Pages

Monday, May 12, 2014

KL Dilanda Banjir Kilat

Kuala Lumpur 12-Mei: Berikut merupakan himpunan gambar-gambar kejadian banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur tengah hari tadi.








Sumber: Google Image

Si kembar lahir berpegang tangan

Kelahiran sepasang bayi kembar perempuan yang berpegang tangan semalam menyentuh hati doktor dan jururawat yang menyambut kelahiran mereka.
OHIO – AMERIKA SYARIKAT - Kelahiran sepasang bayi kembar perempuan yang berpegang tangan semalam menyentuh hati doktor dan jururawat yang menyambut kelahiran mereka.

Lebih ajaib, bayi tersebut mampu bernafas dengan sendirinya tanpa memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ibu pasangan kembar itu, Sarah Thistlethwaite berkata, kelahiran ini lebih istimewa kerana mereka lahir pada Hari Ibu, lapor AFP.

"Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata perasaan ini apabila mendapat tahu bahawa bayi saya berada dalam keadaan baik, " katanya.  

Bayi kembar tersebut  berkongsi kantung amnion dan plasenta.  Kelahiran sedemikian itu dipanggil monoamniotik  atau " mono mono " dan doktor mengatakan ia berlaku dalam kira-kira satu daripada setiap 10,000 kehamilan.

Mereka dilahirkan  pada Jumaat di Pusat Perubatan Besar Akron, dekat sini.

Sumber: sinarharian.com.my

Erin Malek & Redha Juara Fear Factor Malaysia 2

Erin dan Redha berjaya bergelar juara Fear Factor Malaysia Musim Kedua. Foto RICKY LAI.
KUALA LUMPUR: Pelakon Erin Malek dan pasangannya Redha diumumkan sebagai juara program Fear Factor Malaysia 2 (FFM2) selepas berjaya menewaskan tiga lagi kumpulan pada peringkat akhir program itu.

Kemenangan itu melayakkan Erin dan Redha membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200,000.

Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad di Restoran Picknik, Publika di sini seiring dengan Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Malaysia 2 yang turut dapat disaksikan menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) dan Astro Maya HD (saluran 135) pada malam Ahad.

Erin ketika ditemui berkata, sokongan ibu bapa dan rakan-rakan merupakan pencetus kepada kejayaannya ketika menepuh pelbagai dugaan sepanjang berada dalam pertandingan ini.

Jelasnya, cabaran, dugaan dan kesakitan yang dilalui membuatkan mereka lebih yakin dan tahan lasak dari segi fizikal dan mental.

"Jujurnya saya merasakan akan tersingkir di peringkat awal tetapi apabila program itu memasuki fasa selanjutnya, kekuatan itu datang dan pasangan saya banyak memberikan sokongan dan dorongan sepanjang ujian yang kami lalui," katanya.


Antara peserta Fear Factor Malaysia Musim Kedua yang hadir pada majlis tayangan episod kemuncak program itu yang diadakan di Restoran Picknik, Publika pada malam Ahad.
Sementara itu, Redha berkata, kekuatan kumpulannya adalah persefahaman dan komunikasi antara ahli yang membuatkan mereka sentiasa fokus dalam pertandingan.

"Semua cabaran yang diberikan nampak mudah tetapi sebenarnya susah dan meskipun Erin nampak lemah tetapi sebenarnya dia kuat semangat dan mampu melepasi semua cabaran, ujarnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan terhadap wang kemenangan, kedua-dua mereka berhasrat membantu keluarga masing-masing.

Pada peringkat akhir itu, turut menyaksikan persaingan hebat di antara kumpulan A iaitu Nas-T dan Khairul manakala kumpulan B disertai oleh Azura-Rachel serta Shuib-Zakaria.

Fear Factor Malaysia bersiaran secara eksklusif pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) serta siaran serentak di Astro Maya HD (saluran 135).

Manakala Akses Fear Factor Malaysia pula akan bersiaran setiap Isnin, pukul 9.00 malam.




Sumber: mstar.com.my

Krisis MAS: Hampir 300 Kru Kabin Letak Jawatan


EKSKLUSIF PETALING JAYA: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menanggung beban akibat tragedi MH370 kini berdepan masalah dalaman serius apabila hampir 300 kru kabinnya meletak jawatan menyebabkan syarikat kerugian dari segi kos latihan mencecah RM30 juta dalam tempoh dua tahun.

Faktor tekanan kerja, selain 'dipancing' syarikat penerbangan lain antara yang mendorong kira-kira 120 juruteknik pesawat, jurutera (40), pramugari dan pramugara (80) dan 30 juruterbang menamatkan perkhidmatan mereka di syarikat berkenaan.

