Pages

Thursday, February 13, 2014

Johor hapus kadar faedah 4 peratus pinjaman perumahan kakitangan awam negeri

Johor Bahru: Kerajaan Johor mengumumkan Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah bagi kemudahan kira-kira 20,000 kakitangan awam.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis amanat Tahun Baru 2014, di Kota Iskandar, dekat sini, sebentar tadi.

Mohamed Khaled berkata, menerusi skim itu kerajaan negeri akan menghapuskan kadar faedah sebanyak empat peratus bagi pinjaman perumahan kakitangan awam negeri berkuatkuasa 1 Mac ini.

Katanya, bagi peminjam yang masih mempunyai baki dan dipotong dari gaji bulanan, baki pinjaman terkini akan disediakan pada April hingga Mei dengan bayaran balik mengikut jadual baru skim ini akan dilaksanakan pada Mei atau Jun tahun ini.

Sumber: bharian.com.my


Kecewa kejayaan Flappy Bird, Pencipta tarik balik permainan

KUALA LUMPUR: Pencipta 'Flappy Bird', Dong Nguyen, mengumumkan akan menarik balik permainan mudah alih beliau itu sekitar jam 2.00 pagi Isnin nanti.

Hasrat tersebut telah diluahkan oleh beliau menerusi laman Twitternya awal pagi tadi (Ahad).

Menurut portal Buzzfeed, beliau mendakwa permainan itu telah 'merosakkan' hidupnya, dan melahirkan rasa kecewa atas perhatian yang diraih oleh populariti permainan tersebut.

"Saya boleh kata 'Flappy Bird' satu kejayaan buat saya. Tetapi ia juga memusnahkan kehidupan santai saya. Jadi sekarang saya membencinya," katanya dalam salah satu tweetnya.

Permainan yang menjadi kegilaan serta boleh mendatangkan tekanan itu dilaporkan telah dimuat turun lebih 50 juta kali.


Dong, dalam Twitternya bagaimanapun menafikan bahawa tindakannya itu adalah berkaitan dengan undang-undang.

Beliau juga memaklumkan akan terus menghasilkan permainan mudah alih yang lain.


 

Sumber: astroawani.com


Cuaca Panas, Kipas angin laris dijual

Pasangan suami isteri, Mohd Azizi Abdul Razak (dua, kanan) dan Saldian Yahya melihat kipas angin di sebuah kedai barangan elektrik ketika cuaca panas melanda negara ini semasa ditemui di Lorong Merpati, Jalan Langgar di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Berikutan cuaca panas yang dialami di Kedah sejak dua minggu lepas, permintaan terhadap kipas angin semakin meningkat di kalangan penduduk di negeri ini.
   
Cuaca di kebanyakan kawasan di Kedah ketika ini boleh melebihi 35 darjah Celcius pada waktu siang dan pada waktu malam boleh mencapai 29 darjah Celcius.

Tinjauan Bernama di beberapa kedai barangan elektrik di sekitar bandar raya ini mendapati jualan kipas angin pelbagai jenama meningkat.

Walaupun ada pilihan iaitu memasang pendingin hawa tetapi kos yang jauh lebih tinggi berikutan harga pendingin hawa lebih mahal menyebabkan ramai yang memilih untuk menambah bilangan kipas angin di rumah mereka.

Bagi Mohd Hapizan Abdul Rahman, 32, berkata cuaca yang sangat panas menyebabkan dia membeli sebuah lagi kipas angin untuk kegunaan anggota keluarga menyejukkan badan.

Mohd Hapizan yang tinggal di Alor Mengkudu di sini berkata sebelum ini dia hanya mempunyai tiga kipas angin dan hanya digunakan pada waktu tertentu sahaja jika diperlukan.

"Saya perlu tambah satu lagi kipas angin sebab tak tahan panas dalam rumah. Kalau dulu guna waktu siang sahaja tapi kali ini sepanjang hari termasuk waktu malam," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Azizi Abdul Razak, 33, pula berkata dalam situasi cuaca panas sekarang jenama tidak menjadi pilihannya untuk membeli kipas angin tetapi mementingkan kualiti dan harga berpatutan.

Asalkan dapat menyejukkan keluarga dan ruang di dalam rumah memadai berbanding membeli kipas yang harga lebih mahal, kata bapa dua anak itu.

Beberapa pekerja kedai elektrik yang ditemui mengakui kipas angin lebih menjadi pilihan orang ramai berbanding pendingin hawa kerana faktor kos yang lebih rendah.

Seorang pekerja kedai elektrik yang enggan namanya dinyatakan berkata biasanya dia hanya menjual kira-kira 50 kipas angin sebulan tetapi dalam tempoh sebulan ini dia sudah menjual lebih 100 kipas angin.

Seorang lagi pekerja kedai elektrik, Nor Azura Ahmad, 40, berkata kedainya menjual sebanyak 200 kipas angin dalam tempoh sebulan ini. - Bernama

Sumber: sinarharian.com.my