Pages

Friday, April 11, 2014

Pengusaha Tudung Fareeda Mohon Maaf Komen Kurang Bijak Admin Fanpagenya

Teruk juga isteri pelakon, Fizo Omar yang merupakan model dan pemilik jenama tudung Fareeda dikecam selepas komen kurang bijak yang dikeluarkan di Facebook disebarkan di media sosial.

Baca: Jangan Hina Isteri Saya - Fizo Omar

Komen itu dikeluarkan selepas ada pengguna merungut tentang harga tudung Fareeda yang mahal.


Antara isi komen tersebut adalah ‘nasihat’ agar wanita yang tidak mampu membeli tudung Fareeda supaya menabung dan bergaya mengikut kemampuan mereka.




Susulan itu, satu kenyataan meminta maaf telah dikeluarkan Facebook Mawar Fareeda Fanpage pada hari ini.


Status itu berbunyi:




Salam sejahtera,


Untuk makluman, Mawar FAREEDA Fanpage ini bukan dikendalikan oleh Puan Mawar sendiri tetapi 5 orang admin. Diharapkan anda semua tidak membuat sebarang spekulasi negatif terhadap Puan Mawar berhubung komen di page ini.


Admin memohon maaf dan berharap semua pihak tidak menyalahkan Puan Mawar di atas segala komen dan status yang dikeluarkan di sini. Sekali lagi admin memohon maaf di atas sebarang kekeliruan dan salah faham yang berlaku.


Nampaknya Mawar bukanlah individu yang mengeluarkan kenyataan mencetuskan kontroversi. Maka sebarang penyebaran tentang  hal ini yang membabitkan nama Mawar boleh dianggap satu fitnah.


Begitu pun pengajaran yang boleh diambil pihak Fareeda adalah mereka seharusnya mengambil individu yang bijak menjawab persoalan pengguna secara berhemah bagi mengendalikan laman pemasaran mereka untuk  bagi menjaga imej syarikat.


- MYNEWSHUB


"Jangan Hina Isteri Saya Kerana Tudung Fareeda" - Fizo Omar

Fizo Omar anggap komen negatif kerana iri hati dengan perniagaan tudung Fareeda.

PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar kecewa dengan tohmahan dan hinaan yang dilemparkan segelintir individu terhadap isterinya, Mawar Abdul Karim, 25, gara-gara tidak berpuas hati dengan rekaan tudung Fareeda.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, sebagai suami dan Ketua Bahagian Pemasaran, Fareeda Global Resources, dia berhak untuk bersuara bagi menjelaskan tuduhan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti isterinya serta perniagaan mereka.

"Aurat itu subjektif, selagi dia menutup kepala, tidak berpakaian seksi dan menjolok mata ia sudah cukup baik bagi saya, dalam Islam sebenar tangan pun tidak boleh terdedah.

"Isteri saya menjual tudung... bukan menjual skirt pendek, kenapa perlu hina dia sampai begitu sedangkan kerana perniagaan tudungnya itu, ramai wanita yang sudah berhijrah untuk bertudung," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Fizo berkata demikian ketika diminta mengulas tohmahan segelintir pihak yang menganggap pernghasilan tudung jenama Fareeda tidak mengikut cara-cara tudung yang dituntut dalam Islam.

Mawar merupakan pemilik jenama tudung itu yang diusahakannya bersama keluarga.

Antara koleksi tudung Fareeda

Tambah Fizo, agak menyedihkan pihak-pihak berkenaan turut mengecam Mawar di semua laman sosial setiap kali dia memuat naik gambar mereka bersama.

"Saya tidak boleh tahan marah bila gambar yang saya muat naik bersama Mawar dikomen dengan pelbagai ayat berunsur negatif.

"Sehingga ada mengatakan saya menanggung dosa kerana Mawar bertudung begitu, saya tidak faham kenapa ramai yang tidak berpuas hati dengannya," soal Fizo.

Jelas Fizo, jenis tudung yang dipakai oleh Mawar merupakan salah satu daripada lebih 20 jenis rekaan tudung yang dijual di butik Fareeda.

"Kalau mereka kata tudung itu terlalu singkat mereka boleh beli jenis yang lain, di Fareeda kita jual pelbagai jenis tudung mengikut saiz yang bersesuaian dengan mereka.

"Cuma permintaan tinggi terhadap tudung yang dipakai oleh isteri saya, jadi sebab itu ia lebih komersil berbanding tudung-tudung yang labuh," katanya.

Bagaimanapun, jelas Fizo, isterinya tidak pernah mengambil peduli dengan sebarang tohmahan di laman-laman sosial.

Katanya, Mawar lebih banyak menumpukan perhatian terhadap perniagaan berbanding mengambil tahu komen negatif yang tidak mendatangkan keuntungan.

"Dia tidak ada Facebook, Twitter dan Instagram. Yang ada sekarang semua saya. Yang jaga (akaun laman sosial) itu juga saya kerana dia tidak ada masa.

"Saya sangat kagum dengan usaha gigih isteri saya kerana dia berjaya menjadikan jenama Fareeda sehingga terkenal di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu Fizo  juga tidak menolak kebanyakan individu memberi komen negatif kerana berasa cemburu dengan kejayaan mereka dalam perniagaan yang semakin berkembang itu.

Sumber: mstar.com.my