Pages

Monday, April 14, 2014

Lebih 6,000 'Like' Tanda Sokong Engku Emran & Erra Fazira Rujuk Semula


PETALING JAYA - 14 April: Hasrat bekas suami pelakon Erra Fazira iaitu Engku Emran Engku Zainal Abidin yang ingin rujuk semula dengan bekas isterinya mendapat banyak komen positif menerusi Instagram miliknya.

Pemerhatian mStar Online pada Instagram milik Engku Emran menerusi akuan iamkumbre  sehingga pukul 1.45 petang Isnin mendapati seramai 6,433 orang memberi tanda ‘like’ pada status yang memaparkan gambar anaknya Engku Eleesya, 5, memakai baju T tertulis #prayformomandayah.

Selain itu terdapat kira-kira 1,244 pengikut laman sosial itu memberi komen masing-masing.

Dengan menggunakan hastag #prayformomandayah pengikut laman sosial berkenaan   menulis komen-komen positif dan menyokong tindakan yang dilakukan Engku Emran itu sebagai usaha untuk kebaikan keluarga mereka.

Salah seorang pengikut Instagram yang menggunakan akaun @fezaahar mendoakan agar  usaha yang dilakukan Engku Emran itu dipermudahkan  Allah dan berharap agar kedua-dua selebriti ini  mengetepikan ego masing-masing demi kebaikan keluarga.

"Jangan berhenti berdoa kepada Allah dan jangan berhenti berusaha untuk kembali bersama. Kami sentiasa menyokong anda. Kalau dulu boleh ambil hati Erra sampai kahwin, kali ini pasti lebih mudah kerana ada Aleesya sebagai objektif," tulisnya.

Peminat-peminat di laman sosial turut berkongsi gambar ketika saat bahagia pasangan ini.

Sementara itu, @noor_amylia_syuhada berkata, sebagai peminat, mereka ingin melihat pasangan ini kembali hidup bahagia seperti dahulu.

Manakala bagi @azahns berkata, perpisahan yang terjadi antara kedua-dua selebriti ini ada hikmah yang tersembunyi dan berharap mereka mencari hikmah tersebut.

Bagi @imza79, kenyataan yang dibuat oleh Engku Emran adalah sesuatu yang jujur dan berharap Allah permudahkan perjalanan pasangan ini untuk membina masjid semula.

"Kenyataan paling jujur pernah saya baca, semoga Allah pemudahkan demi kebaikan dan niat murni untuk membina semula masjid yang telah dibina... Aleesya sayang, kami semua bersamamu," tulisnya.

Bagi @echasidek pula meminta agar Erra jangan bersikap pentingkan diri dan perlu memikirkan kebaikan bersama terutamanya Aleesya.

"Jangan risau kami akan kembali bersama, harap Erra sedar hidup ini bukan kita seorang sahaja, tolong fikirkan Aleesya," tulisnya.

Pada Sabtu lalu, Engku Emran, 39,  menerusi laman Instagram miliknya telah memuat naik gambar anak hasil perkahwinannya dengan Erra iaitu Engku Aleesya yang memakai baju T dengan tulisan #prayformomandayah.

Dalam kapsyen foto tersebut, Emran telah meluahkan hasratnya ingin memenangi hati Erra semula dan mengaku masih mempunyai perasaan cinta terhadap bekas isterinya itu.

Engku Emran juga turut mengimbas semula kenangan ketika perkenalannya bersama Erra.

Sementara itu, sebanyak 130 keping gambar telah dimuat naik semula terutamanya gambar-gambar milik Engku Emran dan Erra Fazira dengan hastag tersebut dilakukan sehingga pukul 1 tengah hari Isnin.

Salah seorang peminat, @naziramadzin turut memuat naik gambar-gambar mesra pasangan itu serta ketika hari perkahwinan mereka bagi menyokong usaha Engku Emran untuk rujuk semula dengan Erra.

Dia juga berharap agar Erra Fazira menerima semula bekas suaminya itu.

Dalam pada itu, Engku Emran ketika dihubungi pihak mStar Online, enggan memberi sebarang komen walaupun ditanya tentang kehidupannya selepas bergelar seorang duda.

"Saya tidak ada komen apa-apa tentang perkara tersebut dan saya berharap pihak mStar faham dengan jawapan yang saya berikan ini," katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi WhatsApp, di sini, pada Isnin.

Terdahulu Erra, 40, menerusi mStar Online pada Isnin meminta Engku Emran menghormati privasinya selain terkejut dengan komen bekas suaminya yang berhasrat untuk rujuk semula.

Pasangan berkenaan telah bercerai pada 18 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, dekat sini dengan talak satu. Mahkamah juga memberi hak penjagaan anak kepada Engku Emran.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007.

Ia merupakan perkahwinan pertama bagi Engku Emran dan kedua buat Erra Fazira selepas aktor Yusry Abdul Halim.

Sumber: mstar.com.my

Erra Terkejut Emran Mahu Rujuk


PETALING JAYA - 13 April: Pelakon Erra Fazira meminta mana-mana pihak tidak memperbesarkan  isu apabila  bekas suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin meluahkan kata-kata seolah-oleh mahu merujuk semula hubungan mereka selepas disahkan bercerai pada 18 Februari lalu.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40, berkata, dia terkejut dengan tindakan Emran dan berharap bekas suaminya itu menghormati privasinya.

