Pages

Wednesday, February 26, 2014

Kadar Tol Jambatan Kedua P.Pinang Tidak Melebihi RM10

PLAZA tol Jambatan Kedua di Batu Kawan ini merupakan plaza tol yang terbesar di negara ini dengan 28 kiosk bayaran

BATU KAWAN: Kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah tidak melebihi RM10, menurut syarikat pemegang konsesi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).

Pengarah Urusannya Datuk Dr Ismail Mohamed Taib berkata JKSB mencadangkan kadar tol RM7 kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia tetapi keputusan muktamad hanya akan diumumkan pada 1 Mac.

"Kadar tol adalah kurang daripada RM10 tetapi melebihi RM7. Jika kadarnya terlalu tinggi, tidak banyak kenderaan akan menggunakannya," katanya kepada pemberita selepas lawatan suai kenal media di plaza tol Batu Kawan, di sini, Rabu.

Ismail berkata JKSB berharap untuk memperoleh keuntungan dalam tempoh 10 tahun dengan 100,000 kenderaan dijangka menggunakan jambatan itu di tengah-tengah kepesatan pembangunan Batu Kawan terutama kawasan perindustrian.

Jambatan berharga RM4.5 bilion itu, yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di tanah besar, dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu ini dan dibuka kepada kenderaan pukul 12.01 tengah malam, Ahad.

Ismail berkata tender bagi pembinaan dua Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dipanggil dalam tempoh enam bulan akan datang membabitkan kos RM60 juta dan dijangka siap dalam masa tiga tahun. - BERNAMA

Pembenihan Awan Bermula Hari Ini


PETALING JAYA: Operasi pembenihan awan dijangka akan dilakukan hari ini (Rabu) di kawasan tadahan air yang untuk disalurkan ke loji rawatan air di empat negeri yang tidak pernah dituruni hujan sejak sebulan lalu.

Pegawai Kanan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Azhar Ishak mengesahkan pada Selasa bahawa pembenihan awan berkemungkinan dijalankan di kawasan tadahan empangan di Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada Rabu dan Khamis.

"Kami boleh mengesahkan bahawa operasi akan bermula ekoran ramalan menunjukkan kemunculan awan kumulus yang sesuai untuk operasi pembenihan," katanya pada Selasa.

Di kawasan tropika, pembenihan awan adalah cubaan untuk mendorong berlakunya hujan.

Apabila ditanya mengenai peluang kejayaan operasi itu, Azhar berkata ia bergantung kepada keadaan cuaca semasa pembenihan.

"Faktor angin dan ditambah pula dengan keadaan atmosfera merupakan aspek penting pembenihan awan," kata beliau sambil menambah bahawa jika berjaya, hujan akan turun dalam masa 10 hingga 15 minit dari masa pembenihan.

Azhar berkata sehingga kini, tiada hujan berlaku di kawasan tadahan empangan walaupun ada hujan terpencil di kawasan-kawasan lain.

"Kejayaan juga bergantung kepada sama ada hujan akan turun di dalam kawasan tadahan yang disasarkan selepas pembenihan dilakukan," kata Azhar.

Dedah beliau, Tentera Udara Diraja Malaysia akan mengendalikan operasi pembenihan di Lembah Klang dengan menggunakan bahan yang terbukti selamat.

Dalam kes ini, garam biasa akan digunakan untuk pembenihan awan.

Operasi pembenihan awan di Malaysia mencatatkan kadar kejayaan antara 57 peratus dan 65 peratus sejak 1974.

Johor juga merancang untuk memperkenalkan pembenihan awan dalam tempoh dua minggu akan datang untuk meningkatkan paras air di Empangan Sembrong Timur yang berfungsi untuk kegunaan penduduk di daerah Kluang.

Sumber: mstar.com.my