Kebiasaannya, tindakan meletak jawatan itu berlaku apabila kru kabin selesai menjalani latihan yang dibiayai sepenuhnya syarikat yang dikatakan semakin kurang memberi tumpuan terhadap kebajikan kakitangan sejak tiga tahun lalu.

Sumber memberitahu mStar Online,  sudah beberapa tahun syarikat  gagal memberi bonus, keistimewaan kakitangan mendapat tiket penerbangan untuk bercuti bersama keluarga juga terhapus, selain beban tugas yang meningkat kerana kekurangan kakitangan.

"Pelbagai faktor ini menyebabkan kakitangan semakin tidak bersemangat untuk terus berkhidmat dengan syarikat hingga sejumlah besarnya berhenti tanpa mengambil kira sumbangan syarikat yang membiayai sepenuhnya latihan bagi mendapat tauliah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Setiap kali kakitangan terbabit akan menamatkan latihan, sudah ada tawaran kerja daripada syarikat penerbangan lain dengan kadar gaji lebih tinggi, ia seolah-olah ada sindiket yang memerhati setiap kakitangan MAS dan menunggu masa sesuai untuk 'memancing' mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Maklumat yang diperoleh menunjukkan MAS memperuntukan sejumlah dana yang besar untuk program latihan kakitangannya iaitu RM200,000 untuk setiap juruterbang MAS yang wajib menjalani latihan selama dua tahun dan RM190,000 pula kos bagi melatih jurutera penerbangan untuk tempoh latihan lima tahun.

Selain itu, kos latihan selama dua tahun untuk setiap juruteknik pula sebanyak RM75,000, manakala bagi pramugari dan pramugara pula tempoh latihan sepanjang empat bulan membabitkan perbelanjaan RM50,000 seorang.

Sumber itu berkata, sebagai syarikat penerbangan nasional, setiap tenaga pakar MAS 'ada harga' di pasaran industri penerbangan, sama ada di dalam atau luar negara.

"Siapa nak kerja dengan MAS kalau ada syarikat yang tawarkan gaji lebih RM30,000 sebulan bagi jurutera berpengalaman antara tujuh hingga 10 tahun dan ada juga juruteknik yang ditawarkan RM8,000 sebulan berbanding hanya RM3,000 di MAS," katanya.

Ditanya sama ada tragedi MH370 memberi kesan terhadap kakitangan syarikat itu, sumber itu berkata, ia menambah kesengsaraan mereka kerana tentunya syarikat yang menanggung rugi RM1.7 bilion sebelum ini akan berada dalam situasi lebih parah.

"Kalau bukan kerana MH370 pun semangat kerja kakitangan MAS sudah luntur sejak tiga tahun ini," katanya.

Menurut sumber itu lagi, jadual kerja kru kabin yang membebankan memaksa mereka bekerja untuk tempoh lama termasuk melalui penerbangan antarabangsa dan disambung dengan tugasan domestik sebelum dibenarkan bercuti.

"Situasi ini menyebabkan kru kabin tertekan daripada segi mental terutama apabila terpaksa berpisah lama dengan keluarga," katanya.

Bagaimanapun, pengurusan MAS tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.

Sumber: mstar.com.my

Abd Razif Dilantik MB Terengganu Baharu

Razif Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata pelantikan Ahmad Razif bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said itu telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abdidin.

"Adalah dimaklumkan bahawa Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa 12 Mei 2014.

"Baginda telah memperkenankan pelantikan Adun Seberang Takir Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa mulai tarikh Yang Berhormat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah rahsia di hadapan baginda," katanya.

Najib berkata pelantikan itu adalah selaras dengan Syarat (1) Perkara 10 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dibaca bersama-sama perenggan (a) di bawah Syarat (2) Perkara 14.

Ahmad pertama kali dilantik sebagai menteri besar pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.

Sumber: mstar.com.my

Ahmad Said Letak Jawatan

PETALING JAYA: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meletak jawatan pada Isnin dan penggantinya akan mengangkat sumpah pada malam ini.

Kekosongan jawatan Ahmad akan diganti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman (gambar bawah).


Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung pada pukul 8 malam di Istana Syarqiyyah di sini.

Ahmad Said yang menjadi Menteri Besar Terengganu selama dua penggal dikatakan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin petang ini.

Berikutan itu, perkembangan terbabit mengesahkan spekulasi bahawa Ahmad Said akan digantikan berikutan perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan kekal hanya selama setahun selepas BN hampir kecundang di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lalu.

BN menang 17 kerusi DUN berbanding Pakatan Rakyat 15 dan menang separuh daripada kerusi Parlimen di negeri itu.

Sumber: mstar.com.my