Pages

Thursday, April 24, 2014

37,000 sudah mohon skim MyHome

Datuk Abdul Rahman Dahlan

PUTRAJAYA - Sebanyak 37,000 permohonan diterima untuk Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome), yang memberikan insentif bantuan kewangan RM30,000 kepada yang layak, sejak dilancarkan 1 April lepas.
   
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata walaupun kementerian menetapkan kuota 10,000 pemohon sahaja diterima tahun ini, kementerian akan memastikan baki 27,000 pemohon akan berjaya untuk Skim MyHome tahun depan.
   
Beliau berkata setakat ini, lima syarikat pemaju perumahan mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Perumahan Negara untuk pembinaan 2,580 unit rumah di seluruh negara, yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
   
Sebanyak 49 syarikat pemaju perumahan lain turut memohon kepada Jabatan Perumahan Negara untuk menyertai skim berkenaan.
   
"Kementerian masih meneliti permohonan mereka bagi memastikan mereka tidak disenarai hitam sebagai syarikat pemaju perumahan yang bermasalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Skim MyHome diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, yang merupakan projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Jan 2014 dengan peruntukan RM300 juta di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
   
Dalam pada itu, mengenai bantahan Persatuan Denai Kuala Lumpur dan Selangor (Traks) terhadap Jabatan Landskap Negara (JLN) ekoran beberapa tindakan ke atas Taman Bukit Kiara, beliau berkata ia harus dilakukan demi keselamatan orang ramai.
   
"Antara tindakan JLN seperti memasang pagar di sekelilingnya untuk menghalang pemburu haram, penceroboh memasuki kawasan berkenaan dan membaik pulih cerun-cerun yang berbahaya di dalam kawasan rekreasi itu," katanya.
   
Abdul Rahman mengulas bantahan Traks baru-baru ini terhadap kerja-kerja yang dijalankan JLN di taman itu yang mendakwa ia memberi kesan kepada habitat flora dan fauna di situ. - Bernama

ICAO Sahkan KLIA2 Tepati Standard Keselamatan


SEPANG: Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah agensi khusus United Nations yang menyediakan piawaian, peraturan dan prosedur bagi penerbangan antarabangsa, mengesahkan klia2 memenuhi standard keselamatannya.

Mengumumkan perkara itu pada Khamis, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata projek ikonik negara itu mematuhi piawaian antarabangsa ICAO.

"Saya ingin mengumumkan hari ini bahawa laporan daripada ICAO mengesahkan klia2 adalah selamat. Laporan itu telah dibentangkan di Kabinet semalam," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan Menara Kawalan Trafik Udara klia2 oleh Malaysia Airports Holdings Bhd kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di sini.

Beliau berkata lapangan terbang itu masih menjalankan kesediaan operasi dan pemindahan sehingga akhir April walaupun sijil perakuan siap dan pematuhan dikeluarkan pada 18 April.

Hishammuddin membayangkan klia2 mungkin dibuka secara rasmi sebulan selepas pra pembukaan pada 2 Mei.

"Saya menyatakan bahawa kami akan melakukannya (pelancaran rasmi) dalam tempoh sebulan kemungkinan pada 2 Jun dan itu adalah perkara biasa (tempoh masa) tetapi apa yang lebih penting ialah saya mahu semuanya beroperasi dari hari pertama," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan bahawa klia2 telah menetapkan prosedur berlepas dan mendarat pesawat yang baharu.

"Semua syarikat penerbangan perlu mematuhi prosedur baharu ini yang telah kami tetapkan dan syarikat penerbangan telah mengambil maklum mengenainya sebulan yang lalu," katanya, sambil menambah pesawat pertama dijangka mendarat pada pagi (12.01 pagi) 2 Mei.

Azharuddin berkata klia2 telah mencapai satu pencapaian baharu dengan pengenalan landasan ketiga.

"Kita adalah yang pertama di Asean memiliki sistem tiga landasan," katanya.

Terdahulu, para jemputan dan media dipertontonkan dengan pendaratan dua buah pesawat MH402 dan MH604 secara serentak di landasan dua dan tiga di klia2.

"Ini akan kita jadikan sebagai prosedur normal dan membolehkan kita menambah lagi jumlah pesawat yang akan mendarat dan berlepas dari klia2," katanya.

Ini adalah peristiwa bersejarah dan pencapaian bagi industri penerbangan kita, katanya.

Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad berkata pada hari pertama operasi klia2, akan terdapat 56 pergerakan (ketibaan dan berlepas).

"Manakala dari 9 Mei dan seterusnya, apabila Airasia memulakan operasinya di klia2, kita boleh mempunyai kira-kira 400 pergerakan sehari," katanya.

Sumber: mstar.com.my

'Kembar' Obama Di Malaysia

Iman (kiri) bergambar dengan patung lilin Obama.

SUBANG JAYA: Iman Ishak, 25, adalah seorang peguam. Perawakannya berbeza dan jelas. Orang di sekelilingnya sering berbisik sehingga pada suatu hari seorang lagi yang berdiri di depannya menjerit 'BARACK OBAMA!'.

Dia yang juga seorang DJ menyuarakan rasa kecewa terhadap renungan orang di sekelilingnya tetapi mendapat perhatian yang menggalakkan dan menyeronokkan terutamanya dari rakan-rakan.

"Saya menyedari saya mirip Obama yang bertanding pada pilihan raya 2008.  Seorang pensyarah bahasa Inggeris yang sedang membaca artikel menoleh kepada saya dan berkata saya kelihatan seperti Obama," kata Iman.

Walaupun Iman tidak melihat persamaan di antara mereka, rakan-rakannya memberitahu senyuman, telinga dan gaya yang bersahaja, menyebabkan dia disamakan dengan Obama.

Iman mengimbau kembali kenangan ketika dia bersama keluarga berkunjung ke Madame Tussauds di London yang menempatkan patung lilin Obama.

Ramai pengunjung memandangnya tidak berkelip apabila dia berdiri di sebelah patung itu, terkejut dengan persamaan mereka.

"Saya sentiasa dengar orang berbisik atau menoleh ke arah saya semasa berada di sana. Saya tidak terlalu memberikan perhatian dan pada satu ketika anda sudah lali dengannya. Adakalanya, apabila saya menyedari ada orang merenung saya, saya akan berjalan kepada mereka dan berkata hey," katanya

Iman pernah ditugaskan untuk membawa kumpulan hip hop popular, Wu-Tang Clan yang berkunjung ke Malaysia untuk mengelilingi negara ini.

Selepas beberapa kali memandang gambar Iman, salah seorang ahlinya, Raekwon berkata 'Siapa lelaki yang mirip Obama ini?'.

Iman mengetahui lawatan 'kembarnya' ke Malaysia menerusi rakan-rakan dan ahli keluarga yang mencadangkan peluang mereka untuk bertemu antara satu sama lain.

Namun, Iman berkata, dia tidak tahu apa yang ingin diperkatakan kepada Obama sekiranya mereka bertemu.

Sumber: mstar.com.my