"Tolong hormati privasi saya. Tiada ada ibu-bapa yang tidak mahu membahagiakan anak.

“Tanggungjawab dan amanah (menjaga anak) tetap dikendong. Jangan desak saya," katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi WhatsApp yang dikirimkan di sini pada malam Ahad.

Tulisan #prayformomandayah pada baju yang dipakai Engku Aleesya dimuat naik di Instagram Emran pada Sabtu. 


Pada Sabtu, Emran, 39,  menerusi laman Instagram miliknya telah memuat naik gambar anak mereka Engku Aleesya, 5, yang memakai baju T dengan tulisan #prayformomandayah.

Dalam kapsyen foto tersebut, Emran telah meluahkan hasratnya ingin memenangi hati Erra semula dan mengaku masih mempunyai perasaan cinta terhadap bekas isterinya itu.

Dalam pada itu Emran turut mengimbas semula kenangan ketika perkenalannya dengan Erra.

Kenyataan Emran membuatkan peminat memberi reaksi positif dengan meletakkan hashtag #prayformomandayah sebagai  tanda mendoakan agar hubungan kedua-dua pasangan itu terjalin semula.

Mungkinkah ada sinar untuk Erra Fazira dan Emran kembali bersama?

Sementara itu, beritahu Erra, walaupun seluruh masyarakat mendoakan agar mereka dapat disatukan, namun hanya dia yang tahu apa yang terjadi di antaranya dengan Emran.

"Satu Malaysia boleh berdoa tetapi Allah lebih mengetahui. Saya mohon sangat-sangat, saya tahu apa yang saya lalui.

"Tolonglah hormati privasi saya dan doakan saja yang terbaik," ujarnya.

Emran dan Erra telah bercerai pada 18 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, dekat sini dengan talak satu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007.

Sumber: mstar.com.my

MB Selangor bakal umum henti catuan air


SHAH ALAM – 14 April: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal mengumumkan tarikh pemberhentian catuan air di seluruh Selangor dalam masa terdekat.

Menurutnya, keputusan bakal diambil secepat mungkin ekoran kenaikan paras air di empangan.

“Kenaikan air di empangan mula meningkat. Saya akan mengadakan perjumpaan sama ada Jumaat ini atau Isnin depan untuk menetapkan tarikh pemberhentian catuan air. Lagi cepat lagi baik,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Annexe, hari ini.

Abdul Khalid berkata laporan peningkatan air itu diterima daripada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan akan dipantau dari semasa ke semasa.

“Laporan itu dari Luas. Saya akan memantau dari sehari ke sehari,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menegaskan tidak akan berganjak daripada meneruskan pelan catuan air berjadual di beberapa kawasan selagi keadaan paras air di empangan masih belum memuaskan.

Menurut Abdul Khalid, keputusan tidak akan diubah sehingga musim hujan dan peratus takungan air di empangan melebihi 65 hingga 70 peratus.

Pelan catuan yang bermula sejak 2 Mac lalu melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Sumber: sinarharian.com.my

Amerika Syarikat Jalankan Siasatan Terhadap Herbalife


Pihak berkuasa AS menjalankan siasatan jenayah terhadap syarikat produk nutrisi dan penurunan berat badan Herbalife Ltd.,menurut laporan media Sabtu lalu.

Menurut satu sumber kepada The New York Times, kes itu telah disiasat sejak beberapa bulan lepas.

Akhbar itu menambah bahawa pegawai-pegawai yang dihubungi mereka berkata, pihak berkuasa berkemungkinan besar akan memilih untuk tidak mengambil tindakan terhadap Herbalife.

The Times menulis bahawa siasatan itu dibuat bertumpu kepada model perniagaan jualan langsung Herbalife.

Sehubungan itu, ramai pihak termasuk pengurus dana perlindungan bertaraf bilionair Willaim Ackman berpendapat Herbalife mengedarkan produk susu kocak rendah lemak (diet shake), suplemen dan produk lain berkonsepkan skim piramid; suatu yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh syarikat itu.

Saham-saham dalam syarikat  yang berpangkalan di Los Angeles itu telah jatuh mendadak sejak beberapa bulan lepas sejak tuduhan ini menjadi pengetahuan umum.

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan berkata ia telah melancarkan satu siasatan sivil terhadap Herbalife dan terbaru syarikat itu telah mendedahkan bahawa mereka sedang disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa.

Bagaimanpun, Herbalife telah memberi respon terhadap kontroversi itu dengan mengeluarkan satu kenyataan rasmi Jumaat lalu dan menolak dakwaan syarikat itu sedang berada di bawah siasatan jenayah.

Menurut petikan rasmi Herbalife: “Kami tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai siasatan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman atau FBI, dan kami tidak menerima sebarang permintaan rasmi mahupun tidak rasmi untuk maklumat sama ada daripada kedua-dua agensi tersebut.” – MYNEWSHUB