian Kecil dan Layang (Upper) merekodkan paras yang stabil dan masih belum mencapai paras amaran," katanya.

Menurut Jamaluddin, orang ramai tidak perlu bimbang dengan menyimpan air berlebihan kerana ia akan menyebabkan penggunaan yang tinggi serta mengakibatkan permintaan air berlebihan.

SAJ menasihatkan orang ramai supaya mengambil pendekatan tidak membazirkan penggunaan air bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan, katanya.

Orang ramai boleh merujuk jadual pengagihan air di http://saj.com.my atau menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian Mesra 1 800 88 7474 atau khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 019-7727474 atau menerusi e-mel customer.care@saj.com.my yang beroperasi 24 jam. - BERNAMA

AirAsia X Catat Kerugian Sebelum Cukai Sebanyak RM212.98 Juta Bagi Tahun Kewangan 2013

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- AirAsia X Bhd mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM212.98 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2013, berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM38.01 juta pada tahun kewangan 2012.

Perolehan bagaimanapun naik kepada RM2.31 bilion daripada RM1.97 bilion.

Bagi suku keempat, syarikat penerbangan jarak jauh sekutu syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Group itu mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM170.39 juta berdasarkan RM679.59 juta perolehan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat menjelaskan bahawa kerugian sebelum cukai itu disebabkan oleh perbelanjaan operasi lebih tinggi berjumlah RM2.3 bilion pada tahun kewangan 2013, naik 19.3 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala perolehan yang lebih kukuh disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada jualan tempat duduk penumpang bagi penerbangan berjadual yang meningkat 16.4 peratus.

Antara sumbangan kepada kerugian itu ialah peningkatan kos kakitangan sebanyak 29.9 peratus kepada RM234.4 juta; susut nilai hartanah dan peralatan yang meningkat sebanyak 29.8 peratus kepada RM139.0 juta; serta perbelanjaan bahan api pesawat yang naik 18.7 peratus kepada RM1.1 bilion.

Bagaimanapun, kedudukan syarikat di rantau Asia Pasifik yang diunjurkan kukuh, akan membolehkan AirAsia X mendapat faedah daripada pertumbuhan ini dan terus menjadi pasaran yang menarik bagi laluan perjalanan jarak jauhnya.

"Sekiranya tiada halangan, syarikat menjangka prospek akan kekal positif," katanya. - BERNAMA

Saya Tak Nak Jadi Presiden FAM - TMJ


Johor Bahru: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) mengesahkan tidak akan menerima pelawaan untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres badan induk bola sepak negara itu, 25 Mei ini.

Tunku Ismail, 29, yang ditemui berkata, beliau belum layak untuk memegang jawatan tertinggi itu sebaliknya lebih berminat memberi cadangan dan pandangan bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.
“Saya tidak layak. Saya masih belajar lagi, macam mana hendak mentadbir persatuan bola sepak negara. Saya rasa masa dan pengorbanan saya lebih kepada Johor.

“Kenapa saya kata saya tak layak jadi presiden atau memegang apa jua jawatan dalam FAM, kerana saya tahu saya akan melebihkan Johor. Orang yang menjadi Presiden FAM kena berlaku adil kepada semua persatuan bola sepak negeri atau kelab.

“Saya tidak layak. Saya masih belajar lagi, macam mana hendak mentadbir persatuan bola sepak negara. Saya rasa masa dan pengorbanan saya lebih kepada Johor.

“Kenapa saya kata saya tak layak jadi presiden atau memegang apa jua jawatan dalam FAM, kerana saya tahu saya akan melebihkan Johor. Orang yang menjadi Presiden FAM kena berlaku adil kepada semua persatuan bola sepak negeri atau kelab.

“Saya rasa saya tidak akan adil. Saya mengaku saya tidak adil kerana akan melebihkan Johor, justeru saya tak layak jadi Presiden FAM,” kata Tunku Ismail.


Sumber: hmetro.com.my

28 loji air Pahang catat bacaan rendah


KUANTAN - Sebanyak 28 daripada 80 loji rawatan air di Pahang mencatat paras bacaan rendah akibat kemarau dan beberapa faktor lain.

Pegawai Perhubungan Awam Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Datuk Jafar Abdullah berkata, loji berkenaan terletak di lapan daerah yang mendapatkan sumber air dari anak Sungai Pahang dan Sungai Pahang.

Katanya loji terbabit terletak di daerah Lipis (7), Jerantut (5), Temerloh (4), Maran (4), Pekan (3), Bentong (3) dan masing-masing satu di Rompin dan Bera.

"Sekiranya musim kemarau berlarutan lebih lama, ia akan menyebabkan loji-loji yang mencatatkan paras rendah ini terpaksa ditutup," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata selain kemarau, faktor yang dikenal pasti menjadi punca penyusutan bacaan air ialah aliran air sungai di muka sauk yang tersekat oleh longgokan pasir hingga menyebabkan air mengalir ke arah lain.

Sehubungan itu menurut Jafar, kerja membuang longgokan pasir di muka sauk loji sedang dilakukan, selain membina benteng pasir di tebing sungai berhampiran muka sauk, bagi melancarkan semula aliran air ke dalam loji.

"Air di 28 buah loji terbabit bagaimanapun masih mampu untuk menampung bekalan kepada pengguna di kawasan itu," katanya.

Mengikut rekod, Pahang membekalkan air kepada hampir dua juta pengguna dengan kadar penggunaan lebih 34 juta meter padu sebulan. - Bernama